Saturday, March 04, 2006

RASUAH: DARAH DAGING UMNO.....

harakah daily

KUALA LUMPUR, - Ketika ditanya mengenai rasuah baru-baru ini, Bangkok Post melaporkan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah berkata, ia perlu dibanteras.

Bagaimanpun, seolah-olah menyatakan kegagalannya, beliau menyatakan bahawa ia bukan satu tugas yang mudah kerana bukti dan fakta perlu dikemukakan sebelum seseorang itu boleh didakwa.

Sebelum itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengaitkan kegagalan memerangi rasuah berpunca dari Badan Pencegah Rasuah yang tidak kuat dan kegagalan memberikan kebebasan kepada media untuk membongkar dan menyelongkar tanpa rasa bimbang terhadap tindakan kerajaan.

"Apakah yang boleh menghalang Perdana Menteri bertemu dengan pengarang, dan (jika beliau) mahu memberi kebebasan kepada media, beliau boleh berkata kepada mereka: "Anda diberi kebebasan berhubung isu-isu rasuah, proses demokrasi, suara pembangkang kerana saya telah memberitahu orang ramai bahawa kita mesti melakukan perubahan seperti itu." Apa yang sukarnya?

"Beliau juga boleh memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan berkata: "Buat siasatan dengan sempurna'. Saya tidak percaya PM Abdullah akan melakukan sesuatu drastik kerana itu bukan pembawakannya (untuk berbuat demikian), tetapi sekurang-kurangnya berilah sesuatu yang memperlihatkan kuasa dan kewibawaan kepada BPR. Anda telah melantik orang yang paling lemah untuk mengendalikan badan itu, tetapi (pada masa yang sama), anda bercakap mengenai pembanterasan rasuah. Ianya tidak akan berjaya," katanya.

Beliau menceritakan, sebelum ini – bagaimana sukar dan terbatas pun – negara mempunyai beberapa Ketua Pengarah BPR yang kuat.


Arahan Mahathir

"Tetapi di bawah (pentadbiran) Dr Mahathir, mereka menghadapi masalah. Ketika itu, saya mengenali Tan Sri Zulkifli (Mahmood) dan kemudiannya Datuk Shafie (Yahya) yang menjalankan siasatan. Kemudiannya apabila Mahathir berkata berhenti, mereka berhenti.

"Tetapi mereka teruskan siasatan dan apabila mereka melakukannya, mereka melakukan sedaya upaya mereka. Begitu jugalah siasatan mereka terhadap Tan Sri Ali (Abul Hassan) dari EPU (Unit Perancang Ekonomi). Tidak siapa yang berani menyentuhnya, tetapi BPR telah melakukannya," cerita beliau.

Pada tahun 14 Februari 2004, akhbar-akhbar melaporkan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mendedahkan 18 lagi kes rasuah yang membabitkan individu berprofil tinggi termasuk menteri, telah memasuki peringkat akhir siasatan.

Namun selepas itu, semuanya tidak kedengaran lagi.

Kompilasi

Harakahdaily berusaha untuk mengkompilasikan berita-berita mengenai kes-kes rasuah sepanjang 2005. Pasti ada yang terlepas pandang, tetapi kami percaya dapat menggambarkan betapa parahnya rasuah di negara ini. Berikut adalah sebahagian kecil darinya:

Pada 29 Mac tahun lalu, International Herald Tribune melaporkan Naib Ketua Pemuda Umno yang juga menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin menyatakan Abdullah telah memutuskan selepas Pilihanraya Umum 2004 bahawa kerajaan tidak akan mengorek kisah-kisah lampau mengenai rasuah "tetapi memandang ke hadapan".

April

6 April, Malaysiakini melaporkan penulis buku yang mengandungi dakwaan terbaru rasuah yang membabitkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, mendakwa ada usaha-usaha oleh pihak tertentu untuk merampas buku tersebut walaupun ianya belum lagi diedarkan di pasaran.

Penulis tersebut, Mohammad Rafi Awang Kecil mengadu, polis Shah Alam mengarahkannya supaya menyerahkan kesemua 5,000 naskah buku tersebut yang bertajuk Khir Toyo: Di Antara Amanah dan Khianat.

11 April, majalah Financial Times menyiarkan tulisan bertajuk "Mission Impossible in Malaysia" tulisan Victor Mallet.

"Sekumpulan anggota polis pada siang hari secara terang-terangan sedang menuntut RM20 dari setiap pemandu teksi yang lalu di situ, termasuklah teksi kami, jika tidak mereka akan didakwa kerana melakukan apa sahaja kesalahan trafik," katanya ketika menceritakan apa disaksikannya sepanjang perjalanan menuju ke kediaman Perdana Menteri dari KLIA.



Kes Khir Toyo

13 April, Malaysiakini melaporkan Dr Mohd Khir didakwa menggunakan kuasa eksekutifnya sebagai Menteri Besar Selangor untuk memberi tanah milik anak syarikat kerajaan negeri, Shah Alam Properties (SAP) Sdn Bhd seluas kira-kira 220 ekar tanah, kepada beberapa pemaju swasta tanpa kelulusan exco kerajaan negeri.

Ketika membuat dakwaan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman berkata, tindakan Dr Mohd Khir menggunakan kuasa eksekutifnya itu menyebabkan "beberapa pihak telah membuat laporan polis terhadap isu tersebut tetapi sehingga ini belum ada perkembangan yang berlaku. Saya juga telah meminta BPR membuat siasatan bagi mengenalpasti masalah yang berlaku di kawasan tersebut".

20 April, Malaysia Today (MT) melaporkan bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Ghaffar Baba mengemukakan formula agar semua jawatan di dalam parti Umno ditender bagi mengatasi gejala politik wang yang bermaharajalela di dalam parti tersebut.

21 April, Malaysiakini melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan RM5.3 juta yang dilaporkan wang negara untuk menjamu pelobi-pelobi di Washington melalui Heritage Foundation untuk memastikan beliau bertemu presiden Amerika Syarikat, George W Bush.

25 April, Harakahdaily melaporkan, sambil menyifatkan Selangor telah lama menjadi 'pusat rasuah dan salahguna kuasa', Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim mempersoalkan mengapa Dr Mohd Khir kelihatan tidak mahu membela dirinya terhadap tuduhan-tuduhan serius mengenai rasuah di dalam sebuah buku yang diterbitkan untuk umum.

Mei

12 Mei, MT melaporkan kira-kira 60 pemimpin veteran Umno yang diketuai oleh Ghafar menyatakan pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri kerana bimbang terhadap amalan demokrasi dalam Umno yang menurut mereka telah terhakis dan pemimpin Umno tidak lagi mementingkan perjuangan orang Melayu, tetapi mengutamakan wang ringgit dan Umno pula sedang mengidap sindrom politik wang.

Beliau kesal dengan sebilangan pemimpin Umno yang menggunakan wang untuk membeli kuasa dan dengan kuasa tersebut mereka mengumpul kekayaan.

17 Mei, menurut Reuter, Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang ada diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin Abdullah, mendedahkan rasuah dan salahguna kuasa dikalangan pegawai-pegawai polis.

Dalam satu kes, menurut laporan itu, seorang pegawai polis senior yang tidak dinamakan, didakwa telah mengisytiharkan asetnya pada nilai sebesar RM34 juta. Namun, tiada tindakan diambil ke atasnya dan tidak juga disiasat.

Begitu juga dalam kes-kes yang nampak mempunyai bukti yang terang lagi nyata, tidak ramai pegawai polis yang didakwa.

Siasatan oleh BPR mendedahkan satu kes di Pulau Pinang di mana pegawai-pegawai menyimpan buku log mengenai maklumat wang kutipan yang dipungut.

Angka menunjukkan mereka memungut RM350 sebulan daripada kilang-kilang yang tidak berlesen dan RM800 sebulan daripada majikan-majikan pendatang asing. Keputusan akhir dari siasatan tersebut ialah pegawai-pegawai tersebut telah dipindahkan dan tiada hukuman dijatuhkan.

Selain bayaran tunai, aduan-aduan juga mendakwa bahawa pegawai-pegawai polis meminta habuan seksual.

Suruhanjaya juga mendapati bahawa bukan suatu yang pelik bagi pegawai polis meyuap pegawai tinggi untuk dipindahkan ke 'lombong emas' seperti jabatan narkotik, jenayah dan perjudian.

26 Mei, Dr Mahathir menyatakan rasuah telah menjadi satu budaya di Malaysia. Menurut beliau, rasuah hampir-hampir berlaku "di atas meja" dan bukan lagi setakat "di bawah meja".

Jun

6 Jun, The Sun melaporkan seorang wakil rakyat Umno mendakwa parti itu hanya memburu ikan-ikan kecil dan membenarkan mereka yang berjawatan tinggi terlepas kerana "keseluruhan sistem disiplin itu sendiri adalah korup".

Pada hari yang sama juga Malaysiakini melaporkan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan perjumpaan dengan BPR Kedah dalam siasataannya sama ada wujud elemen rasuah dalam pengambilan tanah di Kampung Datuk Murad dan Kampung Tok Bidan di Alor Setar bagi pembangunan tambahan Kompleks Islam Yayasan Al-Bukhary.

15 Jun, Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri akan dilihat mempunyai keikhlasan dan kesungguhan politik untuk membasmi rasuah sekiranya institusi seperti BPR diberi kuasa autonomi untuk bebas menyiasat aduan yang diterima, kata Prof Madya Dr Edmund Terence Gomez yang ketika itu masih menjadi pensyarah di Universiti Malaya.

Beliau menyifatkan kebanyakan tindakan kerajaan memerangi rasuah kebanyakannya "membabitkan kes-kes kecil. Bagaimanapun, saya tahu, berdasarkan penyelidikan saya, terdapat dakwaan-dakwaan rasuah yang serius membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh orang-orang besar," katanya.

25 Jun, Malaysiakini melaporkan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah didapati bersalah atas lima tuduhan membeli undi oleh Lembaga Disiplin Umno dan digantung keahliannya.

Mengulas perkara itu, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Lembaga Disiplin Umno itu "tidak berkesan dan tidak akan menyelesaikan masalah" manakala "majoriti ahli masih lagi melihat tindakan lembaga itu sebagai pendakwaan yang dipilih-pilih".

30 Jun, Malaysiakini melaporkan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Sulaiman Mahbob mendedahkan, kira-kira 31 peratus pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyatakan kesanggupan untuk menerima rasuah sekiranya mereka mempunyai kuasa dan peluang.

Julai

11 Julai, The Sun melaporkan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mendesak BPR menyiasat bagaimana bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Osu Sukam mampu berhutang sehingga RM28 juta dan berjaya pula membayar balik RM21 juta apabila Ritz Hotel Casino di Britain cuba mendapatkan kembali hutang sebanyak RM7.14 daripada Osu melalui Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

13 Julai, MT melaporkan Umno Bahagian Tanjung Karang yang diketuai Dato' Noh Omar telah mengedarkan surat mengenai kes rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin kanan Umno.

Surat salahlaku tata etika yang melibatkan pemimpin Umno itu yang diedarkan ke seluruh cawangan di dalam bahagian tersebut.

21 Julai, MT melaporkan Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) mengecam tindakan pihak polis yang merampas dua buah komputer penyelaras web berita itu, Raja Petra, berikutan dua artikelnya mengenai keluarga diraja Negeri Sembilan yang dipercayainya terlibat dengan rasuah.

22 Julai, MT melaporkan Naib Ketua Angkatan Muda, S Manikavasagam membuat laporan kepada BPR apabila laman web seorang yang dituduh penjenayah, Michael Soosai yang kini dipercayai bersembunyi di India mendedahkan kegiatan sembilan anggota polis yang terlibat secara langsung dengan rasuah.

29 Julai, Malaysiakini melaporkan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat akan membuat laporan kepada BPR supaya menyiasat kegagalan enam kontraktor melaksanakan projek bekalan air bernilai RM132.28 juta sehingga didakwa menjadi punca krisis air yang berlaku di Negeri Sembilan.

"Kita mendapat tahu keenam-enam kontraktor itu ada kaitan dengan Umno, ini menyebabkan kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan ke atas mereka," kata Timbalan Ketua Penerangannya, Badrul Hisham Shahrim.

Ogos

21 Ogos, Utusan Malaysia melaporkan Dr. Mahathir menyuarakan kebimbangan terhadap kejadian rasuah dan salah guna kuasa yang menular di kalangan golongan berilmu dan berkedudukan tinggi dalam kerajaan dan swasta.

"Ada yang kata apa salah terima sedikit. Yang jadi masalah ialah apabila menjadi budaya. Yang sedikit jadi bertambah,'' katanya.

22 Ogos, Malaysiakini melaporkan bekas ahli exco kerajaan negeri Perak, Datuk Azman Mahalan, dihukum penjara dua tahun dan denda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ipoh selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan rasuah

September

2 September, Siasah melaporkan tinjauan yang dibuat oleh Merdeka Center, sebuah firma kajian pendapat, mendapati 76 peratus rakyat Malaysia yang ditemui percaya rasuah di negara ini berada di tahap "serius" tetapi setiap seorang dari tiga orang mengakui bahawa mereka memberi rasuah kepada polis untuk mengelakkan dihukum akibat kesalahan lalulintas.

6 September, Malaysiakini melaporkan aktivis pembela pekerja, Dr Irene Fernandez mendedahkan rasuah merupakan sebab mengapa majikan yang menindas dan menganiaya pekerja asing tidak dihukum.

14 September, Utusan Malaysia melaporkan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu, Datuk Roslan Awang Chik mendedahkan industri pembinaan negara dibelenggu rasuah.

"Sogokan berlaku di pelbagai peringkat dalam industri ini dari pemberian lesen, tender, rundingan, kelulusan projek atau daripada menerima hingga siapnya sesuatu projek itu... Jika kita berpegang kepada prinsip kita, kita tidak akan mendapat projek itu''.

22 September Malaysiakini melaporkan Malaysia merudum lagi dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dan berada di tempat ke 39 daripada 146 negara yang disenaraikan ketika dalam Indeks Persepsi Rasuah ketika Perdana Menteri berulangkali berikrar untuk membasmi perbuatan rasuah.

Malaysia yang kedudukannya semakin merosot sejak beberapa tahun lalu, berada di tangga 37 daripada 133 yang disenaraikan pada tahun 2003 dan di tempat 34 daripada 102 negara, pada tahun 2004, dengan purata 5 mata.

25 September, dalam kolumnya di dalam Sunday Star, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar menceritakan beliau telah menjalankan soalselidik ke atas sekumpulan tokoh yang dipilihnya, meminta pandangan mereka dengan skala 1 hingga 10 mata mengenai sejauh mana kerajaan berjaya memerangi rasuah.

Salah seorang dari mereka, yang memberikan kosong mata menyatakan, "Anda perlu memberikan pelincir kepada hampir setiap pusingan yang anda buat".

Komen spontan lain termasuk, "BPR terus menagih bukti. Mereka tidak menyiasat!" dan "Pemimpin hanya bercakap sahaja!"

Hanif memutuskan soalselidik itu meletakkan prestasi kerajaan dalam memerangi rasuah pada kadar purata empat mata sahaja. Jeff Ooi dalam Screenshot menyatakan kalau Malaysia mendapat empat mata sahaja dalam Indeks Persepsi Rasuah, maka kedudukan Malaysia di tempat ke 39 merudum ke tempat 57.

Oktober

15 Oktober, Malaysiakini melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas mencabar seorang ahli jawatakuasa pusat MCA yang juga ADUN Subang Jaya, Lee Hwa Beng agar mengisytiharkan hartanya bagi membuktikan benar ataupun tidak dakwaan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) antara agensi yang paling banyak terlibat dengan rasuah dan bertindak seperti "kongsi gelap".

Hwa Beng juga adalah ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya MPSJ selama beberapa penggal.

"Sudah berapa lama dia menjadi ahli MPSJ, berapa asset, berapa dan apakah projek yang beliau kumpul sehingga sekarang.

"Bukan sahaja untuk dirinya malah projek yang Hwa Beng dapatkan sekali bagi rakan-rakannya. Beranikah dia mengisytiharkan harta beliau. Saya tahu segalanya," kata Kayveas.

16 Oktober, Harian Metro melaporkan, ketika diminta mengulas mengenai penahanan anaknya oleh BPR bagi membantu siasatan penyelewengan penjualan lot bazar Ramadan di Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar berkata: "Sebagai bapa, saya terluka dengan apa yang berlaku".

28 Oktober, Malaysiakini melaporkan nama Malaysia tercemar apabila laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai program minyak untuk makanan di Iraq yang bernilai AS$60 bilion telah menyenaraikan Mastek, sebuah syarikat Malaysia, merupakan pemberi rasuah terbesar di dalam skandal itu, melibatkan rasuah berjumlah AS$10 bilion, dalam tahun 2001 hingga 2002. Noor Asiah Dato' Mahmood, yang didakwa ipar Perdana Menteri, adalah presiden dan pengarah Mastek.

November

3 November, Bernama melaporkan penulis buku "Skandal Seks dan Rasuah Ruslin Hassan (Datuk Bandar Kuala Lumpur)", Mohamad Rafi Awang Kechik membuat laporan polis memohon siasatan dijalankan bagi memastikan kebenaran isi kandungan bukunya.

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Rafi meminta polis, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri menyiasat isi kandungan buku tersebut untuk memastikan kebenaran tulisannya.

16 November dalam laman web medianya, Keadilan mempersoalkan mengapa bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhammad sahaja yang didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah dan berbohong tetapi Menteri Pembangunan Luar Bandar ketika itu, Datuk Anuar Musa, terlepas.

"Ramai yang mengenali Abdul Aziz menganggap beliau sebagai pegawai kerajaan yang bersih serta bertanggungjawab, dan tidak percaya beliau boleh melakukan kesalahan tersebut.

"Cerita-cerita berhubung pecah amanah dan penipuan ini mula-mula dibongkar oleh bekas Ketua Pengarang NST, Datuk Abdullah Ahmad, yang mendakwa Anuar terlibat".

22 November MT melaporkan Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali mengecam Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Tun Hussein yang didakwanya membolot saham bernilai RM 25 juta yang diperuntukan khas untuk Bumiputera.

Azmin juga mendakwa Hishammuddin memiliki sebuah kereta bernilai hampir sejuta ringgit. Selain itu, beliau juga didakwa memiliki saham di dalam syarikat pembinaan bernilai lebih RM30 juta ringgit, dan ahli-ahli keluarganya pula mendapat tender kerajaan bernilai RM1 bilion.

"Kepada Hishammuddin, saya hendak tanya bagaimana beliau sebagai seorang menteri Kabinet, yang kita tahu berapa gaji dan elaunnya, boleh memandu kenderaan pacuan empat roda mewah berjenama Hummer keluaran General Motor (GM) bernombor pendaftaran JEN8," Azmin mempersoalkan.

"Kita tahu beliau memperolehi keuntungan RM25 juta dengan hanya menjual sebanyak 10 peratus dari saham tersebut baru-baru ini, dan Hishamuddin masih memegang lagi lima peratus saham itu sehingga sekarang," dakwa beliau.

Azmin juga mempersoalkan samada benar adik Hishammuddin, Haris Tun Hussein, memperolehi kontrak pembinaan lebuhraya Duke yang menghubungkan Hulu Kelang dan Jalan Duta bernilai RM 1 billion.

23 November, Bernama melaporkan Persatuan Penjaja-Penjaja Dan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Sarawak membuat aduan kepada BPR terhadap Perbendaharaan Malaysia Sarawak berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pemberian tender bernilai RM400 juta untuk tempoh dua tahun (2006-2007) bagi membekalkan makanan dan perkhidmatan lain bagi Jabatan Pendidikan Sarawak telah ditawarkan kepada syarikat yang tidak berdaftar.

"Kami terkejut kerana beberapa syarikat sudahpun mengetahui kejayaan penawaran tender-tender tersebut tiga minggu lepas, pada hal keputusan rasmi belum dimaklumkan... Ini jelas menunjukkan bahawa penawaran tender itu diatur terlebih dahulu," katanya.

29 November Bernama melaporkan Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Zulkipli Mat Noor memberitahu, sepanjang 2005, BPR membuka 1,218 kertas siasatan dan membuat 351 tangkapan. Ini menghasilkan 135 pendakwaan yang membawa kepada 71 sabitan kesalahan iaitu 30 di sektor awam dan 41 di sektor swasta.
Disember

Antara kes yang menarik perhatian umum melibatkan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Sharif Jajang, bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill & Development Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Sabah Tan Sri Kasitah Gadam.

3 Disember, AFP melaporkan dua orang anggota polis memaksa seorang pelajar Jepun mengeluarkan wang dari mesin ATM dan memberikan wang itu kepada mereka setelah beliau didapati tidak membawa dokumen perjalanan.

Kaibon Kuaihiro, 24, yang berada di Malaysia untuk kursus bahasa selama lapn bulan, beliau berada di dalam teksi di salah satu jalan di Kuala Lumpur apabila beliau tiba-tiba ditarik keluar oleh dua orang polis.

Apabila beliau memberitahu mereka beliau tidak membawa dokumen perjalanan, mereka kemudian memaksanya membayar RM2,000 dan menghamunnya apabila beliau memberitahu beliau tidak ada wang sebanyak itu.

13 Disember Malaysiakini melaporkan, BPR diminta menyiasat pemberian kontrak membina bangunan Dewan Undangan Negeri yang baru di Kuching bernilai hampir RM300 juta kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Zainal Abidin Wan Senusi memberitahu, projek tersebut diberikan kepada syarikat usahasama yang melibatkan PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd, anak syarikat CMS Berhad, konglomerat yang dikuasai oleh keluarga Taib, dengan Naim Cendera Sdn Bhd pada harga hampir RM300 juta.

16 Disember, Harakahdaily melaporkan indeks rasuah di kalangan kakitangan Kerajaan Negeri Johor terus meningkat dengan menyaksikan sejumlah 770 maklumat berkaitan rasuah diterima BPR sehingga November 2005, berbanding tempoh yang sama tahun 2004 iaitu 975 kes, pada tahun 2003 sebanyak 760 kes.

17 Disember, Harakahdaily juga melaporkan Persatuan Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (Cash) menggesa BPR supaya menyiasat ahli politik yang hidup mewah dalam waktu yang amat singkat.

Presidennya, Datuk Patrick Sindu membuat gesaan itu agar BPR menyiasat mereka yang terbabit, kerana beliau mempunyai bukti yang cukup.

Beliau juga membuat laporan kepada Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Mangsur Ismail berikutan panggilan telefon berupa ancaman dan ugutan yang diterimanya daripada pihak yang tidak dikenali.

Pada 29 Disember, laman web Keadilan melaporkan dakwaan bahawa MIC melakukan penipuan kepada pembeli rumah kos rendah di beberapa projek yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak 1999.

Dakwaan itu dibuat oleh Narayanan a/l Muniyandy, 55 dan beberapa mangsa dari estet berkenaan yang mahu pihak polis mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu dilantik oleh MIC untuk mengutip wang pendahuluan pembelian rumah dari kalangan pekerja-pekerja estet di institut Penyelidikan Getah (RRI) di Kepong dan kemudiannya menghilangkan diri.

Cyberluncai: CARA MUDAH NAK DAPAT DUIT.....KALAU TAK MACAM MANA NAK BELI UNDI DALAM PILIHANRAYA PERWAKILAN NANTI.....

1 comment:

Anonymous said...

DEBAT isu “karikatur menghina Nabi” akan diadakan malam esok (7 Mac, Selasa) di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya jam lapan malam. Seperti yang diramal, pemuda Umno sehingga hari ini masih belum menghantar wakil mereka untuk debat berkenaan.

Menurut pihak penganjur, hanya dua pendebat yang sebelum ini bersetuju untuk berdebat sudah bersedia untuk berhadapan malam esok. Debat ini dianjurkan oleh Open Dialogue Centre (ODC) yang sebelum ini pernah menganjurkan satu program pembentangan ekonomi oleh Anwar Ibrahim di KL Convention Center, KLCC bulan lalu.

“Yang paling tentang debat ini ialah pertama kali bakal menemukan dua tokoh muda daripada Pas yang mewakili parti politik dengan Jalan Telawi yang mewakili kelompok NGO muda,” kata jurucakap ODC kepada Sariberita.

Mengikut laporan sebelum ini, Dewan Pemuda Pas akan diwakili oleh Hanipa Maidin dan Hasmi Hashim, pula mewakili Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT). Hasmi beberapa minggu lalu pernah mengeluarkan kenyataan media bahawa tindakan kerajaan menutup Sarawak Tribune adalah dianggap keterlaluan dan mencemoh parti politik yang mendesak Pm Abdullah Badawi daripada mengenakan tindakan membungkam Tribune.

Tidak ada sebarang bayaran dikenakan kepada orang ramai yang mahu mengikuti debat berkenaan. —Diana Syed Azman [Sariberita.blogspot.com]