Saturday, January 28, 2006

HADIAH 'TAHUN ANJING' UNTUK TUN.....



DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR
DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA
(BAHAGIAN SIVIL)
GUAMAN SIVIL NO:

ANTARA

DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM (PLAINTIF)

DAN

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD (DEFENDAN)

WRIT SAMAN



“YANG AMAT ARIF TAN SRI DATO’ SITI NORMA BINTI YAAKOB,
P.S.M., D.S.N.S., J.S.M., HAKIM BESAR MALAYA ATAS NAMA
DAN BAGI PIHAK SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG”

Kepada :

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA LEADERSHIP FOUNDATION
NO. 1, JALAN P8H, PRECINT 8
62250 PUTRAJAYA


KAMI PERINTAHKAN KAMU bahawa dalam tempoh lapan (8) hari selepas penyampaian Writ ini ke atas kamu, termasuklah hari penyampaian itu, kamu hendaklah menyebabkan kehadiran dimasukkan untuk diri kamu dalam kausa atau guaman dan ambil perhatian bahawa jika kamu ingkar berbuat demikian, Plaintif boleh meneruskan untuk mendapatkan penghakiman dan pelaksanaan.

DISAKSIKAN OLEH ……………………………………………….., Timbalan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Malaya pada 27 haribulan Januari 2006

…………………… ..……………………………..
Peguamcara Plaintif Timbalan Pendaftar
Mahkamah Tinggi Malaya
Kuala Lumpur

MEMORANDUM YANG HENDAK DITURUNKAN PADA WRIT

Writ ini tidak boleh disampaikan lebih daripada enam (6) bulan kalendar selepas tarikh di atas melainkan jika diperbaharui melalui perintah Mahkamah.

Defendan (atau Defendan-Defendan) boleh hadir bersama dengan memasukkan kehadiran (atau kehadiran-kehadiran) sama ada sendiri atau melalui peguamcara di Pejabat Pendaftaran, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

Defendan yang hadir sendiri boleh dikehendakinya mamasukkan kehadirannya malalui pos dan borang-borang tertentu bolehlah didapati dengan menghantar Kiriman Pos berharga RM 10.00 berserta sampul surat beralamat sendiri kepada Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Malaysia.

PENGINDORSAN TUNTUTAN

Seperti di dalam Pernyataan Tuntutan dan melebihi RM250,000.00 dan berserta dengan faedah pada kadar 8% setahun dari tarikh pemfailan saman sehingga penyelesaian penuh dan kos dalam tindakan ini. (Seperti di dalam Pernyataan Tuntutan yang difailkan bersama-sama ini).

Plaintif menuntut daripada Defendan,

(a) Compensatory Damages;
(b) Aggravated Damages;
(c) Gantirugi Teladan;
(d) Injunksi untuk menahan Defendan sama ada menerusi Defendan sendiri, agen dan/atau pekerja dan/atau sesiapapun daripada melafazkan, bercakap atau menerbitkan kata-kata menyinggung tersebut atau kata-kata yang mempunyai kesan terhadap Plaintif atau perkataan yang sama memfitnah Plaintif;
(e) Faedah ke atas jumlah penghakiman untuk jangkamasa dan kadar tertentu yang mana Mahkamah anggap perlu dan sesuai;
(f) Kos;
(g) Apa-apa relif yang Mahkamah anggap perlu dan suaimanfaat.

Dan RM………………………… (atau sekian banyak wang sebagaimana yang dibenarkan setelah ditetapkan) untuk kos dan juga, jika Plaintif mendapat perintah untuk penyampaian ganti, jumlah wang selanjutnya sebanyak RM…………….. ( atau sekian banyak wang sebagaimana yang dibenarkan setelah ditetapkan. Jika amaun yang dituntut dan kos dibayar kepada Plaintif atau peguamcaranya dalam tempoh lapan (8) hari selepas penyampaian Writ ini (termasuklah hari penyampaian), prosiding seterusnya akan ditangguhkan, tetapi jika ternyata daripada pengindorsan pada Writ itu bahawa Plaintif adalah bermastautin di luar wilayah terjadual, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Akta Pertukaran Kawalan, 1953, atau adalah bertindak mengikut perintah atau bagi pihak seseorang yang bermastautin sedemikian, prosiding akan hanya ditangguhkan jika amaun yang dituntut dan kos dibayar ke dalam Mahkamah dalam masa yang tersebut itu dan notis pembayaran itu diberi kepada Plaintif atau peguamcaranya.

WRIT SAMAN ini telah difailkan oleh Tetuan S.N. Nair & Partners, Peguamcara Plaintif yang mempunyai alamat penyampaian di Suite 5C, Level 5, Wisma Kosas, Jalan Melayu 50100 Kuala Lumpur. Tel: 03 26976686; Fax: 03 26976685 (Ref: SNN/DSAI/TUN M/05)

DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR
DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA
(BAHAGIAN SIVIL)
GUAMAN SIVIL NO:

ANTARA

DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM (PLAINTIFF)

DAN

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD (DEFENDANT)

PERNYATAAN TUNTUTAN

1. Plaintif ialah seorang Distinguished Visiting Professor of Southeast Asian Islam di School of Foreign Service di Georgetown University, Washington D.C, Amerika Syarikat dan seorang Senior Associate Member di St. Anthony’s College di Oxford University, United Kingdom. Plaintif juga antara lain, merupakan Visiting Diplomat di Council of Foreign Relation, New York.

2. Plaintif merupakan seorang ahli politik kebangsaan dan antarabangsa, memegang jawatan dan portfolio-portfolio di dalam Kabinet Malaysia sejak awal tahun 1980, antaranya, Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri pada tahun 1982; Menteri di Kementerian Belia, Sukan dan Budaya pada tahun 1983; Kementerian Pertanian pada tahun 1986, Kementerian Pelajaran, Kementerian Kewangan pada tahun 1991; dan Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1993 sehingga 2.9.1998. Di pertengahan tahun 1997 Plaintif ialah pemangku Perdana Menteri selama 2 ½ bulan. Plaintif juga memegang jawatan di pertubuhan antarabangsa termasuk UNESCO and IMF. Plaintif juga merupakan Timbalan Presiden UMNO, antara lain-lain jawatan yang dipegang oleh Plaintif di dalam UMNO sejak Plaintif menyertai UMNO dan juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

3. Defendan merupakan Perdana Menteri Malaysia sehingga perletakan jawatan pada bulan Oktober 2003.

4. Pada 9 September 2005, di satu sidang akhbar di premis SURUHANJAYA HAK ASASI MANUSIA MALAYSIA (“SUHAKAM”) di Kuala Lumpur, yang dihadiri oleh beberapa jurnalis dan perwakilan akhbar dan media, tempatan dan antarabangsa, termasuk media elektronik, (yang mana Plaintif tidak dapat mengenal pasti kecuali Roshan Jason, seorang jurnalis dari MALAYSIA KINI (selepas ini disebut sebagai “Malaysiakini”), Defendan, apabila bercakap mengenai Plaintif dan kelakuannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, antara lain, secara salah dan secara niat jahat bercakap dan menerbitkan kepada jurnalis-jurnalis perkataan berikut berkenaan dan ditujukan kepada Plaintif:-

“I cannot have a sodomiser in my cabinet”.

“Imagine a gay PM………..nobody will be safe” (selepas ini disebut sebagai “kata-kata menyinggung”)


Terjemahan Bahasa Malaysia adalah,

“Saya tidak boleh menerima seorang peliwat di dalam Kabinet saya”

“Bayangkan seorang Perdana Menteri homoseksual …… tiada siapa yang akan selamat” (selepas ini disebut sebagai “kata-kata menyinggung tersebut")

5. Kata-kata menyinggung tersebut adalah fitnah terhadap Plaintif. Kata-kata menyinggung tersebut di dalam maksud semula jadi dan biasa (natural and ordinary), di dalam konteks percakapan, dimaksudkan dan difahami, antara lain, bermaksud:

i) Plaintif ialah seorang homoseksual;

ii) Plaintif telah mengadakan persetubuhan dengan lelaki berlawanan dengan peraturan alam semulajadi yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 377A dan 377D Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara dan sebatan.

iii) Plaintif telah terlibat dengan aktiviti-aktiviti berlawanan dengan Islam dan seterusnya telah bersalah di bawah kesalahan liwat di bawah seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang boleh dihukum dengan penjara dan sebatan.

Plaintif akan merujuk kepada semua undang-undang berkenaan di prosiding interlokutori dan perbicaraan penuh nanti.

iv) Plaintif merupakan seorang yang terpesong (pervert) dan tidak mempunyai akhlak mulia;

v) Plaintif merupakan seorang yang tidak sesuai untuk memegang jawatan politik, atau mana-mana jawatan;

vi) Plaintif merupakan seorang yang cenderung kepada jenayah.

vii) Plaintif merupakan seorang yang berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

6. Defendan telah melafazkan kata-kata menyinggung tersebut dengan niat untuk merendah-rendahkan Plaintif di dalam kapasiti peribadi dan rasmi, termasuk kapasiti Plaintif sebagai mantan Menteri Kewangan dan mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

7. Defendan telah bercakap mengenai kata-kata menyinggung tersebut di dalam pengetahuan bahawa kata-kata menyinggung tersebut atau intipatinya akan diterbitkan di media tempatan dan antarabangsa, termasuk media elektronik dan akhbar, termasuk Malaysiakini di bawah tajuk “Nobody will be safe from ‘gay’ PM says Dr. M” pada 9-9-2005 dan Agence France-Presse (selepas ini disebut sebagai “AFP”) pada 10-9-2005, dan diterbitkan semula pada tarikh yang sama atau lain di dalam Singapore Business Times; Straits Times Singapore; The Associated Press (selepas ini disebut sebagai “AP”), suratkhabar The Age di Melbourne dan di tempat lain dan/atau pengulangan dibenarkan. Selanjutnya dan/atau secara alternatif, penerbitan semula adalah kesan semula jadi dan kesan kemungkinan dari penerbitan asal oleh Defendan.

8. Plaintif memplid bahawa kata-kata menyinggung tersebut juga telah disiarkan di televisyen secara meluas oleh ANN Singapore dan beberapa media Jepun dan lain-lain televisyen dan stesen radio seluruh dunia sehingga menyebabkan kerosakan yang tidak boleh dibaikpulih terhadap reputasi Plaintif.

9. Plaintif memplid bahawa AP dan AFP adalah ‘wire service’ dengan pelanggan seluruh dunia dan antarabangsa dengan pengedaran yang meluas dan berpengaruh termasuk Malaysia.

10. Dengan sebab penerbitan kata-kata menyinggung tersebut oleh Defendan dan penerbitan semula kemudiannya yang telah diplid di atas, peribadi, kedudukan dan reputasi kebangsaan dan antarabangsa telah dirosakkan dengan serius dan telah dibawa ke dalam skandal awam, kebencian dan kehinaan dan Plaintif telah mengalami penderitaan yang besar, kebimbangan dan perasaan malu, yang mana memberhakkan Plaintif kepada gantirugi ‘aggravated’ dan teladan.

11. Plaintiff akan bergantung kepada fakta-fakta berikut sebagai memburukkan lagi fitnah tersebut:

BUTIR-BUTIR

i) Takat penerbitan kata-kata menyinggung tersebut atau intipatinya terdapat di, antara lain: The Singapore Business Times, Straits Times Singapore, The Age Newspaper in Melbourne, AP, AFP, ANN dan di tempat lain, termasuk di dalam internet, antara lain: Malaysiakini; Harakah Online dan lain-lain.

ii) Defendan mengetahui dan/atau seharusnya mengetahui dan/atau berniat bahawa kata-kata menyinggung atau intipatinya akan diterbitkan di berbagai-bagai ‘wire services’, agensi berita, suratkhabar, dan diterbitkan semula di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di dalam lain-lain suratkhabar, majalah-majalah dan media, termasuk media elektronik, dan/atau pengulangan dibenarkan.

iii) Defendan telah enggan dan ingkar berterusan untuk memohon maaf.

12. Plaintif akan bergantung kepada fakta-fakta berikut bagi menyokong permohonan untuk gantirugi teladan: -

BUTIR-BUTIR

(a) kata-kata menyinggung tersebut secara jelas adalah sesuatu yang terlalu serius dan merosakkan dan secara terburu-buru dibuat oleh Defendan;

(b) Defendan telah bercakap dan menyebabkan kata-kata menyinggung tersebut diterbitkan dan diterbitkan semula seperti yang telah diplidkan di atas walaupun dengan pengetahuan yang khusus bahawa Plaintif telah menafikan sekeras-kerasnya kata-kata menyinggung tersebut atau kata-kata yang sama terhadap Plaintif pada masa lalu yang mana penafian tersebut telah diterima oleh Defendan dengan kenyataan umum pada bulan Ogos 1997 yang telah membersihkan Plaintif daripada tuduhan tersebut. Selanjutnya, Defendan mempunyai pengetahuan yang khusus bahawa pada masa tuduhan tersebut dibuat terhadap Plaintif, ianya adalah perkara subjek siasatan jenayah dan seterusnya Defendan telah membebaskan Plaintif secara terang-terangan;

(c) Defendan secara terang-terangan menyebut kata-kata menyinggung dengan pengetahuan tersuratnya bahawa Plaintif telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 terhadap tuduhan liwat dan juga selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Ogos 2005 memutuskan memihak kepada Plaintif di dalam tindakan guaman fitnah dimulakan terhadap penulis dan penerbit buku “50 Dalil mengapa Anwar tidak boleh jadi PM” Plaintif.

(d) Defendan telah bercakap dan menyebabkan kata-kata menyinggung tersebut diterbitkan dan diterbitkan semula dengan niat tersurat untuk merosakkan reputasi dan pegangan politik Plaintif, untuk memelihara kepentingan politik dan jawatan Defendan sebagai perdana menteri Malaysia tanpa terlebih dahulu membuat pertanyaan yang efektif dan benar mengenai kebenaran dan ketepatan kata-kata menyinggung tersebut; dan

(e) Defendan telah bercakap dan menerbit kata-kata menyinggung tersebut setelah mengira bahawa Defendan akan mendapat lebih dengan penerbitan dan penerbitan semula kata-kata menyinggung tersebut daripada Defendan akan kalah sekiranya Plaintif berjaya di dalam tindakan guaman fitnah.

13. Kecuali dihalang oleh Mahkamah yang mulia ini, Defendan berniat untuk meneruskan dan akan selanjutnya menerbitkan kata-kata menyinggung tersebut atau perkataan fitnah yang sama terhadap Plaintif.

14. OLEH YANG DEMIKIAN, Plaintif memohon relif-relif berikut terhadap Defendan;
(a) Compensatory Damages;
(b) Aggravated Damages;
(c) Gantirugi Teladan;
(d) Injunksi untuk menahan Defendan sama ada menerusi Defendan sendiri, agen dan/atau pekerja dan/atau sesiapapun daripada melafazkan, bercakap atau menerbitkan kata-kata menyinggung tersebut atau kata-kata yang mempunyai kesan terhadap Plaintif atau perkataan yang sama memfitnah Plaintif;
(e) Faedah ke atas jumlah penghakiman untuk jangkamasa dan kadar tertentu yang mana Mahkamah anggap perlu dan sesuai;
(f) Kos; dan
(g) Apa-apa relif yang Mahkamah anggap perlu dan suaimanfaat.


Bertarikh pada 27 haribulan Januari 2006

------------------------------------
Peguamcara Plaintif

PERNYATAAN TUNTUTAN ini difailkan oleh Tetuan S.N. Nair & Partners, Peguamcara Plaintif yang mempunyai alamat penyampaian di Suite 5C, Level 5, Wisma Kosas, Jalan Melayu 50100 Kuala Lumpur. Tel: 03 26976686; Fax: 03 26976685 (Ref: SNN/DSAI/TUN M/05)

Cyberluncai: Pak Lah dan team tengah 'makan besar'.....Team Najib tengah pening macamana nak bantu 'mentor'.....hehehhehe

No comments: