Saturday, February 17, 2007

Beranikah PM buat kejutan?

Dr Dzulkifli Ahmad

Sudah seminggu pemilik media secara agresif menghiasi muka depan akhbar arus perdana dengan berita-berita prestasi ekonomi yang cukup luar biasa. Tidak sukar untuk membaca usaha 'spin doctors' media 'memutarkan' kesemua ini secara intensif bagi menarik kembali sokongan kepada kerajaan khasnya kepada PM, Abdullah Ahmad Badawi.

Menyonsong lebih daripada itu tentunya akan memaksa penganalisis atau 'pundit' politik dengan ramalan kebarangkalian berlaku 'snap election' atau pilihan raya mengejut. Bila? Ada yang meramal seawalnya bulan Julai atau Ogos berbanding ramalan hujung tahun ini. Sejauh mana kredibiliti ramalan ini? Tidak mustahil dilakukan Abdullah, akan tetapi sanggupkah beliau mengambil risiko besar ini? Andainya benar telahan ini, maka penulisan ini dimajukan untuk renungan semua dan Abdullah tidak terkecuali.



Parlimen ke-11 ini berakhir pada awal 2009 dan PM layak 'bertakhta' di Putrajaya sehingga itu. Namun mungkin perkembangan politik nasional tidak lagi memberikan keselesaan buat dirinya dan Umno/BN yang diterajuinya. Benar beliau menang besar dalam pilihan raya umum ke-11 pada 2004, tetapi segala 'euphoria' itu telah ditelan dek pelbagai angkara dan kebejatan politik partinya dan tidak kurang juga persepsi terhadap anak-pinaknya.

Kini dirinya terhimpit dan diasak oleh pelbagai tekanan, sama ada yang terbit daripada keluh-kesah rakyat yang sengsara akibat ketidak-peduliaan polisi-polisinya ataupun hasil penerusan amalan rasuah dalam pemerintahanya. Saban minggu media alternatif mendedahkan pelbagai kebobrokan rasuah. Karam Singh Walia pula memfokas tentang kebejatan alam sekitar hasil kepincangan dan kerakusan mengejar pembangunan.

Terkini hidup kembali tentang bayaran RM380 juta dalam pembelian 18 jet pejuang Sukhoi berharga RM3.2 bilion yang dibeli Kementerian Pertahanan. Terdahulu ketua pembangkang telah mempertikaikan pembayaran komisyen RM370 juta kepada 'orang tengah' dalam pembelian dua kapal selam 'Scorpene' berharga RM4.1 bilion dari Armaris, sebuah syarikat usaha sama Perancis-Sepanyol.

Turut memalukan beliau pembelian sebuah jet mewah berharga RM200 juta untuk kegunaan beliau dan pembesar negara sementara umum tahu kerajaan sudah memiliki empat pesawat eksekutif. Paling mengaibkan serangan oleh tokoh yang menobatkannya sebagai Perdana Menteri!

Ini 'backdrop' atau senario latar yang menjadikan 'spin doctors' Umno/BN panik untuk melakukan segala-galanya bagi mengembalikan kemerosotan kepercayaan ini.
Paling berani kenyataan akhbar NST yang mamaparkan jumlah pelaburan 2006 yang diterima sebanyak RM46 bilion sebagai 'vote of confidence' kepada kerajaan (Rabu, 14 Feb, 2007). Dipaparkan bahawa pelaburan asing sebanyak RM20.2 bilion dan pelaburan tempatan sebanyak RM25.8 bilion. Persoalan yang umum tidak ketahui adalah bagaimana dengan prestasi jiran dan berapakah yang mereka dapat tarik? Kita masih ketinggalan hatta berbanding Vietnam dan Indonesia dan tentunya India atau Korea Selatan.

Keduanya apakah jenis pelaburan asing yang benar-benar membawa pulangan ekonomi yang baik bagi sesebuah negara? Tidak semua FDI baik kata pakar ekonomi dunia (The detrimental effects of unbridled FDI, The Edge 15 Jan, 2007).

Persoalan yang lebih penting bagi rakyat dan negara ialah apakah kerajaan ini telah meletakkan 'daya saing' atau 'competitiveness' negara di kedudukan yang baik termasuk 'kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business). Untuk pengetahuan umum, mengikut laporan 'ease of doing business index' yang terbitkan oleh Asian Development Outlook, 2006, Malaysia duduk di tangga ke-21, di belakang Thailand di tangga ke-20 dan Singapura di tangga ke-2.
Umum perlu tahu bahawa dari segi prestasi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), Malaysia semakin menjunam ke tempat 62 mengikut Laporan United Nation Conference on Trade and Development (Unctad). Pada tahun 1994 Malaysia di tempat ke-4 dan pada 1995 di tempat ke-5. Terima kasih kerajaan Umno/BN sekarang ini!

Takut-takut pengampu PM memberikan gambaran salah tentang kedudukan sebenar ekonomi negara, sama semacam mana elit neo-konservatif menasihatkan Presiden George W Bush supaya berperang di Iraq dahulu.

Rakyat di negara ini sukar untuk bersorak dan memberi kata puji kepada PM walaupun prestasi ekonomi digambarkan media perdana sebagai 'cemerlang'. Antaranya jumlah dagangan mencecah RM1 trilion, nilai ringgit kukuh berbanding dolar Amerika, KLCI melepasi paras 1,200 terbaik dalam 10 tahun dan nilai rizab antarabangsa juga turut meningkat.

Rakyat kini lebih celik ekonomi kerana kerajaan BN telah mendera rakyat dengan alasan tekanan ekonomi global. Kini rakyat faham. Bukankah kerajaan BN telah menaikkan harga petrol dan diesel kerana harga minyak mentah mencecah AS$ 80 setong. Kini harga minyah mentah telah turun ke paras lebih rendah dari AS$60 sestong, yakni penurunan 25 peratus.
Persoalan yang rakyat mahu jawapan segera ialah 'bila akan diturun harga minyak dan diesel yang telah naik lebih dari 20 peratus?' Kenaikan itu telah mencetuskan kenaikan harga barang harian dan inflasi keseluruhan yang sukar dikawal. Terdekat, kenaikan tarif elektrik dan juga tol yang akan diikuti sikit masa lagi dengan kos kesihatan dan perubatan akan terus mendera rakyat. Mampukah rakyat bersorak?

Dikatakan bahawa ringgit mengukuh berbanding dolar. Itu memang betul. Tetapi bagaimana dengan mata wang asing yang lain? Ringgit lemah berbanding mata wang Singapura. Namun yang lebih penting rakyat ingin tahu bagaimana mereka akan mendapat faedah daripada pengukuhan ringgit.

Kita boleh import lebih. Betul. Tetapi eksport kita lebih mahal, terutama kepada Amerika yang masih merupakan rakan dagang kita yang terbesar. Baru-baru kini kita bercakap tentang meluaskan rakan dagang dan tidak bergantung kepada produk semi-konduktor yang juga besar input importnya.

Bercakap tentang Indeks Komposit (KLCI) melebihi 1,200 pun satu yang tidak boleh dibanggakan sangat. Sebabnya? Tahu sahajalah sifat pasaran saham. Datang macam ribut, perginya pun boleh macam ribut. Ingat ketika pasaran saham merudum pada krisis 1997. Indeks komposit (IK) mencecah 1,200. Kemudian, 'capital flight' atau aliran keluar dana mengejut memusnahkan kekayaan dalam sekerdipan mata.

Kini bolehkah kita bermegah hanya dengan IK? Rakyat mahu tahu IK itu apa dan bagaimana ia dihitung? Kalau hanya sekadar 10 atau lebih kaunter yang naik yang jelasnya disokong oleh dana awam hasil campur tangan Khazanah melalui syarikat-syarikat pelaburnya seperti KWSP, TH, LTAT dsbnya, tak payah nak tiup trompet sangat!

Persoalannya bagaimana syarikat-syarikat tersenarai yang lain termasuk 'blue-chip', apatah lagi yang lain di papan utama? Bagaimana pula papan kedua dan Masdeq? Kesian juga. Pasaran saham tetap terdedah kepada karenah dan ketidaktentuan dinamika aliran pelaburan. Tambahan dalam ekonomi global di mana aliran dana sukar diramal.

Namun tindakan kerajaan yang mengizinkan jualan singkat atau 'short-selling' setelah lama mengharamkannya semakin mencelarukan persepsi pelabur. Tak konsisten dan berubah-ubah atau 'flip-flop' dalam banyak polisi-poslisi kerajaan inilah yang menghakis integriti dan persepsi pelabur kepada 'capital market' di negara ini umumnya.

Itu tidak termasuk ‘ranking’ kebersihan dan integriti dalam urus-tadbir perniagaan dan korporat kita yang semakin menjunam. Badan 'watchdog' menilai integriti secara global ‘Transparency International’ meletakkan Malaysia di tangga 44 daripada 163 negara yang dinilai. Rakyat perlu tahu dalam 2005 kita di tangga 39 daripada sejumlah 159 negara. Ini menjadikan negara semakin tidak kompetitif dan tidak berintegriti. Rasuah bukan sahaja barah pemerintahan ini bahkan sebab utama negara ini di persepsi sebagai tidak menarik.
Apabila ada pihak yang berwibawa mencadangkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberikan sedikit kuasa 'penguatkuasaan', ia terus ditolak mentah-mentah oleh 'menteri undang-undang'. Sampai bila BPR akan dicucuk hidungnya oleh pihak eksekutif? Sampai bila kes-kes 'high-profile' akan terus dilindungi? Tambahan dengan peruntukan akta rimba seperti OSA untuk menghukum 'whistle-blowers', terkini bersabitan kontrak tol.

Kesemua ini tidak termasuk kenaikan kadar jenayah dan keruntuhan moral serta hilang rasanya hormat kepada undang-undang dan nilai-nilai murni dan agama. Parah.
Akhir sekali, laporan terkini kajian Merdeka Centre membawa mesej yang sukar untuk ditelan PM. Sebanyak 55 peratus kaum Cina, 40 peratus kaum Melayu dan 63 peratus kaum India tidak percaya yang kerajaan ini mampu menyelesaikan masalah pengurusan ekonomi negara.
Keseluruhannya 47 peratus tidak berpuas hati pada kajian bulan Oktober, 2006 berbanding 39 peratus pada bulan Mac, 2006. Abdullah tentunya berhak menentukan apa jua yang beliau kehendaki. Namun, tentunya pasti mengundang angkara dan musibah seandainya dirinya tersilap langkah. Sementara semua bergolak dalam Umno/BN, pihak BA dan pembangkang juga tidak selesa dan mendepani pelbagai cabaran dan petualang. Lebih perit lagi kalau ia adalah ulangan senario 2004. BA dan pembangkang wajar memikirkan cabaran negara yang lebih besar dari memenangkan kepentingan partisan masing-masing.

Sementara rakyat mungkin bersedia menolak BN, apakah rakyat mampu menerima BA/pembangkang untuk menerajui negara ini? Jawapannya kini berada di tangan pimpinan dan aktivis BA/pembangkang sendiri!

Sunday, February 04, 2007

SALAM REFORMASI!

Akan berkarya semula....

LAWAN TETAP LAWAN!

Cyberluncai