Monday, November 28, 2005

Hanifa, Hanafi atau Brahim?



Oleh M FAQIH
HANIFA, Hanafi sekali sebut, hampir sama bunyinya. Sama-sama berpangkal kepada Ha dan suku kata kedua Ni dan seorang lagi Na. Bagi suku kata ketiga, satu Fa dan satu lagi Fi. Betul-betul hampir sama. Kalau disebut cepat sangat, tersasul lidah jadinya. Namun, perkataan Ibrahim agak jauh dan berada di luar linkungan persamaan sebutan.

Gambaran awal ini secara tidak langsung dikaitkan dengan persaingan sengit di antara dua calon tersebut. Ini kerana mereka mewakili dua parti Melayu yang besar di negara ini.

Bagaimanapun Ibrahim tidak kurang hebatnya. Beliau dikatakan mampu menarik sekurang-kurang 1,000 penyokong Umno untuk terus kekal bersama perjuangannya.


“Saya bertanding kerana desakan penyokong supaya berbuat demikian. Saya bukan calon Bebas namun sebagai calon rakyat,” katanya sebelum ini. Dan apabila turut sama bertaruh di gelanggang 6 Disember ini, maka situasi yang bakal berlaku menjelaskan Umno pastinya akan berada dalam suasana agak gelisah.

Ibrahim biar pun bukan lagi berada di bawah bumbung Umno, namun Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang diperjuangkan sudah dikenali di seluruh negara.

Mesej perpaduan Melayu dan hak-hak keistimewaan Bumiputera menjadi hala tuju perjuangan organisasi itu. Di bawah MTRK, Ibrahim berjaya menarik minat bekas-bekas pemimpin Umno yang tidak kurang pengaruhnya.

Siapa tidak kenal Dato’ Ariffin Hamid, Dato’ Ahmad Rusli Ibrahim, Dato’ Hassan Ismail, Dato’ Mustapa Yaakub dan ramai lagi. Mereka bukan calang-calang orang dalam percaturan politik Umno Kelantan.

Ibrahim berjaya menarik mereka berada di bawah kepemimpinannya. Di atas nama MTRK juga, bekas Adun Kota Lama, Leong Sue Siang menjadi akrab dengan bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas tersebut.

Itu belum lagi diambil kira jumlah undi yang diraih Ibrahim sebagai calon Bebas di Pengkalan Pasir tahun lalu. Beliau berjaya mengumpulkan sebanyak 1,500 undi atau 11 peratus di DUN Pengkalan Pasir.

Disebabkan faktur tersebut juga pemimpin Umno terutamanya Dato’ Annuar Musa cuba memperlihatkan keegolannya dengan mengeluarkan kenyataan seperti kebudak-budakan. Apa tidaknya, isu yang dibangkit hanya berkisar bubar dewan, cabar letak jawatan dan tawaran bagi Adun PAS yang melompat.

“Jelas sekarang nampak seperti orang yang bankrap idea,” kata Ketua Penerangan Umno Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud. Sikap ‘over confident’ dipamerkan Umno dalam banyak kenyataan mereka benar-benar memperlihatkan pemimpin parti itu gelisah.

Misalnya ‘Kekalahan bukti PAS tidak relevan’ – Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shaberry Chik, ‘Guna pengalaman pastikan BN menang’ – Menteri Besar Terengganu dan ‘Bubar jika kalah – Najib’.

Itu belum lagi diambil kira bekas seorang menteri yang dikaitkan dengan keruntuhan rumah tangga sepasang suami isteri di Kampung Jias, Pasir Mas suatu ketika dahulu. Begitu juga isu tabal raja di Ketereh pada April 1993 dan kehilangan wang pelaburan PPRT. Banyak pihak terluka dengan peristiwa itu.

Lagi menggelirukan apabila Hishammuddin tanpa berfikir panjang mendesak guru yang menyokong pembangkang diminta mencari kerja lain. Tidakkah itu menggambarkan ‘conflict’ dalaman berlaku di kalangan pemimpin Umno sekarang.

Umno juga cuba menggambarkan kempen mesra bagi ‘memujuk hati yang duka’. Bermula daripada kenyataan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, kononnya mahu mempamerkan kempen mesra dan tidak mudah melatah.

Benarkah ia berlaku sedemikian di peringkat bawah. Atau sekadar mesra di dada akhbar sahaja. Namun sebenarnya ada banyak kisah berlaku di sebalik kempen mesra yang diuar-uarkan itu. Ada anak angkat PAS diugut oleh pasukan khas.

Wartawan media harian ditegah buat liputan calon rakyat, Dato’ Paduka Ibrahim Ali dan jentera kempen muslimat diganggu. Selain itu, penyokong Umno berlakon sertai Umno dan banyak lagi. Adakah ini dinamakan sebagai mesra rakyat, atau sekadar seronok buat kenyataan di media massa.



Di akar umbi lain pula yang berlaku. Itu belum lagi diambil kira pengalaman pilihan raya umum lalu, apabila petugas media alternatif disekat daripada mendapat pas untuk membuat liputan di pusat penamaan calon dan tempat penjumlahan undi.

Di mana suara demokrasi yang dijunjung selama ini, sekiranya itulah yang mampu disuarakan. Inikah dipanggil orang sebagai kempen mesra rakyat. Kebimbangan lebih dirasakan sekiranya orang yang terlibat dengan banyak kes kontroversi dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan suatu ketika nanti.

Sepatutnya ketika melangkah ke era Kelantan maju dan Pasir Mas Baru, pemimpin seperti itu lebih elok diletak ‘di bangku simpanan’. Atau adakah ia secara tidak langsung menggambarkan Umno Kelantan benar-benar ketandusan seorang pemimpin yang mampu mempertahankan Kelantan sebagai Serambi Mekah.

Namun apa yang dapat diperhati dengan perkembangan sekarang, elemen-elemen untuk ‘merobohkan’ benteng Serambi Mekah mulai kelihatan. Apa tidaknya apabila ada pemimpin yang belum ‘insaf’ terus dinobatkan.

Rakyat Kelantan jangan dibiarkan bersubahat dengan agenda pemimpin yang sudah dikenali sebagai ‘panas baran’. Lihatlah apa yang berlaku di setiap kali persidangan DUN Kelantan berlangsung. Bagaimana lagaknya.

Lebih mencuit hati lagi apabila rakan-rakan media menceritakan, akhbar mereka akan dibuang ke lantai sekiranya berita yang dimuat tidak serasi dengan ‘nafsunya politik’.

Dunia era sekarang ada pemimpin yang tidak segan mengugut wartawan untuk ditukar sekiranya menyiarkan berita menguntungkan PAS dan kerajaan negeri.

Inikah dikatakan sebagai pendekatan ‘mesra’ yang cuba diperjuangkan pemimpin Umno Kelantan sekarang. Bagaimanapun pula dengan ‘upah’ sebanyak RM50 dimasuk dalam agenda mesyuarat pihak penganjur untuk dibagi kepada penyokong Umno dari tempat lain yang datang ke tempat kempen menteri di Pengkalan Pasir sekarang.

Itu juga belum diambil kira ‘merajutnya’ Naib Ketua Bahagian, Che Johan Che Pa selepas tidak dicalonkan. Biar apa pun biarlah 18,411 pemilih di Pengkalan Pasir membuat percaturan mereka tanpa meminggirkan maklumat yang dibekalkan.

Daripada jumlah tersebut terdapat seramai 454 pengundi yang menggunakan kad pengenalan negara jiran dan 5,800 pemilih tinggal di luar Kelantan.



Manakala mengikut komposisi kaum, pengundi Melayu seramai 17,469 orang atau 94.88 peratus, Cina – 863 orang (4.69 peratus), India – 55 orang (0.30 peratus), Bumiputera Sarawak – 5 orang (0.03 peratus), Orang Asli – seorang (0.01 peratus) dan lain-lain – 18 orang (0.10 peratus).

Pada pilihan raya umum lalu, jumlah pengundi seramai 18,646 orang. Ini bermakna jumlah pemilih kali ini susut sebanyak 235 orang.

Sebahagian besar ‘disingkir’ kerana meninggal dunia. Undi yang diraih Wan Abdul Aziz Wan Jaffar pada pilihan raya lalu sebanyak 7,168, manakala calon BN, Hanafi Mamat (7,113), dengan majoriti sebanyak 56 undi. Peratusan keluar mengundi pula sebanyak 77.6 peratus.

Bagaimanapun bagi penganalisis politik, Wan Nik Wan Yusof kebimbangan dirasakan apabila jumlah keluar mengundi kali ini lebih 85 peratus. “Dikhuatiri sekiranya peratusan menghampiri angka itu, kemunculan pengundi hantu tidak dapat ditolak. Ini akan menjejaskan ramalan awal yang dibuat,” katanya.

Berdasarkan situasi kempen yang berlaku sekarang, Umno tidak segan silu lagi menjadikan Sekolah Kebangsaan Mekasar sebagai medan untuk mencari pengaruh. Tiap-tiap hari boleh dikatakan program Umno dianjurkan di sekolah berkenaan.

Malah, Timbalan Presiden Umno sudah turun berkempen di sekolah berkenaan. Pada program penyampaian sumbangan sara hidup dan hari raya bekas-bekas tentera yang diadakan pada 18 November lalu, mungkin tidak salah kalau dikatakan Najib dimalukan dengan jumlah kehadirannya.

1 comment:

A Shy Millionaire said...

Hai, Anda mempunyai blog yang hebat! Saya akan bookmark blog anda!
Saya ada website peluang kerja dari rumah. Peluang peluang kerja dari rumah di sini.
Lawatilah website saya bila ada masa lapang :-)