Friday, July 29, 2005

Krisis Semasa: Tertipukah Rakyat..?

Oleh: fikir_sokmo

Bila membaca isu hangat AP yang hangat diperkatakan di Malaysia kini, terdetik dalam minda kerdil ni beberapa persoalan yang hanya mampu dijawap oleh rakyat Malaysia sendiri

1. Kenapa bila ditanya oleh wartawan asing mengenai kesan kenaikan harga minyak ke atas ekonomi negara, jawab pemimpin Malaysia adalah "Kita tidak akan mengalami masalah kerana Malaysia ialah sebuah negara pengeluar untuk petroleum (hasil eksport melebihi kos import untuk minyak)".

2. TETAPI bila rakyat tanya pemimpin kenapa harga petroleum dinaikkan, jawap pemimpin, "Adalah tidak adil untuk kerajaan menanggung subsidi untuk harga minyak yang diimport untuk kegunaan rakyat. Lebih baik kita channel wang tersebut kepada pembangunan negara seperti membuat jalanraya,hospital dll.".

3. Kenapa nasib rakyat Malaysia tidak senasib dengan rakyat Brunei yang sama-sama dianugerahkan dengan minyak tetapi tidak dapat manfaat walau sedikit pun dari hasil tersebut. Adakah keuntungan dari ekspot Petroleum tadi menjadi kurang apabila diambil sedikit hasilnya untuk manfaat rakyat seperti memberi sedikit subsidi untuk harga petrol?

4.SEBALIKnya adakah adil kiranya penggunaan wang hasil dari export Petroleum digunakan untuk menyuntik dana ke dalam bank yang rugi akibat 'mismanagement'? Bukan itu sahaja malah rakyat Malaysia juga terpaksa menanggung beban bagi menampung "national pride" seperti Proton.



5. Sedarkah kita bahawa separuh dari gaji bulanan rakyat Malaysia digunakan untuk membayar installment bulanan kereta nasional. Itu belum lagi dikira dengan bebanan hutang lain seperti pendidikan, rumah, tambang dan tol yang tak ada rasional dan jawapan munasabah atas kenaikannya.

6. Bila isu AP tersebar, tahukah kita betapa harga kereta import terlalu murah jika dibandingkan dengan harga kereta nasional dan adakah adakah kita patut merasa bangga kerana negara kita "mampu" membuat kereta? Adakah negara seperti Austria, Norway, Finland, Kanada, Denmark, Switzerland, Taiwan dan bayak lagi negara maju lain tidak "mampu" membuat kereta yang menyebabkan mereka tidak mempunyai projek kereta "nasional"?

7. Adakah anda berpendapat bahawa rakyat dan kerajaan Britain "tidak mampu" menanggung beban kewangan syarikat Jaguar, Bentley, MG, Rover, RollsRoyce, Lotus dll. sehingga mereka "menggadaikan maruah" negara dengan membenarkan syarikat asing memiliki stake dalam syarikat-syarikat tersebut? Adakah negara Malaysia meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan yang lain? Kalau tidak masakan rakyat terpaksa menanggung harga kereta nasioanal yang mahal berbanding dengan kerata import lain.

8. Tahukah kita bahawa hasil mengamalkan dasar polisi terbuka untuk industri automotif telah menyebabkan kerajaan Thailand telah berjaya menarik syarikat asing seperti Honda, GM,Ford, BMW dan sebagainya ke negara tersebut untuk membuka kilang dan pusat R&D masing-masing. Jika projection (jangkaan) Proton diambil kira, menjelang tahun 2010, Proton akan berjaya mengekspot 45,000 buah kereta. Sedangkan Thailand pula akan berjaya mengekspot 250,000 buah kereta. Walaupun kereta yang diekspot dari Thailand adalah berjenama Honda, Chevrolet, Toyota, Ford dll., kandungan bahan tempatan (Thai contents) di dalam kereta tersebut mencapai sehingga 85%. Sedangkan kereta yang diekspot oleh Proton pula, walaupun berjenama dan logo tempatan(kepala harimau disembelih), kandungan tempatan (local contents) belum tentu boleh mencapai figure setinggi tersebut.

9. Adakah anda tahu bahawa di Britain, harga kereta Waja sekitar 8 ribu pound sterling. Dan gaji purata seorang eksekutif yang berumur 30-an tahun di Britain ialah sekitar 5 ribu pounds. Waja untuk edisi ekspot mempunyai 4 airbags, ABS dan pelbagai ciri keselamatan. Full warranty (body,engine, gearbox and everything) untuk kereta Proton di Britain ialah tiga tahun. Dalam masa tiga tahun ini, setiap komponen kereta yang rosak (kecil atau besar) akan ditanggung oleh Proton. Warranty untuk enjin dan gearbox pula ialah enam tahun (sepanjang hayat kereta). Bertapa untungnya jika saudara-mara Tony Blair, Michael Howard, Jack Straw atau sesiapa jua mat saleh di UK memiliki Waja berusia 5 tahun, kemudian enjin atau gearbox tidak berfungsi, Proton akan menggantikan komponen terbabit secara FREE. Menurut majalah "car review" di UK, tiada pembuat kereta lain di dunia ini yang memberi warranty sebegitu komrehensif dan menarik kepada pembeli. Tidakkkah kita fikir siapakah sebenarnya "hamba abdi" yang menanggung kos terbabit? Rakyat Negara manakah sebenarnya yang menanggung beban kewangan (dan bebanan mental) untuk mambayar harga bagi memberi keselamatan dan keselesaankepada pembeli kereta Proton di UK?

10. Tidakkah kita terfikir bahawa keselamatan rakyat Malaysia terabai hanya kerana hendak menanggung kos "kebanggaan negara" sehinggakan akibat dari tekanan kewangan rakyat Malaysia terpaksa menggunakan scrap metal (kereta potong) `half cut' yang dibawa masuk ke Malaysia dan juga besi buruk yang dibuang oleh pengguna di Jepun, Singapura dan Eropah dibawa masuk ke Malaysia untuk diguna pakai oleh rakyat Malaysia.

11. Tahukah kita bahawa Di Malaysia, syarikat asing hanya membuka assembly plant (tempat pemasangan) untuk kenderaan mereka dengan mempunyai satu tujuan sahaja,iaitu menjadikan keluaran mereka status CKD (complete knockdown) supaya cukai boleh dikurangkan. Sedangkan kesemua mould dan expertise telah siap di-developed di Thailand atau Jepun. Sebagai contoh kereta Honda City ialah contoh product Thailand. Ia dibina dari scratch di Rayong, Thailand. Komponen-komponen kemudian dibawa ke Malaysia, Filipina, Indonesia untuk pemasangan. Kereta yang siap dipasang di Thailand diekspot ke seluruh dunia termasuk Jepun! Tiada satu Honda City yang dipasang di Jepun. Honda City di Jepun ialah sebuah kereta CBU dari Thailand. Kita boleh bayangkan bilangan pekerjaan (job creation) untuk rakyat yang terhasil dari dasar automotif Thailand berlipat-lipat kali ganda jika dibandingkan dengan Malaysia. Malah Thailand telah dikenali sebagai "Detroit of Asia" and soon will join the league of Japan and South Korea as world-class car producers.

12. Tahukah kita bahawa hanya rakyat Malaysia (terutamanya Melayu) sahaja yang menjadi seperti"vulture" atau gagak yang merobek-robek longgokan sampah besi buruk yang dilusuh (scrap) oleh penduduk negara lain. Di dalam longgokan sampah sarap besi buruk inilah rakyat Malaysia menjumpa alternator, pulley, pump dan sebagainya. Itu pun harganya bukanlah semurah yang disangka. Jika alternator yang baru kosnya RM1000, Ah Leong atau Chong di kedai potong(half cut) tadi akan menjual kepada kita barangan buangan tadi pada harga sekitar RM550. Jika selepas seminggu menggunakan barang buruk dan terbuang tadi, ia menjadi rosak, kita sendiri yang menanggung kerugian. Ini kemudiannya akan menyumbang pula kepada statistik pesakit mental.

13.Adakah kita sedar bahawa betapa besarnya sungguh pengorbanan rakyat Malaysia untuk memuaskan nafsu dan menampung kesilapan pemimpin negara.

14. Adakah ini balasan yang patut kita terima setelah kita memilih pemimpin yang sepatutnya membela rakyat sendiri tetapi sebaliknya dilayan sebegitu hina dan reckless sekali, seolah-olah mereka semua ini adalah kambing atau lembu di ladang. In other countries, their people have dignity and are treated with honour. Negara Komunis yang selalu di- demonised oleh rakyat negara ini (akibat propaganda) melancarkan projek kereta nasional untuk membantu rakyat dengan kereta tesebut simple dan murah, tetapi bertujuan supaya petani, nelayan juga boleh memiliki kereta, bukan untuk memuaskan nafsu ego sesiapa.

15. Akhir sekali berfikiran terbukalah dan sentiasa peka dengan isu-isu macam ini. Cubalah kita bersikap selalu bertanya kenapa, bagaimana, bukannya sekadar menjadi macam 'pok angguk' yang hanya tau angguk sahaja padahal diri sendiri kena tindas.'TEPUK DADA TANYA IMAN'.

Thursday, July 28, 2005

Naik letih melayan Umno

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

SETELAH lenguh berpukulan sesama sendiri dan berjaya menaikkan paras mercury mengenai penyalahgunaan AP hingga ke tahap menggelegak, Perhimpunan Agung Umno beralih pula kepada isu kegagalan DEB. Di sini, Umno yang buat dasar.



Dia yang melaksana dasar. Dia yang pinda dasar. Dia yang mengaku kegagalan dasar. Tak pasal-pasal yang disalahkannya ialah Tengku Mahaleel dan orang Melayu. Dari satu segi, ada juga hikmahnya. PAS belum berkesempatan memerintah di peringkat Pusat.
Jika tidak, PASlah ‘lembu Mekah’ yang di paksa memikul kegagalan Melayu. Dalam isu AP misalnya, jelas sudah bahawa ‘serangan balas’ terkini Tun Dr Mahathir yang membawa 21 fakta, benar-benar menenggelamkan hujah Dato’ Seri Rafidah dan sekaligus hujah pemimpin Umno di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah. Perhimpunan empat hari tiga malam itu jelas gagal melendikkan isu yang berkedut-kedut dalam dunia Melayu di Tanah Melayu.

Apa lagi helah Presiden Umno apabila bekas Presiden Umno sendiri masih berkeras bahawa “she (Rafidah) lied.” Bila “tidak bercakap benar, ” (Utusan Malaysia 27 Julai 2005) maknanya Umno berbohonglah. Di sini, siapa yang membohongi apa dan siapa, tak tahulah. Lihatlah, bagaimana pemimpin Umno menconteng arang kemuka orang Melayu.

Pada saya mudah saja. DEB salah sejak hari pertama ia dilahirkan kerana ia bertolak dari pekat faham nasionalisme Melayu bawaan Umno. Mana boleh satu dasar nasional yang memfokuskan orang Melayu sahaja.

Jika Umno menggunakan sentimen Melayu, tentulah logik bagi MCA dan MIC menggunakan sentimen bangsa mereka juga untuk memperjuangkan nasib kaum masing-masing.

Jika Umno menggunakan kaedah keadilan Islam untuk penyelesaian, DEB wajib mengenengahkan gagasan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum tanpa perlu menimbulkan apa juga peratus penyertaan sesiapa dalam membataskan ekuiti pemilikan mengikut bangsa dan pengenalan kaum.

Dengan adanya deklarasi sedemikian, semua rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan atau golongan termiskin akan terasa diri mereka dibela. Ini akan mengikis kecurigaan , hasad, prejudis dan nafsu saling berdengkian sesama sendiri.

Ia akan merapatkan jurang sosial dan membina keakraban serta perpaduan kaum. Tak perlulah Umno mengangkat-angkat keris dan membazir masa dalam perhimpunan. Ini, Melayu Barulah.

Globallah. Glokallah. Semuanya retorik. Saja nak sedapkan telinga pendengar dan mendidihkan sentimen orang Melayu. Jika betul-betul nak bantu anak Melayu sangat, kenapa tidak dijelaskan kedudukan hampir 120,000 pelajar yang tidak mendapat peluang untuk memasuki IPTS misalnya, kerana MARA dan PTPTN tidak disediakan peruntukan.

Isu ini sangat mendesak tetapi anihnya tak satupun keputusan konkrit dibuat yang mampu menghadiahkan sesuatu kepada warga Melayu dalam perhimpunan yang sebesar itu.

Sebenarnya, jika Umno dengar teguran PAS, sudah lama Malaysia selamat. Kami menentang pendekatan bangsa walaupun kami pun juga orang Melayu kerana kami lebih yakinkan penyelesaian yang telah disediakan Islam. Umno telah membazirkan masa melawan Islam yang dibawa oleh PAS tanpa alasan.

Umno duduk di atas dasar yang salah. Akhirnya setelah hampir 50 tahun, mereka gagal menguburkan PAS dan terus gagal dalam mengubah nasib Melayu. Ini yang dia asyik tukar istilah, jargon dan gagasan. Habis tak ada kerja, dia mulalah gubah syair, pantun dan lagu. Upah budak-budak main koir, gambus dan nasyid untuk memuji “pemimpin mursyid”(?).

Dalam hal ini, saya teringat benar dengan satu ingatan seorang pemimpin MCA yang menyebutkan faktor pentingnya iman dalam menangani gejala zina dan dadah. Beliau memberi reaksi kepada Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam isu pembekalan percuma jarum dan kondom.

Ertinya di sini, apabila tersepit, BN akan kembali kepada Islam setelah dilihatnya penyelesaian secara sekular tidak berhasil. Hatta, kemunculan dasar penerapan nilai-nilai Islam, masyarakat madani, pengisytiharan Malaysia negara Islam oleh bekas PM dan terkini, Islam Hadhari oleh PM sekarang adalah bukti-bukti kukuh tentang sesaknya nafas perjuangan Umno yang berteraskan kebangsaan.

Dalam perhimpunan Umno minggu lepas pun, saya masih mendengar seorang perwakilan Umno dari Terengganu yang cuba-cuba memberanikan diri untuk menyebutkan perkara pertanggungjawaban di Padang Mahsyar.

Ertinya di sini, jika Umno sudah menerima perkara soal jawab di akhirat, kenapa masih berdegil menggunakan perlembagaan dan peraturan-peraturan hidup yang terpisah dari agama. Tidak berdosakah meletakkan Perlembagaan Persekutuan mengatasi Al-Quran dan Hadith.

Malah, akhir-akhir ini pula, Umno sangat jelas kelihatan semakin membenci agama. Agama mula disebut sebagai candulah. Agama disebut perkara individulah. Zina dan pelacuran halal jika daruratlah. Mahu meminggirkan undang-undang yang mencegah kemungkaranlah. Sebelum ini, Umno jugalah yang menolak Hudud.

Pemimpin mereka menghina janggut Nabi, menyekat bantuan SAR, dan memutuskan untuk membatalkan penggunaan perkataan Islam dalam mana-mana pertubuhan. Rakyat memang tidak lupa dosa-dosa ini.

Walaupun, Hishamuddin Tun Hussein sudah mula melaungkan “takbir”, menandakan Umno sudah terkepit, tetapi ini tidak pernah menghalalkan Umno untuk terus mengelirukan rakyat melalui perjuangan Melayunya.

Jika Ayah Pin dan pengikutnya boleh diisytiharkan telah rosak akidah oleh Menteri Besar Terengganu, maka tidakkah pemimpin Umno juga telah lebih awal rosak akidahnya dengan perbuatan-perbuatan ini.

Nampaknya setengah pemimpin Umno juga turut perlu dihantar ke Pusat Pemulihan Akidah untuk proses penyembuhan. Jika Ayah Pin dituduh penakut apabila terus bersembunyi untuk berdepan dengan soal jawab mahkamah, apa wajarnya Umno untuk juga bersembunyi dan senyap sunyi apabila diminta oleh PAS untuk bermuzakarah?

Kembali kepada DEB, pada saya dasar tersebut akan gagal sekali lagi walaupun sedang ditiupkan rohnya untuk bernyawa semula. Ini kerana Umno meninggalkan Islam. Aspek Islam yang berkaitan di sini ialah pembelaan mesti dilakukan tanpa syarat asalkan rakyat itu miskin dan berhak mendapatkan bantuan.

Semangat Islam mudah saja iaitu menolong pihak yang lemah tanpa mengira kaum kerabat dan faham politik. Tanda-tanda kegagalan DEB era baru ini yang baru cuba diisytiharkan ini, pada saya dapat dibaca dari dua signal yang telah diangkat oleh Presiden MCA Dato’ Seri Ong Kah Ting dan Presiden Gerakan iaitu Dato’ Seri Lim Keng Yaik.

Walaupun saya tidak suka sebut perkara sejarah mengenai 13 Mei tetapi inilah bom jangka yang sedang menunggu kita. Jika AS boleh gagal di Iraq dan Afghanistan menggunakan undang-undang dan kekerasan, maka apa jaminan Umno untuk berjaya.

Hanyasanya, yang akan menyelamatkan Malaysia dan kita semua ialah keadilan bersumberkan peraturan dan keadilan daripada Allah S.W.T. Saya sesungguhnya tidak faham dengan ustaz-ustaz Umno.

Jika nasihat adalah teras kepada dakwah Islamiah, maka membinakah mereka apabila tidak menasihati kerajaan yang dipimpin oleh Umno ini? Saya cukup takut didakwa oleh Allah S.W.T. nanti sebagai manusia yang meruntuhkan agama sendiri.

“Perhatikanlah, betapakah mereka mengada-adakan dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata (bagi mereka).” (Surah An-Nisaa’: Ayat 50)

Monday, July 25, 2005

Orang kampung keliru dengan Kerajaan Umno...

"AP...? Apa tu AP..?" tergaru kepala Pak Mat bila isu ini dibuka di kedai kopi sewaktu membelek Akhbar Utusan. "Ini singkatan untuk apa..? Ayah Pin ke..?" celah Pak Kassim. "Tapi apa pasal sebut Bumiputera..?"

Inilah krisis maklumat yang telah menjadi kebingungan semua. Setelah beberapa tahun, isu Approved Permit (AP) ini telah membongkar banyak rahsia kejahatan Umno yang selama ini berlindung atas hak rakyat atau bumiputera khasnya. Semuanya berlegar dikalangan perut dan mulut sendiri. Banyak penjelasan yang perlu dibuat...



Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz diminta menjelaskan kenapa banyak permit import (AP) yang diberikan untuk mengimport aksesori (peralatan komponen) kereta sebenarnya kerana jenama kereta berkenaan tidak pernah ada pengeluarnya di luar negara.


Naib Presiden PAS, Husam MUsa dalam kenyataannya menuntut Rafidah menerangkan kenapa dasar seperti itu berlaku dan kalau ada pengeluarnya di dunia ini di manakan kilang dan pengeluar kereta-kereta itu.

Ini kerana, beliau bimbang, pendekatan ini dibuat untuk kepentingan kroni sahaja bukannya mempunyai kes yang asli dan tepat dengan dasar yang ditetapkan.

Beliau mendedahkan, beberapa jenama kereta di Malaysia, misalnya Brabus, sebenarnya tidak mempunyai kilang pengeluarnya.

"Pengedar kereta jenama Brabus sebenarnya mengimport komponen kereta dari pengeluar kereta Mercedes dan dipasang di Malaysia atas nama Brabus," dakwa Husam dalam kenyataannya.

Wald, satu lagi jenama kereta di Malaysia yang juga mendapat AP dari MITI tetapi tidak dapat dikesan pengeluar asalnya di luar negara.

"Kalau pengeluaran AP ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Rafidah dalam perhimpunan Umno hari ini hendaklah mendapatkan hak dari pengeluar asal kereta itu dahulu, di mana kilang pengeluar kereta ini sebenarnya," tanya Husam.

Sebenarnya, kata Husam, kereta ini mengimport aksesori kereta dari Wolkswagen dan dipasang di Malaysia dan diberi nama Wald.

Ketika menggulung perbahasan dalam Perhimpunan Agung Umno hari ini, Rafidah berkata, AP ada dua jenis iaitu yang terbuka dan francais.

Untuk AP francais, pengedar kereta di Malaysia dikehendaki mendapatkan hak pengedaran tunggal di negara ini untuk jenama kereta berkenaan di luar negara.

Selepas hak melalui perjanjian itu diperolehi dari penheluarnya barulah kerajaan melalui MITI, kata beliau, akan mengeluarkan permit import kepada mereka.

Ini termasuklah kereta jenama Brabus sebagaimana yang dibangkitkan oleh Husam dalam kenyataan ini.

Menurut Husam dalam kenyataannya, selain dari Brabus, jenama kereta di Malaysia yang tidak dapat dikesan pengeluarnya diluar negara adalah Lx Mode yang mendapat 480 AP, Brabus (192), G-Power (192), Impul (1074), Wald (2023), Kleement (199) dan Tom's (378).

Cyberluncai: Melayu di'layu'kan oleh pelayu Melayu sendiri....

Sunday, July 10, 2005

ZALIMKAH UMNO...?

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
MAKA, berkatalah bekas Perdana Menteri yang kini Penasihat Proton Holdings Bhd: “berdasarkan maklumat yang diperolehi, dari 67,000 AP yang diluluskan, 81 peratus atau 54,000 AP dibolot oleh 20 buah syarikat.” Cuma 19 peratus sahaja yang dikongsi oleh 82 syarikat-syarikat bilis bumiputera yang lain. - (Utusan Malaysia 6 Julai 2005).

Nah! satu lagi tembelang Umno yang mendedahkan maksud gemilang, cemerlang dan terbilang yang sebenar. Jika berita ini dikeluarkan oleh Presiden PAS, tentu ia akan cepat-cepat dicop sebagai fitnah. Jika diikutkan Tun Dr Mahathir Mohamad, “ini perlu kita (?) lihat kerana saya agak pasti ia tidak adil.” Dalam erti kata yang lain, tidak adil itu bermakna zalimlah.

Jika zalimlah amalan pembahagian AP yang boleh melibatkan kepentingan kewangan dalam ratusan juta ringgit, maka apa pula kedudukan nasib pelajar-pelajar seramai 34,500 yang layak untuk ke IPTS tetapi kerana masalah pembiayaan oleh MARA dan PTPTN, mereka seakan-akan dinafikan peluang untuk meneruskan pendidikan? Adilkah atau zalim?

Bayangkan, daripada 35,000 tempat yang ditawarkan cuma 500 pelajar yang mendaftar (Berita Harian, 6 Julai 2005, muka surat 8) kerana keputusan drastik MARA yang tidak lagi membiayai pelajar ke IPTS. Maklumat-maklumat ini disebut sendiri oleh Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Bumiputera (PKIBM).

Jika MARA sendiri pun sudah mengambil sikap mengangkat kedua-dua belah tangan, maka apa lagi yang masih tinggal dalam agenda pembelaan nasib anak Melayu.

Umno sebuah parti Melayu. Menteri Pelajaran dan Menteri Pendidikan Tinggi kita juga adalah pemimpin Melayu dari sebuah parti yang kononnya sangatlah Melayu. Slogan Umno berbunyi ‘Hidup Melayu’. Soalan mudah di sini ialah akan hidupkah Melayu dengan dua perkembangan ini?

Bagaimana pula dengan dasar meritokrasi? Apa pula khabarnya dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik? Adilkah? Jika zalim, siapa yang menzalimi dan siapa pula yang dizalimi?

Jika diperluaskan sedikit lagi tajuk keadilan ini dalam konteks kenaikan harga petrol dan diesel, maka adilkah menarik subsidi yang tidak akan melebihi RM2 hingga 3 bilion setahun sedangkan Petronas sedang selesa menikmati keuntungan RM58 bilion setahun?

Dalam keadaan merangkak menanggung beban inflasi terkini, rakyat terus digertak dengan iklan-iklan kenaikan bahan bakar tersebut hampir setiap pagi. Apabila diminta penjelasan, mulalah pemimpin Umno berkubu di sebalik alasan “mahu menyediakan peluang-peluang pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas yang lebih baik kepada rakyat.” (Berita Harian 2 Julai 2005).

Dalam membaca pendirian MARA terkini mengenai pinjaman kepada anak-anak Melayu, apakah ini yang dikatakan “demi menyediakan peluang-peluang pendidikan yang lebih baik.” Lebih baiklah itu agaknya apabila 34,500 orang anak muda Melayu yang terpaksa menolak tawaran ke IPTS semata-mata kerana sikap pemimpinnya yang enggan memberi pinjaman.

Jika kita betul-betul mengikuti pecahan komitmen pembelajaran setiap ibu bapa yang mahu menghantar anaknya ke IPTS, kita akan menangis. Ia cukup ‘mengancam’ bajet keluarga.

Bayangkan kesempitan sepasang penoreh getah dengan anak tujuh orang yang hidup menumpang di rumah mertua. Tiba-tiba pasangan tersebut perlu menyediakan bekalan kewangan berbentuk “one off” tidak kurang daripada RM1,500 demi menghantar anak mereka yang ditawarkan untuk mengikuti kursus diploma.

Bayangkan pula jika MARA masih dengan sikapnya yang enggan membantu. Mampukah pasangan malang itu menyediakan wang yang lebih kurang RM10,000 setahun untuk sepanjang dua atau tiga tahun?

Semaklah dengan mana-mana IPTS kenaan-kenaan yuran, baik akademik dan non-akademik termasuk makan minum, pengangkutan, kain baju, stokin kasut, penginapan dan asrama. Ini bukan beban sampingan yang boleh dipandang ringan.

Jika saya tidak silap, semasa skim pinjaman PTPTN mahu diperkenalkan dahulu, kerajaan ada menjamin pemberian kemudahan pinjaman yang automatik bagi sesiapa sahaja yang mendapat tawaran. Dalam perkembangan ini, tidakkah hak untuk mendapat pendidikan adalah termasuk keperluan basik setiap rakyat di mana-mana negara?

Berbalik kepada isu pemberian AP yang dilihat oleh Tun Dr Mahathir sebagai tidak adil, maka tidakkah wajar Parlimen Malaysia mengambil keputusan yang lebih “affirmative” berupa penubuhan segera suruhanjaya siasatan.

Dalam hal ini, BPR perlu diberikan “empowerment” yang mencukupi dan “exclusive territorial rights” tanpa diganggu demi mencari apa sahaja yang sebenar.

Hanya melalui suruhanjaya bebas sahajalah rakyat akan tahu kedudukan sebenar mengenai penyalahgunaan AP. Jika sekadar menyiasat tiga syarikat import kereta sedangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri mengambil sikap enggan mengulas, maka ini tidak menyelesaikan masalah.

Dalam semangat keadilan seperti yang cuba dipromosikan oleh bekas Perdana Menteri, alangkah bertuahnya Malaysia jika mempuyai pemimpin yang adil. Di sini, tiadalah cara hidup dan cara pemerintahan yang lebih adil mengatasi agama Islam. Allah menggesa melalui FirmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” - (Surah An Nisaa’: Ayat 58)

Bercakap mengenai adil dan ketaqwaan, setiap pemimpin perlu berani mempromosikan cara hidup yang mentaati Allah S.W.T. semata-mata. Meninggalkan keadilan dan ketaqwaan, apa lagilah yang masih tinggal kepada mana-mana kepimpinan negara?