Berikut wawancara wartawan Harakah, INTAN ABDULLAH bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memperkatakan beberapa isu kontroversi sebelum ini hingga terlaksananya Seminar Memperkasakan PAS 7 Nov lalu, bagi menggantikan cadangan asal beliau Muktamar Khas (EGM).
HARAKAH: Bagaimana Tok Guru lihat perbezaan pendapat diuruskan dalam PAS?Perbezaan pendapat tidak dapat tidak pasti akan berlaku. Tiada manusia yang tinggal di bumi ini menjadi pak turut selama-lamanya. Yang tidak boleh berbeza pendapat ialah Rasulullah kerana kata-katanya bukanlah daripada pendapat sendiri, tetapi ianya diwahyukan Allah.
Bagaimana kita hendak melawannya? Wahyu Allah tiada satu pun yang bercanggah dengan fitrah manusia. Allah mengharamkan benda yang keji kerana tiada manusia yang sukakan kejahatan dan keburukan.
Pergilah ke mana sekalipun, Allah mengharamkan perbuatan keji. Begitu juga dengan perkara wajib kerana ia merupakan hak manusia seperti taat kepada ibubapa, tolong-menolong, dan sebagainya.
Jadi tiada sebab hendak melawan Rasulullah kerana apa sahaja yang dituturkan baginda bukan datang daripada dirinya sendiri. Ianya datang daripada wahyu Allah. Dan wahyu Allah bukan untuk baginda seorang sahaja sebaliknya seluruh manusia termasuk semua Nabi terdahulu.
Kenapa wujudnya perbezaan ini?Kita tidak boleh bersatu kerana Allah membuat tubuh badan manusia ini dengan adanya nafsu, dan setiap manusia tidak mempunyai nafsu yang sama. Maka hal inilah yang menimbulkan balah.
Apabila berlaku balah, ia mesti mempunyai rujukan. Ia perlu merujuk kepada yang tidak mempunyai nafsu iaitu Allah kerana Dia tidak mempunyai nafsu. Satu daripada perintah Allah ialah menerusi nasihat, sama ada nasihat ini disampaikan oleh ketua keluarga, ketua kampung ataupun ketua kerajaan, sama ada nasihat peribadi, atau nasihat secara keputusan berkumpulan yakni keputusan parti, atau kerajaan.
Keputusan ini mesti selaras dengan kehendak Allah. Kalau tidak selaras bermakna kita telah mengambil alih peranan Allah. Allah tidak ada kepentingan ke atas manusia sedangkan manusia mempunyai kepentingan.
Oleh kerana itu, manusia hendaklah menolak sebarang kepentingan diri dalam membuat keputusan dan kembali kepada Allah. Saya bernasib baik kerana orang PAS mempunyai pandangan mereka sendiri. Mereka boleh bercakap apa yang dikehendaki tetapi mesti menerima keputusan umum.
Contohnya dalam isu Kerajaan Perpaduan, kita buat dua kali keputusan di dua muktamar iaitu di Ipoh dan Shah Alam untuk menolak idea tersebut. Tetapi terdapat juga tindakan-tindakan yang mencurigakan yang bertujuan ke arah itu.
Ini 'mengganggu' perlaksanaan keputusan itu sehingga menyebabkan masalah ini tidak selesai. Apabila parti telah membuat keputusan walau apa sekalipun maka kita hendaklah mematuhinya. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah wujudnya orang yang berasa dirinya tidak terikat dengan keputusan parti. Hal ini tidak kena.
Kenapa Tok Guru kritik?Saya buat begitu kerana terlalu sayang kepada PAS. Kerana itu, saya komen kalau nampak sesuatu yang boleh mencalarkan nama baik PAS. Bukan hanya komen semata-mata hendak mencari salah kerana bagi saya PAS ini bekal bagi akhirat.
Bekal di akhirat ini amat mustahak kerana kita manusia ini tidak mati rohnya tetapi jasadnya sahaja yang hancur. Roh kita tidak mati, sebab itu ada nikmat kubur dan azab kubur.
Mengapa sekarang Tok Guru bangkitkan lagi isu ini?Saya bangkitkan hal ini selepas membaca artikel tulisan Prof Aziz Bari yang merupakan seorang professor, ilmu banyak, pengalaman luas dan Kelantan juga pernah menjemputnya datang berkongsi ilmu dengan rakyat negeri ini.
Jadi, saya merasakan tulisan beliau ini bukanlah sekadar berbentuk tuduhan melainkan ianya mengandungi fakta. Ia tidak boleh dibiarkan. Saya sebagai orang tua yang telah duduk lama di dalam parti ini merasakan perkara ini perlu diambil tindakan.
Dan sekarang saya bersyukur hasrat saya untuk menyedarkan ahli dan pimpinan PAS bahawa ada 'sesuatu' telah masuk ke dalam rumah kita ini telahpun berhasil. Saya perlu menggerakkan anak buah saya untuk menyiasat 'benda apa yang masuk', sama ada ianya manusia atau binatang.
Ada yang menyatakan Tok Guru tidak menggunakan saluran yang betul dalam menyalurkan pendapat dan kritikan. Kenapa paparkan dalam blog yang boleh undang kontroversi?Saya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa orang pimpinan mengenai isu ini sejak ia dibangkitkan dan mengutus surat kepada Presiden PAS menyebutkan perkara itu.
Saya menggunakan blog kerana mengetahui kadar capaiannya yang lebih luas kepada pembaca. Saya yakin dengan keberkesanannya dalam menyampaikan sesuatu. Justeru saya mengambil tindakan sedemikian setelah membuat tindakan-tindakan sebelum itu.
Adakah perlu pertahankan pandangan kita apabila ditegur dan dikritik?Kalau orang komen kita, kita kena bincang dengan mereka dan meneliti terdapat kemungkinan ada benarnya, sama ada di sebelah kita ataupun dia. Bila dia salah, kita tegur dia dan kalau kita salah, kita terima. Tetapi asasnya mesti selari dengan agama Allah.
Hendak tegur saya boleh, tetapi adakah apa yang saya buat ini menyalahi syariat Allah? Agama itu mesti dijadikan sebagai titik pertemuan. PAS mesti mempertahankan dasar-dasar Islam yang ada padanya, bukan dasar sekular.
Bagaimana nak uruskan perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat?Kita kena kemukakan Islam terlebih dahulu. Biar orang bukan Islam tengok. Sepertimana yang kita lakukan di Kelantan. Arak tidak dibenarkan kecuali orang bukan Islam. Kita berikan mereka lesen.
Tetapi ianya haram bagi orang Islam. Judi tidak dibenarkan kepada semua orang di Kelantan, kerana judi ini dapat duit tidak menggunakan otak dan hanya bergantung kepada nasib.
Apakah hasil yang Tok Guru diharapkan daripada seminar khas Sabtu lalu?Supaya PAS tahu apakah 'binatang' yang memasuki rumah kita. Kalau tetamu kita layan dan hormati, dan kalau ianya musuh kita lawan dia. Tujuan kita mengambil tindakan sedemikian untuk memastikan segala tindak-tanduk kita di atas muka bumi ini termasuklah berpolitik dibuat kerana Allah, berniaga malah memangkah undi juga kerana Allah.
Dengan itu, barulah kita boleh menuju kepada akhirat. Ini kerana apabila berada di sana kita tidak dapat melakukan apa sahaja seperti mana kita masih berada di dunia sekarang ini, ianya di luar kawalan kita.
Semua manusia tidak mengira sama ada Melayu, Cina, India, PAS, Umno mesti mati dan akan dihidupkan semula. Mereka ini akan dibawa di hadapan Allah. Ini merupakan ketentuanNya.
Oleh itu, manusia pasti ada yang berbeza pendapat dan kita kena terima keadaan ini. Keputusan yang hendak dibuat juga perlu selaras dengan kehendak Allah.
Berdasarkan kajian Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, ramai yang ingin PAS sekadar bersekutu dengan Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tok Guru?Apa jua namanya bersekutu atau bersatu, apa yang saya sangat inginkan ialah rakyat Malaysia ini bersama dengan PAS kerana PAS sahaja yang mengemukakan Islam. Islam ini bukan pandai-pandai dibuat oleh PAS melainkan ianya adalah wahyu daripada Allah kepada RasulNya.
Jadi barangsiapa yang merasakan Islam ini cacat dan tidak boleh diterima, seperti ada yang melaksanakan dasar kebangsaan dan menolak Islam bererti dia menganggap Islam dan Allah ini cacat.
Mana boleh Allah cacat? Mereka tidak sedar akan implikasinya. Apakah kategori manusia yang hendak kita sebutkan itu?
Bagaimana dia hidup di atas bumi Allah, tetapi menganggap Allah cacat? Minum air Allah, dan sebagainya. Ini merupakan kebodohan orang Islam yang mengambil kebangsaan sebagai dasar.
Salah satu tindakan Umno yang dikatakan sekular ini adalah dia seorang sahaja yang mempunyai radio, televisyen, suratkhabar, seolah-olah ingin menunjukkan bahawa hanya dia sahaja yang cerdik dan semua orang lain bodoh. Umno kata mengamalkan demokrasi, tetapi tidak. Ini semua adalah nafsu semata-mata.
Jika ke Eropah, kita lihat demokrasi mereka. Dibenarkan pembangkang mendapat hak untuk mempunyai radio, dan sebagainya. Malah ada yang memberikan wang peruntukan kepada parti pembangkang. Itu baru demokrasi. Ini tidak, semua duit dibolot Umno. Petroleum Kelantan (royalti) tidak mahu diberikan. Ini menambahkan mual rakyat kepada Umno dan sekutunya.
Pesanan Tok Guru kepada perwakilan dan pimpinan PAS...Perwakilan perlu patuh kepada keputusan seminar. Ini kerana mereka telah diberi peluang untuk bercakap dan berbahas. Semua pihak termasuk pimpinan perlu mematuhi keputusan itu. Ini kerana pimpinan pun tidak maksum (terpelihara daripada melakukan sebarang dosa dan kelemahan).
Jika Dr Aziz Bari sebut 'kapten' dalam artikelnya, saya pun 'kapten' juga. Bukan ketua kawasan atau cawangan. Jadi saya pun 'kapten' juga. Saya pun termasuk orang yang ditegur oleh Dr Aziz Bari, dan saya kena laksanakan dan terima teguran itu.
Cuma saya telah tua sekarang ini dan hanya boleh membaca kepala angin yang boleh membaca sama ada ribut atau hujan akan turun berdasarkan pengalaman saya.
Saya boleh baca contohnya jika air berombak, saya akan menyatakan mungkin ada tunggul di bawahnya. Tapi jika saya hendak mengangkat sauh sendiri sekarang ini saya sudah tidak berdaya melakukannya. Begitu juga hendak mengangkat dayung atau turun mencampakkan sauh pun saya tidak mampu. Orang lain lah yang perlu melakukannya.
Jadi, saya hanya boleh baca kepala angin. Ini kerana terdapat angin yang bawa ribut atau hujan berdasarkan pengalaman saya yang ada.
Maknanya Tok Guru akan pertahan pandangan sebelum ini?Apa sahaja keputusan, saya akan terima. Jika keputusan seminar meminta saya menarik balik tulisan di blog saya sebelum ini, maka saya akan ikut. Sebab itu dalam artikel tersebut saya mulakan dengan tiga kisah yang Allah tegur Rasulullah.
Pertama, Rasulullah ditegur kerana tidak pedulikan orang buta. Orang buta itu datang ke rumah baginda yang kebetulan tengah bercakap dengan Ketua Kaum Quraisy. Baginda tidak mempedulikannya kerana dia orang buta. Sehingga Allah menurunkan surah 'Abasa sebagai tanda kemarahan Allah kepada Rasulullah.
Kenapa tidak pedulikan orang buta itu sedangkan ia datang untuk belajar? Kalau Rasulullah ditegur, maka apa yang pelik jika saya sebagai Mursyidul Am ditegur? Saya terima Lillahi Taala dan saya anggap itu sebagai periuk nasi saya kelak.
Hidup saya ini adalah untuk mencari makanan, untuk makan di akhirat kelak. Sekarang ini periuk saya di dunia, makan gaji, orang berniaga. Di akhirat kelak semua perkara tidak laku, sebaliknya hanya pahala yang diambil kira.
Apa sahaja yang dilakukan di dunia kalau tidak betul maka akan diberikan dosa dan kalau betul diberikan pahala. Bukan senang duduk di atas dunia ini kecuali buat bumi sendiri. Tapi kalau tidak boleh buat bumi sendiri janganlah bercakap besar.
Cyberluncai: Maka selepas ini, kita kenal siapa 'kawan' atau 'lawan'