Monday, November 28, 2005

Hanifa, Hanafi atau Brahim?



Oleh M FAQIH
HANIFA, Hanafi sekali sebut, hampir sama bunyinya. Sama-sama berpangkal kepada Ha dan suku kata kedua Ni dan seorang lagi Na. Bagi suku kata ketiga, satu Fa dan satu lagi Fi. Betul-betul hampir sama. Kalau disebut cepat sangat, tersasul lidah jadinya. Namun, perkataan Ibrahim agak jauh dan berada di luar linkungan persamaan sebutan.

Gambaran awal ini secara tidak langsung dikaitkan dengan persaingan sengit di antara dua calon tersebut. Ini kerana mereka mewakili dua parti Melayu yang besar di negara ini.

Bagaimanapun Ibrahim tidak kurang hebatnya. Beliau dikatakan mampu menarik sekurang-kurang 1,000 penyokong Umno untuk terus kekal bersama perjuangannya.


“Saya bertanding kerana desakan penyokong supaya berbuat demikian. Saya bukan calon Bebas namun sebagai calon rakyat,” katanya sebelum ini. Dan apabila turut sama bertaruh di gelanggang 6 Disember ini, maka situasi yang bakal berlaku menjelaskan Umno pastinya akan berada dalam suasana agak gelisah.

Ibrahim biar pun bukan lagi berada di bawah bumbung Umno, namun Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang diperjuangkan sudah dikenali di seluruh negara.

Mesej perpaduan Melayu dan hak-hak keistimewaan Bumiputera menjadi hala tuju perjuangan organisasi itu. Di bawah MTRK, Ibrahim berjaya menarik minat bekas-bekas pemimpin Umno yang tidak kurang pengaruhnya.

Siapa tidak kenal Dato’ Ariffin Hamid, Dato’ Ahmad Rusli Ibrahim, Dato’ Hassan Ismail, Dato’ Mustapa Yaakub dan ramai lagi. Mereka bukan calang-calang orang dalam percaturan politik Umno Kelantan.

Ibrahim berjaya menarik mereka berada di bawah kepemimpinannya. Di atas nama MTRK juga, bekas Adun Kota Lama, Leong Sue Siang menjadi akrab dengan bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas tersebut.

Itu belum lagi diambil kira jumlah undi yang diraih Ibrahim sebagai calon Bebas di Pengkalan Pasir tahun lalu. Beliau berjaya mengumpulkan sebanyak 1,500 undi atau 11 peratus di DUN Pengkalan Pasir.

Disebabkan faktur tersebut juga pemimpin Umno terutamanya Dato’ Annuar Musa cuba memperlihatkan keegolannya dengan mengeluarkan kenyataan seperti kebudak-budakan. Apa tidaknya, isu yang dibangkit hanya berkisar bubar dewan, cabar letak jawatan dan tawaran bagi Adun PAS yang melompat.

“Jelas sekarang nampak seperti orang yang bankrap idea,” kata Ketua Penerangan Umno Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud. Sikap ‘over confident’ dipamerkan Umno dalam banyak kenyataan mereka benar-benar memperlihatkan pemimpin parti itu gelisah.

Misalnya ‘Kekalahan bukti PAS tidak relevan’ – Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shaberry Chik, ‘Guna pengalaman pastikan BN menang’ – Menteri Besar Terengganu dan ‘Bubar jika kalah – Najib’.

Itu belum lagi diambil kira bekas seorang menteri yang dikaitkan dengan keruntuhan rumah tangga sepasang suami isteri di Kampung Jias, Pasir Mas suatu ketika dahulu. Begitu juga isu tabal raja di Ketereh pada April 1993 dan kehilangan wang pelaburan PPRT. Banyak pihak terluka dengan peristiwa itu.

Lagi menggelirukan apabila Hishammuddin tanpa berfikir panjang mendesak guru yang menyokong pembangkang diminta mencari kerja lain. Tidakkah itu menggambarkan ‘conflict’ dalaman berlaku di kalangan pemimpin Umno sekarang.

Umno juga cuba menggambarkan kempen mesra bagi ‘memujuk hati yang duka’. Bermula daripada kenyataan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, kononnya mahu mempamerkan kempen mesra dan tidak mudah melatah.

Benarkah ia berlaku sedemikian di peringkat bawah. Atau sekadar mesra di dada akhbar sahaja. Namun sebenarnya ada banyak kisah berlaku di sebalik kempen mesra yang diuar-uarkan itu. Ada anak angkat PAS diugut oleh pasukan khas.

Wartawan media harian ditegah buat liputan calon rakyat, Dato’ Paduka Ibrahim Ali dan jentera kempen muslimat diganggu. Selain itu, penyokong Umno berlakon sertai Umno dan banyak lagi. Adakah ini dinamakan sebagai mesra rakyat, atau sekadar seronok buat kenyataan di media massa.



Di akar umbi lain pula yang berlaku. Itu belum lagi diambil kira pengalaman pilihan raya umum lalu, apabila petugas media alternatif disekat daripada mendapat pas untuk membuat liputan di pusat penamaan calon dan tempat penjumlahan undi.

Di mana suara demokrasi yang dijunjung selama ini, sekiranya itulah yang mampu disuarakan. Inikah dipanggil orang sebagai kempen mesra rakyat. Kebimbangan lebih dirasakan sekiranya orang yang terlibat dengan banyak kes kontroversi dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan suatu ketika nanti.

Sepatutnya ketika melangkah ke era Kelantan maju dan Pasir Mas Baru, pemimpin seperti itu lebih elok diletak ‘di bangku simpanan’. Atau adakah ia secara tidak langsung menggambarkan Umno Kelantan benar-benar ketandusan seorang pemimpin yang mampu mempertahankan Kelantan sebagai Serambi Mekah.

Namun apa yang dapat diperhati dengan perkembangan sekarang, elemen-elemen untuk ‘merobohkan’ benteng Serambi Mekah mulai kelihatan. Apa tidaknya apabila ada pemimpin yang belum ‘insaf’ terus dinobatkan.

Rakyat Kelantan jangan dibiarkan bersubahat dengan agenda pemimpin yang sudah dikenali sebagai ‘panas baran’. Lihatlah apa yang berlaku di setiap kali persidangan DUN Kelantan berlangsung. Bagaimana lagaknya.

Lebih mencuit hati lagi apabila rakan-rakan media menceritakan, akhbar mereka akan dibuang ke lantai sekiranya berita yang dimuat tidak serasi dengan ‘nafsunya politik’.

Dunia era sekarang ada pemimpin yang tidak segan mengugut wartawan untuk ditukar sekiranya menyiarkan berita menguntungkan PAS dan kerajaan negeri.

Inikah dikatakan sebagai pendekatan ‘mesra’ yang cuba diperjuangkan pemimpin Umno Kelantan sekarang. Bagaimanapun pula dengan ‘upah’ sebanyak RM50 dimasuk dalam agenda mesyuarat pihak penganjur untuk dibagi kepada penyokong Umno dari tempat lain yang datang ke tempat kempen menteri di Pengkalan Pasir sekarang.

Itu juga belum diambil kira ‘merajutnya’ Naib Ketua Bahagian, Che Johan Che Pa selepas tidak dicalonkan. Biar apa pun biarlah 18,411 pemilih di Pengkalan Pasir membuat percaturan mereka tanpa meminggirkan maklumat yang dibekalkan.

Daripada jumlah tersebut terdapat seramai 454 pengundi yang menggunakan kad pengenalan negara jiran dan 5,800 pemilih tinggal di luar Kelantan.



Manakala mengikut komposisi kaum, pengundi Melayu seramai 17,469 orang atau 94.88 peratus, Cina – 863 orang (4.69 peratus), India – 55 orang (0.30 peratus), Bumiputera Sarawak – 5 orang (0.03 peratus), Orang Asli – seorang (0.01 peratus) dan lain-lain – 18 orang (0.10 peratus).

Pada pilihan raya umum lalu, jumlah pengundi seramai 18,646 orang. Ini bermakna jumlah pemilih kali ini susut sebanyak 235 orang.

Sebahagian besar ‘disingkir’ kerana meninggal dunia. Undi yang diraih Wan Abdul Aziz Wan Jaffar pada pilihan raya lalu sebanyak 7,168, manakala calon BN, Hanafi Mamat (7,113), dengan majoriti sebanyak 56 undi. Peratusan keluar mengundi pula sebanyak 77.6 peratus.

Bagaimanapun bagi penganalisis politik, Wan Nik Wan Yusof kebimbangan dirasakan apabila jumlah keluar mengundi kali ini lebih 85 peratus. “Dikhuatiri sekiranya peratusan menghampiri angka itu, kemunculan pengundi hantu tidak dapat ditolak. Ini akan menjejaskan ramalan awal yang dibuat,” katanya.

Berdasarkan situasi kempen yang berlaku sekarang, Umno tidak segan silu lagi menjadikan Sekolah Kebangsaan Mekasar sebagai medan untuk mencari pengaruh. Tiap-tiap hari boleh dikatakan program Umno dianjurkan di sekolah berkenaan.

Malah, Timbalan Presiden Umno sudah turun berkempen di sekolah berkenaan. Pada program penyampaian sumbangan sara hidup dan hari raya bekas-bekas tentera yang diadakan pada 18 November lalu, mungkin tidak salah kalau dikatakan Najib dimalukan dengan jumlah kehadirannya.

Monday, November 14, 2005

KEMBALIKAN SEMANGAT TOK JANGGUT DI KELANTAN....

fuadsyazwan

Orang Melayu sebenarnya tertipu dengan lembut lidah pemimpin yang berkepentingan dan tidak patriotik. Kenanglah siapakah dahulu berarak dari utara, selatan, timur dan barat menuju ke KL untuk menentang Malayan Union? Adakah orang-orang itu sekarang menjadi pemimpin? Bahkan mereka yang patriotik atas agama menentang British kafir telah dicap sebagai penderhaka seperti Tok Janggut dan Datuk Bahaman.

Pemimpin yang terkemudian pula ditangkap dan dipanjarakan seperti Pak Sako dan Ahmad Boestaman. Lihatlah di manakah pemimpin negara sekarang berada ketika menentang British. British cukup bijak menolak ulamak dan melantik orang-orang yang mendapat pendidikan baratuntuk memimpin negara supaya Islam tidak ditegakkan sepenuhnya di bumi Malaysia tercinta. Sepatutnya dengan gambar ini orang-orang melayu Islam sedar bahawa pembangunan sahaja tidak akan sampai ke mana kerana ia adalah perhiasan dunia semata.

Sepatutnya hiasi diri dahulu dengan akhlak Islam seperti Tok Janggut barulah lahir insan yang membangun rohani dan jasmani dan negara dengan sendiri akan maju. Walaupun kita rasa kita sudah maju, sebenarnya kita hanyalah maju sebagai pengguna teknologi barat bukan pembina teknologi baru. Nak buat kereta mainan pun tak mampu, kebanyakannya diimpot dari China dan Hongkong. Orang dulu lawan british kafir buat peletup sendiri dan pedang sendiri. Selain daripada itu kita patut sedar British boleh menguasai Tanah Melayu pun kerana kerjasama orang Melayu sendiri mungkin seperti soldadu dalam gambar Tok Janggut digantung. Dan yang lebih jauh Portugis dapat tawan Melakapun atas angkara orang Melaka sendiri.

Maka perlulah kita sedar dan insaf untuk menjadikan negara kita sejahtera, aman, membangun dalam acuan kita sendiri dan tidak jadi seperti Bosnia dahulu di mana rakyatnya Islam tetapi tidak kenal Islam kerana dibuai oleh budaya barat kafir, kita mesti kekalkan ulamak sebagai pemerintah yang boleh membimbing kita ke arah jalan yang lurus yang telah dirintis oleh Rasulullah s.a.w. Jangan jadi seperti rakyat Iraq yang sokong amerika kafir hingga negara tergadai dan Hukum Islam terbuang. Jangan jadi seperti musarraf yang sokong amerika kafir untuk serang sahabat seagama di Afghanistan.

Sokonglah perjuangan untuk menegakkan pemerintahan Islam sepenuhnya (bukan Islam untuk pembangunan sahaja tetapi rakyat Islam lupa ajaran Islam sebenar) bagi meneruskan semangat jihad Tok Janggut khususnya bagi orang Kelantan. Sekarang peluang sudah ada tunjukkanlah. Jangan kita kejar bermati-matian rezeki yang Allah telah tetapkan tetapi kejarlah masa depan di akhirat yang belum tentu lagi ke syurga atau ke neraka. Kita tidak tolak pembangunan tetapi pembangunan datang selepas kita betul-betul Islam insyaAllah.

Jangan takut papa kerana rezeki di tangan Allah. Hidupkan semangat Tok Janggut untuk menumbangkan fahaman yang amalkan Islam separuh-separuh tetapi menegakkan fahaman yang amalkan Islam sepenuhnya. Allahuakbar!

Sunday, November 13, 2005

EXCO TRG TAK FAHAM BAHASA......?

TKO

Sebelum ini kita telah mendengar bagaimana Ketua Pembangkang, YB Tuan Guru Hj Abd Hadi tidak dibenarkan berucap di sidang DUN Terengganu oleh speaker yang disifatkan oleh Tuan Guru paling 'teruk' (buruk) sepanjang beliau menjadi YB selama 20 tahun lebih.

Kebodohan speaker DUN Terengganu, Dato' Hj Che Mat Jusoh makin terselah lagi apabila beliau mengarah anak buahnya menampal banner menyambut Hari Raya untuk dirinya di tempat larangan Majlis Daerah Kuala Terengganu.


Klik gambar untuk gambar yang lebih besar dan jelas

Pihak Majlis satu hal pula, bila di buat report pun tak ambil cakna. Kalau pihak BN buat salah semuanya memandang satu mata, tetapi kalau pihak PAS buat salah, habis mata memandang, hingga terkeluar bijinya sekali.

Cyberluncai: Peluang nak isi perut dengan menggunakan duit kerajaan....

Saturday, November 12, 2005

UMNO: PARTI 'PONDAN' DAN NASIB BAIK.........

Sri Bunian

Assalamu’alaikum wm.wrt

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa UMNO bukanlah merupakan sebuah parti yang gagah dan perkasa. UMNO parti yang lemah dan pondan. Kita nampak gagah dan perkasa kerana UMNO adalah parti yang memerintah yang mempunyai kuasa eksekutif dalam pelbagai perkara. Dengan kuasa itulah ia memperguna dan memperalatkankan pelbagai institusi dan media yang wujud dalam Negara ini bagi membantu, menyokong dan menungkatnya supaya dapat ia memperhiaskan diri agar rakyat nampak gagah dan perkasa setiap waktu.


Setiap kali pilihan raya diadakan sama ada umum atau kecil, termasuk yang akan diadakan di DUN Permatang Pasir, Pasir Mas, Kelantan, UMNO pasti kelihatan amat gagah dan perkasa kerana UMNO wajib baginya mempergunakan kuasa yang ia miliki bertindak sebagai sebuah kerajaan pusat [yang memiliki pelbagai kekuatan] masuk bertanding bukan atas sifatnya sebagai sebuah parti politik untuk menentang PAS sebuah parti politik yang mempunyai serba-serbi kekurangan dan kelemahan.

Begitu juga dalam aspek menyalahgunaan kuasa, menyeleweng, pecah amanah, menipu rakyat, rasuah dan pelbagai perkara busuk-busuk yang dilakukan leh para pemimpinnya ang rendah akhlak dan moralnya dengan mudah dapat disembunyikan daripada pengetahuan awam kerana ia dilindungi oleh institusi-institusi yang berkuasa di dalam Negara ini termasuk seluruh media massa [cetak dan elektronik] yang dikawal sepenuh olehnya. Sampah sarap yang dibuatnya itu disembunyikan di bawah karpet dan sesiapa yang berpeluang menyelak karpet itu, maka terserlahlah kehudohan perangai bangsat UMNO.

Saya berkesempatan membaca dua rencana, satu darinya disiarkan oleh MalaysiaToday.net pada 14.10.2005 yang ditulis oleh Rustam A.Sani bertajuk “Si Jahil Sejarah dan Keangkuhannya” dan satu lagi disiarkan oleh Laman Marhaen yang diterjemahkan dari tulisan MGG Pillai pada 1.11.2005 bertajuk “Parti Komponen Barisan Nasional Bukan Diwujudkan Untuk Perjuangkan Kemerdekaan[National Front parties were not formed to fight for Malaysian independence].

Dari dua buah rencana tersebut, saya dapat membuat satu kesimpulan bahawa betapa senangnya UMNO mendapat kuasa tanpa reality sebenar berjuang menuntut kemerdekaan dari tangan penjajah Inggris. Dalam kata lain ‘nasibnya baik’ menerima kemerdekaan dan kuasa memerintah daripada penjajah Inggeris dengan cara mudah tanpa melalui liku-liku perjuangan yang memedihkan berbanding dengan lain-lain persatuan, pertubuhan dan parti-parti politik yang tidak bernasib baik kerana mereka enggan menyerah kalah, tunduk, melutut dan memenuhi apa sahaja kehendak Inggeris.

Dalam tulisan ini saya hendak berkongsi pengetahuan dengan para pembaca semua bahawa UMNO mendapat kuasa untuk memerintah semenjak dari Negara mencapai merdeka pada tahun 1957 sehingga kini bukanlah di atas perjuangannya yang tulen dan sejati, tetapi kerana ‘nasibnya baik’ dan secara kebetulan bukan melalui perjuangan yang berliku-liku yang terpaksa berkorban menumpahkan air mata, darah dan keringgat sepertimana yang telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu di dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan lain sebelum UMNO wujud di muka bumi Malaysia ini. UMNO merima kemerdekaan dalam bentuk ‘tinta emas’ berjuang kemerdekaan dalam bilik berhawa dingin dengan penuh keselesaan dan keenakan. Sekurang-kurangnya terdapat 4 keadaan yang UMNO ‘bernasib baik’ yang dapat terus memerintah Malaysia sehingga ke hari ini.

UMNO bukan merupakan sebuah parti tunggal yang memperjuangkan kemerekaan Tanah Melayu. Malah perjuangan kemerdekaan telah lama wujud selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 lagi. Ianya dipergiatkan dalam dekad-dekad 1900an, 20an dan 30an apabila pemimpin-pemimpin muda dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan yang mendapat ilham daripada kembangan sekitar Negara-negara jiran yang berjuang menuntut kemerdekaan, melalui suratkhabar dan majalah [dalam dan luar negeri] yang meniupkan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan dan juga pengaruh gerakan Islam di Timur Tengah yang dibawa balik oleh pelajar-pelajar khususnya pelajar-pelajar yang menuntut di Mesir dan dikembangkan di Tanah Melayu ketika itu.

Sebelum UMNO ditubuhkan, sudah wujud pelbagai persatuan, pertubuhan dan parti-parti politik khususnya untuk menghalau penjajahan Inggeris meningalkan Tanah Melayu dan mendapat kemerdekaan secara total. Secara total disini bermaksud, kemerdekaan yang akan dicapai itu akan memberi kebebasan 100% dan tidak terikat atau terpengaruh dengan system pentadbiran British yang menjajah Tanah Melayu hampir 500 tahun. Kebebasan membentuk system pentadbiran mengikut cita rasa dan budaya berpaksikan Melayu-Islam, berupaya berdiri di atas kaki sendiri bukan meniru system dan gaya pentadbiran Inggeris sepertimana yang telah dilakukan oleh UMNO.

Hasrat ini ditentang oleh penjajah Inggeris habis-habisan. Banyak persatuan, pertubuhanan parti-parti politik yang ditubuhan menentang Inggeris diharamkan dan pemimpin-pemimpinya ditangkap dan dipenjarakan. Dalam perkara ini tidak seorang pun pemimpin-pemimpin UMNO yang ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak penjajah Inggeris, malah pihak Inggeris memberi sokongan dan dokongan bagaimana hendak menguruskan Negara ini selepas Inggeris meninggakannya.

‘Nasib baik’ pertama UMNO, penubuhan UMNO memang dinanti-nantikan oleh pihak penjajah Inggeris [kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO ketika itu ialah pegawai-pegawai Melayu yang disenangi oleh pihak Inggeris] kerana pada waktu itu, semua Negara-negara yang dijajah oleh kuasa-kuasa besar barat [Inggeris, Belanda, Sepanyol, Portugis dan Amerika] mula melepaskan satu demi satu Tanah Jajahannya. Sudah menjadi trend ketika itu, semua Negara yang dijajah, rakyat di Negara-negara tersebut bangkit menuntut kemerdekaan dan penjajah tidak ada alasan yang kukuh untuk mempertahankan atau meneruskan menjajah di Negara-negara berkenaan untuk selama-lamanya. Kemerdekaan Tanah Melayu ini dilambat-lambatkan kerana Inggeris mendapati tidak ada sebuah pun persatuan, pertubuhan atau pun parti-parti politik yang wujud ketika itu yang serasi dengan system nilai yang dipegang oleh penjajah Inggeris untuk diwariskannya.

Dengan tertubuhnya UMNO, maka impian Inggeris untuk menyerahkan kuasa kepada anak negeri sendiri untuk memerintah telah tercapai. Formalitinya adalah sedikit sebanyak ketegangan dalam rundingan kemerdekaan sebagai untuk menunjuk kepada rakyat bahawa itulah ‘perjuangan’ UMNO.

Hakikat sebenarnya ialah penjajah Inggeris memang ingin benar menyerahkan kuasa kepada UMNO kerana UMNO sanggup mewarisi segala apa yang Inggeris telah lakukan di Tanah Melayu termasuk tidak menjadikan Islam sebagai dasar pemerntahan Negara dan mengekalkan system budaya dan system pemerintahan Negara ini di bawah system secular, Islam hanya dibenarkan diamalkan sebagai ‘ritual’ semata-mata seperti mana Inggeris lakukan sepanjang Inggeris menjajah Tanah Melayu.

Penjajah Inggeris tidak pernah menggangu amalan yang terdapat dalam ajaran Islam, adat istiadat Melayu dan Raja-raja Melayu. Sama juga dengan UMNO, tetapi UMNO ada menganggu system beraja dalam krisis Perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993. Sampai sekarang, UMNO masih lagi mengamalkan warisan Inggeris dalam system pemerintahan, masih lagi system pemerintahan secular, dalam system ekonomi, masih lagi system ekonomi kapitalis dan undang-undang masih lagi terikat dengan undang-undang Inggeris, temasuk Perlembagaan Negara yang masih menjadi rujukan adalah hasil gubahan Lord Reid dan amalan dalam ajaran dan hukum Islam masih lagi bersifat individu bukan negara.

‘Nasib Baik’ UMNO kedua, pada pilihan raya umum tahun 1969, Perikatan ketika itu mengalami kekalahan yang paling teruk selepas kemerdekaan. Dua buah negeri, Pulau Pinang dan Kelantan jatuh ke tangan pembangkang. Pulau Pinang jatuh ke tangan parti Gerakan dan Kelantan jatuh ke tangan parti PAS. Walaupun pada ketika itu, SPR menyatakan bahawa Perikatan telah berjaya mempertahankan semua kerajaan negeri [kecuali P.Pinang dan Kelantan], namun pada hakikatnya Perikatan mengalami kekalahan di Perak dan di Selanggor. Perikatan hanya menang 19 kerusi daripada jumlah 40 kerusi di DUN Perak, manakala PPP, DAP, Gerakan dan PAS memenangi 21 kerusi. Jadi, berdasarkan hukum demokrasi, Perikatan tidak boleh dikira sebagai pemenang, sekiranya PPP, DAP, Gerakan dan PAS bergabung, maka merekalah [yang mempunyai majority 21 kerusi] yang berhak membentuk kerajaan negeri bukan Perikatan. Sekiranya ini berlaku, tidak sulit untuk mencari siapa yang akan dilantik sebagai MB kerana dalam pakatan tersebut mereka mempunyai 3 orang pemimpin Melayu iaitu Shamsudin Harun dari PPP, Ibrahim Singgeh dari DAP dan Mahmod Zainal Abidin dari PAS.

Apa yang berlaku di Selangor lebih menarik lagi di mana Perikatan memenangi kerusi sama banyak dengan kerusi yang dimenangi oleh pembangkang. Perikatan menang 14 kerusi dan parti-parti pembangkang DAP [9], Gerakan [4] dan Bebas [1]. Ini amat menyulitkan perikatan untuk menubuhkan kerajaan negeri yang menyebabkan para penyokong UMNO mengadakan perhimpunan di kediaman rasmi MB di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada petang 13 Mei kerana kedudukan Harun Idris sebagai MB amat tergugat dan pada sebelah malamnya pula berlaku perarakan yang besar oleh pembangkang yang hendak merayakan kemenangan mereka. Perarakan ini mendapat tindak balas dari para penyokong UMNO, maka berlakulah pertembongan yang mencetuskan keadaan kucar-kacir dan haru-hara yang memaksa kerajaan mengistiharkan darurat yang kemudiannya membawa kepada pemerintahan MAGERAN.

Pemerintahan oleh MAGERAN adalah untuk memulihkan keadaan supaya kembali stabil, disamping UMNO melalui Tun Razak Hussein [yang mengambilalih pemerintahan dari Tengku Abdul Rahman Putra sebagai PM ke dua] menyusun semula strategi politiknya dengan menubuhkan gabungan parti-parti politik yang diberi nama Barisan Nasional [BN]. Semua parti politik bergabung di bawah BN termasuk PAS di bawah pimpinan Dato’ Mohd.Asri Hj. Muda [akhirnya mati dalam UMNO] kecuali DAP yang enggan bergabung dengan BN. UMNO masih lagi bernasib baik kerana ia berkuasa membentuk MAGERAN yang menjaga survivalnya. Ini ditunjukkan dalam pilihan raya tahun 1974, semua kawasan yang ditandinginya menang muda tanpa pencabar,BN menang besar. Tahun 1978, PAS ditendang keluar dari BN. UMNO kembali teguh.

‘Nasib Baik’ UMNO ketiga ialah pada pilihan raya umum pada tahun 1990. Tengku Razaleingh Hamzah yang memimpin parti SM46 ketika itu menentang UMNO bersama-sama dengan Rais Yatim dan pemimpim-pemimpin bekas parti SM46 yang kini ramai yang menganggotai karbinet Abdullah Ahmad Badawi. Pada pilihan raya itu, pada mula orang Melayu sangat marah terhadap Mahathir Mohamad kerana menubuhkan UMNO baru [UMNO Mahathir] dan enggan menggunakan kuasa yang ada padanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk menghidupkan kembali UMNO yang diharamkan oleh mahkamah.

UMNO baru berbeza daripada UMNO asal yang benar-benar memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan kedaulatan Raja-raja melayu. UMNO baru yang konsepnya lebih liberal yang lebih merugikan bangsa Melayu dan konsep tidak mesra terhadap Raja-raja. Dasar UMNO baru lebih pro kepada golongan peniaga dan industri berat untuk mencapai status Negara maju dengan cepat. Dasar ini secara tidak langsung meminggirkan industri pertanian yang kebanyakkanya diceburi oleh orang Melayu.

Kempen parti SM46 yang bergabung dengan PAS yang dinamakan sebagai Angkatan Perpaduan Ummah dan dengan DAP serta PBS dikenali sebagai Gagasan Rakyat berjaya menarik ramai orang Melayu menyokong Ku Li. Keghairahan Ku Li berkempen tersilap langkah apabila beliau bersama dengan Joseph Pairin Katingan dikalongkan [memakai] tengkolok bersimbol ‘salib Kristian’.

Gambar ini digunakan sepenuhnya oleh media massa milik UMNO menjelang hari pengundi. Ia disebarkan, dihebahkan dan dipertontonkan ke seluruh Negara melalui akhbar, radio dan TV. Ramai orang Melayu terpengaruh dengan sebaran gambar Ku Li dan menjejas imej Ku Li sebagai pemimpin Melayu yang sanggup memakai tengkolok berlambang salib Kristian dan mengadaikan prinsip Melayu-Islamnya demi mengejar kedudukan dan kuasa. Serangan balas dari pihak ku Li menyebarkan gambar Mahathir juga dikatakan mengandungi lambing salib Kristian sedang menari bersama-sama dengan Pairin Katingan tidak berkesan kerana tidak mempunyai media seperimana yang UMNO miliki. Sokongan orang Melayu kembali kepada UMNO. Sekali lagi UMNO bernasib baik, kembali menubuhkan kerajaan terus memerintah Malaysia.

‘Nasib Baik’ UMNO keempat ialah ketika pilihan raya umum ke 10 pada tahun 1999. Ketika itu seluruh orang Melayu sangat marah terhadap cara UMNO menguruskan kes Anwar Ibrahim. Krisis Anwar-Mahathir membawa satu arus perubahan yang dashat terhadap landskap politik orang Melayu. Mereka bangun beramai-ramai membantah tindakan pemecatan Anwar dari kerajaan dan UMNO seterusnya Anwar dihumban ke dalam penjara Kajang.

Kezaliman UMNO terhadap Anwar membentuk satu kefahaman politik yang tidak pernah berlaku sebelum itu, di mana PAS, Keadilan, DAP dan PRM membentuk satu gabungan diberi nama Barisan Alternatif. Hasilnya, UMNO terpukul teruk, majority pengundi Melayu menolak UMNO. BA[gabungan parti-parti pembangkang] mencatat sejarah apabila mereka menang besar dalam pilihan raya tersebut. Inilah merupakan pilihan raya yang terbaik prestasinya bagi parti-parti pembangkang yang hampir-hampir dapat menumbangkan UMNO/BN dan pilihan raya ini merupakan yang terburuk buat UMNO.

Walau pun begitu, nasib baik UMNO masih terus menyebelahinya sungguh pun pengundi-pengundi Melayu menolaknya, tetapi bagi di Semenanjung khususnya di Lembah Kelang, Selangor, Perak, Kedah dan Pahang 90% pengundi-pengundi Cina dan India berpihak dan mengundi UMNO/BN dan UMNO kembali berkuasa semula. Jadi, politik perkauman akan berterusan selama-lamanya selagi UMNO memerintah kerana ianya membawa kepentingan politik yang besar dengan dasarnya “pecah dan perintah” untuk terus berkuasa.

Kesimpulannya, UMNO bukan merupakan sebuah parti yang kuat, gagah dan perkasa. Ia hanya sekadar “Nasibnya Baik”. Oleh kerana itu, apabila ia hendak kembalikan sokongan orang Melayu kepadanya seperti yang ditunjukan dalam pilhan raya ke 11 pada tahun 2004 lalu, maka UMNO terpaksa menggunakan apa sahaja institusi yang wujud dalam Negara ini tanpa mengambil kira halal atau haram serta mengawal media untuk mengawal fikiran, tingkah laku dan saikologi orang Melayu supaya kembali menyokong UMNO sepertimana yang UMNO lakukan terhadap pilihan raya kampus baru-baru ini. Kesannya, pilihan raya umum ke 11 itu merupakan pilihan raya paling kotor dan terburuk dalam sejarah pilihan di Malaysia yang mana pelbagai penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penipuan, pembohongan dan rasuah bermaharajalela serta hilangnya kredibiliti SPR dalam mengendalian pilihan raya tersebut. Sekali lagi UMNO akan diuji tentang nasib baiknya itu dalam pilhan raya kecil di DUN Permatang Pasir, Kelantan pada 6 Disember ini.

Sekian. SELAMAT BERJUANG MENUMPASKAN UMNO DI PERMATANG PASIR. Allahuakbar!
Terima kasih.Wassalam.

Cyberluncai: UNDILAH PAS UNTUK KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN GENERASI AKAN DATANG.....

Friday, November 11, 2005

NAJIB TIPU ORANG KAMPUNG.....

Roslan SMS

Pas boleh kata kemajuan mereka yang buat tetapi siapa yang lulus peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan termasuklah projek bekalan air, siapa yang curah wang dengan memberi pinjaman RM600 juta kepada kerajaan Kelantan, sudah tentulah Kerajaan Pusat. Semua ini Kerajaan Pusat lakukan kerana tidak rela melihat rakyat Kelantan berada dalam kesusahan, kita bantu supaya ada pembangunan.

Demikianlah petikan ucapan Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak yang juga TPM semalam ketika berada di Pasir Mas, Kelantan sebagaimana yang disiarkan oleh UTUSAN hari ini.



Kenyataan Najib itu seolah-olah membayangkan bahawa Kelantan adalah sebuah negeri asing, negeri dhaif dan terbiar yang hanya boleh hidup dan bergerak apabila ada ikhsan dari kerajaan Persekutuan yang kebetulan dikuasai oleh Umno/BN.

Betapa hina dan bangsat sekali rupanya rakyat Kelantan sebagaimana yang mahu digambarkan oleh Najib itu!

Tetapi tidakkah Kelantan sebagaimana 12 buah negeri lain dari Perlis sehinggalah ke Sabah dan Sarawak bersama-sama bernaung dan membentuk Persekutuan Malaysia? Persekutuan Malaysia itu sendiri merupakan ikatan perkongsian dengan syarat dan tanggungjawab yang dipegang bersama oleh semua negeri-negeri sejak dari Merdeka lagi.

Najib barangkali terlupa atau tidak tahu atau perlu diberitahu tentang semangat Persekutuan Malaysia agar beliau tidak terus membohongi dan memperdayakan rakyat khususnya dalam Pilihanraya Kecil DUN Pengakalan Pasir ini.

Allahyarham Tun Mohamaed Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara di dalam bukunya An Introduction to the Constitution of Malaysia (1976) menulis:

In a federation states are necessary parties. Needless to say, a federation is like a partnership, and like all other partnerships, its success and smooth working depend on goodwill on the part of all its partners and a willingness to make it work.

Di dalam persekutuan semua negeri-negeri adalah ahli yang wajib. Tidak perlu dinyatakan bahawa sesungguhnya sebuah persekutuan itu sebenarnya adalah laksana sebuah perkongsian, kejayaan dan kelancarannya tertakluk kepada budibicara semua pihak yang membentuk perkongsian tadi yang masing-masing berusaha menjayakannya.

Menurut Tun Suffian lagi oleh kerana bukan semua hasil mahsul dari percukaian yang dipungut dalam negeri diperolehi oleh negeri, contohnya cukai pendapatan, cukai ke atas petrol dan lain-lain. Cukai-cukai ini kebanyakkannya pergi terus ke kerajaan Persekutuan. Oleh itu padanlah maka kerajaan Persekutuan terpaksa memikul sebahagian besar perbelanjaan yang melibatkan semua negeri-negeri termasuklah umpamanya perbelanjaan untuk pertahanan, keselamatan dalam negeri, pendidikan, hospital dan lain-lain.

Dalam hal ini Najib perlu sedar oleh kerana Kelantan berada dalam Persekutuan Malaysia, walaupun parti yang memerintah diperingkat Persektuan dan negeri berbeza, namun tanggungjawab pihak berkuasa Persekutuan dan negeri iaitu untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat adalah sedia maklum.

Ini bermakna wang RM600 juta yang Najib ungkit itu kalau mahu dihalusi sebenarnya bukanlah milik Umno ataupun BN tetapi wang perolehan Kerajaan Persekutuan yang dipungut hasilnya dari negeri-negeri termasuklah Kelantan.

Oleh itu janganlah menghina dan merendah-rendahkan rakyat Kelantan sedangkan mereka juga masing-masing sebagaimana rakyat di negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia adalah penyumbang kepada hasil kerajaan Persekutuan yang kebetulan Najib merupakan orang nombor duanya.

Hairan kerajaan dunia lain yang mengamalkan sistem persekutuan ini tidak pula sebongkak TPM kita apabila membicarakan hubungan antara persekutuan dan negeri. Nigeria, India dan Pakistan juga mengamalkan sistem sebagaimana kita, namun segalanya berjalan lancar dan sempurna.

Di pentas dunia kita berkokok menuntut keadilan untuk dunia ketiga tetapi di dalam negara kita sendiri, kita mengamalkan apartheid, menganak-tirikan sesama ahli dalam persekutuan semata-mata kerana berlainan parti (walaupun sesama bangsa dan agama).

Beginikah TPM negara dunia pertama?