Perhimpunan di Johor Bharu, iktibar buruk kepada Umno
Oleh Mohd. Sayuti Omar
Sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan Umno secara besar-besar di Johor Bahru telah pun berlalu. Umno melalui program itu berharap mampu menghimpunkan umat Melayu seramai 60,000 sebagai tanda kehebatan parti tersebut. Angka 60 itu diambil sempena dengan angka 60 tahun Umno bernafas di maya pada ini. Umno mahu membangkitkan semula ledakan amarah orang Melayu ketika bersatu menentang Malayan Union.
Kalau Umno jujur mereka tidak boleh mengambil angka berkenaan menjadi nostalgia atau pun tarikh tawarikh parti itu. Himpunan itu bukan sepatut 60,000 tetapi 18,000 sahaja. Sebabnya Umno hari ini bukan dilahirkan tahun 1946 tetapi ia dilahirkan pada tahun 1988.
Mungkin kerana umat Melayu memahami sejarah itu, dan apa yang pernah menimpa ke atas Umno, maka kehadiran pada hari himpunan itu tidak sampai 60,000 seperti mana yang diharapkan. Kehadiran pada majlis itu sekitar 10,000 sahaja. Atau paling lebih pun 18,000. Angka sebanyak itu dikira sesuai dengan sempena ulang tahun Umno Baru yang ke 18.
Sejarah tidak boleh menolak bahawa Umno kini adalah Umno Baru. Umno lama telah diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1987. Suka tidak suka atau betapa pemimpin Umno mahu melenyapkan hakikat itu, namun peristiwa itu telah tercatat dalam sejarah. Hanya manusia yang bingung, buta dan tuli mengenai sejarah saja mengakui Umno kini sebagai Umno asal, sedang hakikatnya Umno kini adalah bukan Umno asal yang bernadikan semangat 46.
Kematian Umno lama itu itu bukan saja sebagai satu kesilapan teknikal, tetapi ia dizahirkan dengan rupa diri dan juga bentuk perjuangan Umno hari ini yang berbeza sama sekali. Hari ini Umno bukan lagi memperjuangkan Melayu, menjaga, mengawal dan mengembangkan hak-hak dan kepentingan Melayu, sebaliknya melupuskan segala kepentingan itu.
Tengok beberapa hak dan kepentingan Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan satu persatu dirombak dan dirompak oleh Umno. Konsep liberalisme dan juga terlalu ghairah dengan arus globalisasi menyebabkan pemimpin Umno pada 20 dekad ke belakangan ini, telah merubah identiti dan matlamat perjuangan Umno.
Hasilnya banyak kepentingan Melayu sudah hilang. Tanah rezab Melayu, biasiswa untuk anak-anak Melayu, pinjaman kepada peniaga Melayu dan sebagainya sudah tidak ada lagi. Ini terhapus di atas kepercayaan pemimpin Umno yang kononnya mahu Melayu berdikari tanpa mengharap bantuan dari kerajaan.
Tanah rezab Melayu sebanyak 1,000 juta ekar di kawasan bandar-bandar besar di seluruh negara yang diambilkan atas nama pembangunan melalui akta Kanun Tanah Negara tidak diganti sampai sekarang. Walhal kedudukan tanah rezab itu telah dimaktubkan di dalam perlembagaan dan ia menjadi aset abadi bangsa Melayu. Paling menyedihkannya sesetengah pembangunan yang dibangunkan itu sedikit pun tidak memberi manfaat kepada bangsa Melayu. Atau pun kalau ada ruang untuk Melayu memilikinya mereka terpaksa melalui berbagai karenah birokrasi.
Demikian juga dalam aspek pendidikan. Apa yang dinikmati oleh kaum Melayu sebagai bangsa menjadi ketuanan negara ini, iaitu kemudahan biasiswa sudah tidak ada lagi. Hari ini tidak sampai 10,000 pelajar Melayu yang memperolehi kemudahan atau keistimewaan itu. semua kemudahan itu kini telah ditukar kepada wang pinjaman melalui Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN). Istilah dermasiswa yang menjadi kebanggaan suatu masa dulu sudah tidak ada lagi.
Perjuangan atau pendirian Umno hari ini tidak ubah seperrti perjuangan Pak Kadok yang suka berjudi itu. Ayamnya menang tetapi kampungnya tergadai. Pak Kadok pandai memilih benih ayam yang baik, menjaga ayamnya menjadi kuat, tetapi sayang kerana kebodohannya, kampung yang dijadikan cagaran perjudian, tergadai kepada musuh.
Itulah Umno hari ini, persis Pak Kadok. Melayu pandai meletakkan Malaysia di peta dunia, menjadi terkenal di seantero dunia, tetapi hasil dan pulangan kepada Melayu sendiri tidak ada. Siapa yang memiliki aset dan kekayaan di negara ini, bukan bangsa Melayu! Ironisnya yang menjaga tanah air, yang mengawal keselamatan; menerusi pasukan polis dan tentera, dan yang menang dalam perjudian bodoh itu, adalah bangsa Melayu klon daripada Umno. Tetapi yang senang dan mewah ada orang lain.
Kalau kaya dan mendapat hasil pun hanya segelintir saja. Mereka ialah kaum kerabat, anak isteri dan menantu pemimpin Umno itu sendiri. Apakah kejayaan mereka ini boleh dikatakan sebagai mewakili Melayu? Tepuk dada tanyalah selera.
Berbalik kepada perhimpunan umat Melayu di Johor yang tidak berjaya tadi, ia adalah satu isyarat sebenar oleh orang Melayu kepada Umno. Bahawa orang Melayu termasuk di kalangan Umno sendiri mereka tidak boleh dipermainkan. Kekurangan sambutan perhimpunan itu menterjemahkan bahawa orang Melayu juga sudah bosan, tidak berminat dan benci kepada parti berkenaan.
Justeru, Umno perlu memperbetulkan semula kiblat perjuangannya. Umno perlu balik semula ke belakang membawa aspirasi bangsanya sendiri. Sekiranya Umno bebal di dalam melihat hal ini dan malas untuk membuat muhasabah, tunggulah masanya untuk Umno berkubur!
Cyberluncai: tengok nombor keahlian Umno baru...di atas.
Monday, May 22, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment