Wednesday, May 03, 2006

"KERAJAAN DERIH JUSOH MENIPU LAGI....."

SEKITAR PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI TERENGGANU

Fakta-fakta yang memalukan BN


Pertama: Tiada pelaburan asing

Dato’ Haji Mohamad @ Abu Bakar Ali (BN-Kemasik) di dalam soalan bertulis menzahirkan salah sangkanya terhadap prestasi pelaburan di negeri Terengganu kini. Dengan maksud yang kononnya mahu menempelak kerajaan pimpinan PAS dulu sebagai gagal menarik pelabur, Abu Bakar dengan penuh yakin memulakan soalannya, "Terengganu kini telah mendapat perhatian para pelabur selepas BN memerintah semula negeri ini."

Beliau seterusnya meminta pihak kerajaan menyebutkan jumlah syarikat dan nilai pelaburan asing sepanjang tahun 2004 dan 2005. Sangkanya jumlah itu merupakan sumbangan besar terhadap pembangunan ekonomi negeri.

Malang bagi beliau, dan bagi BN juga, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya. Jawaban yang diberikan pihak kerajaan negeri ialah "tiada kemasukan pelaburan asing ke dalam negeri".

Fakta itu amat memalukan BN kerana ia benar-benar bercanggah dengan dakwaan para pemimpinnya. Kononnya kemenangan BN telah mengembalikan keyakinan pelabur asing untuk menanam modal di Terengganu.

Sebaliknya, meskipun pemerintahan PAS dulu sering digembar-gemburkan sebagai ‘tidak mesra pelabur’, fitnah itu nampaknya tidak berupaya menghalang para pelabur untuk terus datang berdagang di Terengganu. Pelaburan Langsung Asing (FDI) tetap berlaku setiap tahun. Pada tahun 2001, Terengganu menerima sejumlah RM3.4 juta FDI menerusi tiga bidang perniagaan, iaitu chip board, pintalan benang dan elektronik.

Awal tahun 2003 negara dikejutkan dengan pengumuman pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), bahawa negeri Terengganu mencatat jumlah FDI tertinggi di seluruh negara bagi tahun 2002 iaitu RM4.736 bilion (RM4,736 juta). Bidang industri yang dilabur ialah kitar semula tayar terpakai.

Fakta dan angka tidak akan berbohong, walaupun para pemimpin BN cuba memutarbelitkannya.

Kedua: Pengguna lapangan terbang makin merosot

Jumlah penerbangan setiap hari bagi tahun 2004 dan 2005 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu kekal sebanyak enam penerbangan, meskipun pembesarannya sedang rancak dijalankan. Jumlah itu tidak menunjukkan sebarang penambahan berbanding tahun-tahun 2002 dan 2003 (di zaman pemerintahan PAS) dahulu.

Jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan di LTSM sepanjang dua tahun terakhir ini bagaimanapun merosot agak ketara. Butirannya sebagaimana di bawah:

Mendarat:
Tahun 2004 = 217,239 orang
Tahun 2005 = 211,804 orang
[Catatan: Merosot 5,435 orang (2.5%)]

Berlepas:
Tahun 2004 = 218,381 orang
Tahun 2005 = 207,665 orang
[Catatan: Merosot 10,716 orang (4.9%)]

Angka untuk tahun 2003 (di bawah pemerintahan PAS) bagaimanapun tidak disertakan. Bagaimana pun, angka di atas membolehkan rakyat bertanya para pemimpin BN, apakah asas mereka mendakwa lapangan terbang itu semakin maju sejak BN kembali memerintah?

Ketiga: Kes-kes gejala sosial meningkat

Tahap gejala sosial di Terengganu bagi tahun 2004-2005 (di zaman BN) menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama bagi tahun 2002-2003 (di bawah PAS). Di dalam jawaban bertulis kepada soalan Ahmad Kamal Abdullah (BN-Sura), kerajaan memberikan butiran berikut:

1. Penderaan kanak-kanak:
Tahun 2002-2003 = 52
Tahun 2004-2005 = 31
[Turun 40%]

2. Pembuangan bayi:
Tahun 2002-2003 = 1
Tahun 2004-2005 = 4
[Naik 300%]

3. Anak tak sah taraf (luar nikah):
Tahun 2002-2003 = 381
Tahun 2004-2005 = 521
[Naik 36.7%]

4. Kes juvana bersalah:
Tahun 2002-2003 = 684
Tahun 2004-2005 = 1,017
[Naik 48.7%]

5. Kes-kes jenayah awam:
Tahun 2002-2003 = 7,697
Tahun 2004-2005 = 9,258
[Naik 20.3%]

6. Kes dadah dalam pemulihan:
Tahun 2002-2003 = 1,793
Tahun 2004-2005 = 1,194
[Turun 33%]

7. Jangkitan HIV:
Tahun 2002-2003 = 1,087
Tahun 2004-2005 = 1,090
[Naik 0.27%]

8. Jangkitan AIDS:
Tahun 2002-2003 = 101
Tahun 2004-2005 = 119
[Naik 17.82%]

Cyberluncai: "CEGAH SEBELUM PARAH...."

No comments: