Monday, October 10, 2005

HUTANG BERTIMBUN: KRONI 'KEMBUNG', RAKYAT TANGGUNG.....

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, sehingga hari ini masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung lapuran Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A.Jalil, bahawa Johor paling banyak hutang tertunggak.

Dalam lapuran yang disiarkan Utusan Malaysia 2 Oktober lalu, Dr Hadenan mendedahkan semua kerajaan negeri gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada kerajaan Pusat mengikut jadual yang mana jumlahnya mencecah berbilion ringgit.
Lebih memeranjatkan lagi apabila lapuran tersebut turut mendedahkan Negeri Johor sebagai negeri yang mempunyai tunggakan hutang tertinggi iaitu RM 598.35 juta, diikuti Kedah (RM450.96 juta) dan Selangor (RM 377.33 juta).

Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, lapuran Ketua Audit Negara itu mendedahkan kegagalan semua kerajaan negeri.

Menurut Faizi, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo, dalam kenyataannya di akhbar berhubung lapuran Ketua Audit negara telah menjelaskan bahawa sebahagian besar daripada RM377 juta pinjaman tersebut digunakan untuk projek perumahan rakyat.

Beliau juga memberitahu bahawa hutang itu bukan hutang tertunggak kerana kerajaan negeri membayarnya secara berperingkat-peringkat dan baru-baru ini kerajaan negeri telah membayar sejumlah RM20 juta.

Menurut Faizi, setidak-tidaknya beliau mempunyai jawapan kepada isu hutang tertunggak ini.

"Sebaliknya apa yang menghairankan kita sehingga hari ini MB Johor masih terus membisu, tiada sebarang kenyataan rasmi berhubung isu hutang tertunggak ini dibuat dan kita melihat seolah-olah pendedahan ketua audit negara ini telah memberi tekanan kepada kerajaan negeri yang selama ini cuba menutup maklumat sebenar berkaitan hutang kerajaan negeri," kata Faizi.

Faizi selanjutnya berkata, Khir Toyo bertekad meneruskan hasratnya untuk mengumumkan bahawa Selangor adalah negeri maju pada 2005 walau pun menyedari negeri ini menanggung hutang yang banyak dengan Kerajaan Pusat tetapi disebabkan wang ini digunakan untuk kepentingan rakyat maka beliau tidak sedikit pun merasa bimbang.

Berbeza dengan kerajaan Johor yang terpaksa menangguhkan pengisytiharan Johor negeri maju 2005 yang diumumkan Ghani semasa melancarkan pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor) 3 November 2004 lalu.

Menurut Ghani, kewujudan Persada Johor ini akan merealisasikan usaha kerajaan negeri untuk memajukan industri perdagangan dan pelancungan bagi membantu Johor mencapai status negeri maju pada 2005.

Malangnya sehingga hari ini kenyataan yang dibuat Ghani hampir setahun lalu untuk menjadikan Johor negeri maju 2005 ini terus sepi tanpa sebarang berita baik melalui kenyataan rasmi mahu pun pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selanjutnya menurut Faizi lagi, hari ini rakyat mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri boleh berhutang begitu banyak dengan kerajaan pusat sedangkan Johor adalah antara negeri yang maju dan kaya di negara ini.

Ke mana dan untuk apa wang dari berbagai sumber hasil yang diperolehi negeri ini digunakan, mustahil negeri ini boleh berhutang begitu banyak sekiranya sumber hasil ini diurus dan ditadbir dengan jujur dan amanah di samping tidak berlaku pembaziran.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Johor mendesak kerajaan negeri menjelaskan kepada rakyat secara terperinci bagaimana negeri ini boleh berhutang dengan begitu banyak dengan kerajaan pusat dan untuk apa wang ini digunakan.

"Kita berharap kerajaan negeri bersikap telus dalam mengurus sumber kewangan dan juga mentadbir negeri ini, kita tidak mahu pemimpin yang diberi amanah memimpin negeri ini melakukan sebarang tindakan mengikut selera sendiri dengan membelakangkan kepentingan rakyat," katanya.

Bebanan hutang yang begitu banyak ditanggung kerajaan Johor ini juga sebagai bukti jelas bahawa mereka sebenarnya telah gagal mentadbir dan mengurus sumber kewangan negeri ini dengan sempurna.

Jika kerajaan yang dipimpin Umno BN ini terus dibiarkan memerintah negeri ini berkemungkinan besar negeri ini boleh bangkrap dan muflis.

Justeru kerana itu seluruh rakyat negeri ini diajak membuka mata dan minda dengan seluas-luasnya bagi melihat sendiri keadaan yang berlaku di hadapan mata mereka dan sekaligus bertekad untuk melakukan perubahan terhadap kepimpinan negeri ini pada pilihanraya umum akan datang, jelasnya lagi.

No comments: