Tuesday, May 31, 2005

HEBAHKAN ISU "ROBOH RUMAH RAKYAT DAN RUMAH ALLAH" INI

Assalamulaikum,

Saya amat merasakan bahwa isu kezaliman Umno meroboh Rumah Allah dan rumah-rumah rakyat mesti diheboh dan di’main’kan oleh Pas dan BA semaksima mungkin. Ini kerana, isu ini sebenarnya amat sensitif kepada orang-orang kampong terutama rakyat Terengganu yang sekian lama rindukan geran tanah dari kerajaan negeri lebih dari 30 tahun lagi. Isu ini bukan sahaja sesuai diperingkat tempatan, malah juga di peringkat nasional.

Saya masih ingat, oleh kerana ingin ‘meroboh’ rumahlah jiran saya yang menyokong Pas selama lebih 40 tahun, tiba-tiba bertukar menyokong BN sewaktu PRU11 baru-baru lepas.

Kisahnya begini. Sewaktu kerajaan Pas mengambil alih kuasa daripada Umno lapuk, Dr. Sulaiman (ADUN Pas Ladang) telah dilantik sebagai Yang Dipertua MPKT (Majlis Perbandaran Kuala Terengganu). Jiran saya mempunyai sebuah rumah di kawasan pinggir bandar Kuala Terengganu dan rumah yang baru dibina itu, sepertimana biasa ataupun sememangnya menjadi satu fenomena biasa di Terengganu, membina rumah biasanya tidak mengikut prosedur pelan dan arkitek yang diluluskan oleh kerajaan tempatan. Dalam sekitar tahun 2002-2004, MPKT telah membuat satu kajian pelan untuk membangunkan dan penyusunan Bandar Kuala Terengganu dari segi penempatan dan perbandaran. Lalu pihak MPKT telah mengarahkan rumah-rumah sekitar perbandaran dipastikan mempunyai geran arkitek yang disahkan, supaya kerja pembentungan dan perubahan struktur jalan boleh diseragamkan. Ini kerana, percayakah anda, bila hujan lebat sekejap sahaja, Bulatan SK Sultan Sulaiman dan beberapa kawasan bandar terus dilimpahi air (banjir kilat). Masalah ini sebenarnya berlarutan berzaman-zaman semasa BN dulu memerintah.

Arahan untuk memperbahrui pelan secara sah telah dikeluarkan, dan sememangnya di atas surat arahan tersebut tertulis, “jika arahan tidak dipatuhi, tindakan akan dibuat seperti memberhentikan pembinaan dan juga MEROBOH akan dibuat”. Jiran saya mengajak saya berjumpa Dr. Sulaiman dan kami berjaya bersemuka dengan beliau. Sebelum itu, sewaktu menunggu, kami berbual dengan pegawai yang bertugas di bahagian pejabat YDP, saya yakin mereka ini kebanyakan penyokong Umno. (Lihat, betapa baiknya kerajaan Pas, pegawai atau pekerja yang menyokong umno pun tetap kekal dalam pejabat kerajaan tempatan). Pegawai tersebut bersuara: “Mung tahu dok, sebenornya buat kerja ni puok-puok mung jugok, set-set JSR lah. Doh dia takdok kerja laing, dia repot la ke bandorang..” [Awak tahu tak, yang repot pasal ni, puak anda jugak, Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) la, dah sah mereka ni nak nampak buat kerja, tak lain mereka repot kat MPKT lah]. Jiran saya berubah muka, tapi saya menenangkan beliau. Pegawai ini sangat berani, kerana sewaktu itu, Deris Jusoh dan Dollah Badawi tengah sibuk berkempen “Gelombang Biru”.

Setelah beberapa minit kemudian, kami berjaya berjumpa dengan Dr. Sulaiman, tetapi jawapan Dr. Sulaiman pada masa itu agak kecewa, “Oleh kerana surat dikeluarkan, pihak kami tidak boleh berbuat apa-apa”. Kebetulan saudara saya juga mengenali pegawai yang mengeluarkan surat tersebut, kami dibawa untuk berbincang dengan pegawai tersebut. Katanya; “Jangan risau, rumah tu tidak akan diroboh, kerana itu memang prosedur biasa dalam surat, akan tetapi sebarang kerja pembinaan hendaklah diberhentikan dulu, sementara pelan rumah dikeluarkan”. Rasa hati lega sedikit mendengar penjelasan pegawai tersebut.

Akan tetapi, isu ‘mahu roboh’ rumah ini dimainkan diperingkat kampong oleh JKKK mereka, dan jiran saya telah terpengaruh. Kata mereka; “Sokonglah BN bila mengundi nanti, kalau tak rumah anda akan diroboh..”

2 bulan sebelum pilihanraya (PRU11), saya amat terkejut bila tiba-tiba bendera dacing BN dengan megahnya berkibar di atas pokok mangga depan rumah jiran saya. Dalam hati; “Innalillah, wa inna ilaihi raajiun…”

Inilah hebatnya isu ‘roboh rumah’, kalau dulu Umno jahat telah mempermainkan rakyat dengan duit dan tipu daya bahawa “Umno bina, Pas musnah”, padahal tak pernah pun Pas meroboh rumah rakyat, malah isu pembuangan patung penyu sudah dijawab dalam Warta Darul Iman. Tetapi umno tetap dengan tipu daya jahat mereka.

Kini, bukan sahaja ‘akan’ malah ‘SUDAH’ meroboh rumah-rumah rakyat dan Rumah Allah pun menjadi mangsa.

Oleh itu, saya berharap isu ini terus dimainkan di semua peringkat. Tahniah kepada WM TKO kerana berjaya menggubah dan mengedar VCD tentang kezaliman Umno ini.



Tiupkan isu ini kepada saudara mara kita, tayangkan VCD tersebut kepada mereka, terutama di Terengganu ini.

"RAKYAT TERENGGANU BERSAMA PAS TAHUN 2008"

Sekian Terima Kasih.
Lotus 123

cyberluncai: penjelasan mengenai status RTB sila tekan sini.

No comments: