Thursday, May 11, 2006

UMNO (baru) : PENIPU MASYARAKAT, PEMBOHONG RAKYAT!

Rencana
11 Mei 2006
Tajuk :
SAMBUTAN 60 TAHUN KELAHIRAN UMNO : MALU LAGI MEMALUKAN


Sejarah penubuhan UMNO bermula daripada satu perhimpunan besar-besaran yang diberi nama Kongres Melayu Se-Malaya. Perhimpunan yang dirancang oleh Persatuan Melayu Selangor dan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 menghimpunkan 41 buah pertubuhan-pertubuhan Melayu. Perhimpunan yang berdasarkan kepada penolakkan terhadap gagasan Malayan Union tajaan British itu di pengerusikan oleh Dato’ Onn bin Jaafar daripada Persatuan Melayu Johor yang akhirnya telah bersetuju dan sepakat terhadap 3 usul utama iaitu:

i. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
ii. Membantah penubuhan Malayan Union dan,
iii. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu.

Kongres tersebut juga telah bersepakat melantik Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad ( Zaaba ) bagi menganggotai sebuah jawatankuasa bagi mendrafkan satu piagam datu perlembagaan UMNO. Piagam inilah yang akhirnya dibentang dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya yang bersidang di Istana Besar Johor Bahru yang mana kongres itu juga dianggap sebagai perhimpunan agung pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR ) yang juga secara rasminya pada tarikh itu tertubuhlah UMNO.

Ini adalah sejarah ringkas penubuhan UMNO, sejarah yang berlatarkan kepada perjuangan menolak gagasan Malayan Union cadangan British yang kembali ke Tanah Melayu selepas dengan pengecutnya meninggalkan bumi bertuah Tanah Melayu kerana kemasukkan Jepun yang tidak terbendung lagi. Sejarah awal UMNO atau PEKEMBAR sedikit cacat kerana gagasannya yang tidak langsung menyebut tentang usaha untuk membawa Tanah Melayu serta seluruh rakyat yang bernaung dibawahnya kepada kemerdekaan. Sedangkan pada ketika itu gerakan kiri yang dipelopori mereka yang cukup kritikal dengan penjajahan telah lama melaungkan slogan merdeka sebagai dasar perjuangan mereka. UMNO ketika itu sebenarnya dipandang oleh kebanyakkan rakyat sebagai satu lagi projek British bagi meredakan kemarahan orang Melayu terhadap Malayan Union. Gerakan kiri seperti Angkatan Pemuda Insaf ( API ), Angkatan Wanita Sedar ( AWAS ), Hizbul Muslimin dan pelbagai lagi parti politik yang ditubuhkan lebih awal daripada UMNO lebih dekat dihati rakyat. Nama-nama seperti Dr. Burhanuden al-Helmi, Ahmad Boestaman, Shamsiah Sutan Fatah, Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan ramai lagi sering menjadi sebutan kerana pendirian tegas mereka terhadap penjajahan. Sememangnya ada kebenaran rasa keraguan orang Melayu terhadap penubuhan UMNO ketika itu yang dilihat begitu rapat dengan British ini dapat dilihat apabila hampir keseluruhan parti-parti politik yang ditubuhkan sebelum merdeka dan mempunyai pandangan kritikal terhadap British telah diharamkan pada 1948 selepas beberapa tahun sebelum UMNO ditubuhkan. Ironinya semuanya diharamkan atas alasan keterlibatan mereka dengan gerakan komunisme ! Satu label yang menjerut gerakan kiri parti-parti politik sebelum merdeka ke satu zon yang amat perit dimana kesan daripada itu segelintir daripada mereka memilih untuk menghuni hutan dan mengangkat senjata.

Rintisan kembali sejarah ini bukanlah untuk menyelongkar kembali sejarah perjuangan kemerdekaan negara tapi ianya adalah satu perbandingan terhadap persoalan sebenar yang akan dibangkitkan. Kesilapan sejarah menghukum dan menilai penubuhan sebuah parti politik yang bernama UMNO telah meletakkan negara ini pada kedudukan yang ada kini. Penulisan ini tidak menafikan segala bentuk sumbangan dan kejayaan yang telah dikecapi rakyat negara ini dibawah naungan pemerintahan UMNO. Apa yang dikecapi oleh rakyat negara ini adalah satu kebanggaan kepada semua. Tetapi kita juga perlu berlaku adil bahawa disana terdapat fakta yang tidak boleh ditolak bahawa diketika kita mengecapi kegemilangan ini beberapa perkara yang menjadi titik begik kepada kelangsungan orang Melayu masih tidak mampu diusaikan. Malah selepas tahun demi tahun persoalan itu menjadi lebih parah dan kian menghumban orang Melayu ke satu daerah yang terpencil. Inilah antara tujuan penulisan ini dan penulisan ini dilandaskan kepada uar-uar yang gempita tentang sambutan ulang tahun UMNO ke yang 60 tahun. Kerana apa ? Kerana asas kesilapan inilah yang melontar orang Melayu ke lembah yang cukup mengerikan.

Penulisan ini mengajak semua pihak berfikir tentang kesilapan-kesilapan fakta yang dilakukan oleh pimpinan UMNO sehingga meletakkan ahli UMNO dan rakyat seluruhnya ditapak sejarah yang celaru dan silap. Dengan kesilapan ini lonjakan terhadap kelangsungan perjuangan orang Melayu menjadi kalut. Sanggahan yang akan diutarakan dalam perbincangan ini ialah untuk menyedarkan orang Melayu daripada hembusan lamunan yang cukup mengasyikkan sehingga mereka terbuai dan terlena dalam satu tidur yang amat panjang dan kerana itu buaian itulah orang Melayu menjadi sebagaimana mereka menjadi hari ini.


Sambutan ulang tahun 60 tahun penubuhan UMNO adalah satu bentuk penipuan terhadap fakta sejarah kerana umum menyedari, tahu dan sedar UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 telah lama mati dan dikuburkan oleh mahkamah kerana keegoan pimpinannya sendiri. UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad ( Zaaba ) perlembagaannya telah lama dikapankan dan tahlilnya pun tidak diingati lagi. UMNO yang ada hari ini adalah UMNO yang ditubuhkan pada 1988 dan pengasasnya adalah Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ( sekarang TUN ). UMNO sekarang walau apa pun hujahnya samada sama namanya, sama perlembangaannya atau sama pemimpinnya tetap tidak akan menolak hujah bahawa ianya bukanlah UMNO yang diasaskan daripada Kongres Melayu Se-Malaya di Istana Besar Johor Bahru. Katakanlah apa saja. Hujahkanlah apa saja. Kenyataannya UMNO telah lama mati !

Malah jika kita nilaikan dasar perjuangan antara UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn dengan UMNO yang ada ketika ini jelas dan sememangnya amat jelas ianya bagaikan langit dan bumi. Perjuangan UMNO yang ada hari ini langsung tidak sedikit menghampiri perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn. Jika UMNO yang ada pada hari ini adalah kelangsungan perjuangan UMNO yang ditubuhkan oleh Dato’ Onn maka mengapa dari ke hari orang Melayu semakin teruk dihimpit akibat perlaksanaan dasar yang cukup menghimpit orang Melayu.

UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn tidak akan mungkin meletakkan Bahasa Melayu yang menjadi salah satu agenda perjuangan UMNO ke tempat yang paling hina. UMNO yang diasaskan Dato’ Onn tidak akan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kelas bawahan yang hanya layak diucapkan dipasar-pasar. UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn mengangkat individu-individu seperti Zaaba untuk merencanakan dasarnya. Tetapi UMNO yang ada hari ini meletakkan mereka yang beriltizam meneruskan perjuangan Pendita Zaaba ditempat palin hina dan dimusihi. Kerana mereka menentang kaedah pembelajaran Sains dan Matematik didalam bahasa Inggeris mereka dihina dan digelar sebagai cauvinis Melayu yang emosi dan menolak kemajuan. Maka jika begitu keadaannya maka apa kelayakkan yang ada untuk UMNO yang ada pada hari ini untuk mengaku sebagai sinambungan daripada UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn melalui Kongres Melayu Se-Malaya di Kelab Sultan Sulaiman dan Istana Besar Johor Bahru. Jauh panggang daripada api.


Jika UMNO yang ada pada hari ini adalah sinambungan daripada UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn mereka tidak akan terus-terus menghina orang Melayu dengan pelbagai label yang cukup menusuk hati. Tidak ada orang yang mengaku berjuang untuk bangsanya tetapi didalam masa yang sama menghinanya sedemikian rupa. UMNO yang ada hari ini mewajahkan orang Melayu sebagai Melayu yang haprak, Melayu yang berminda kelas ketiga, Melayu yang pemalas, Melayu yang selalu bermungkir janji dan pelbagai lagi gelaran yang menjadikan orang Melayu itu dipandang hina. Dengan pelbagai hinaan itu masih lagikah UMNO yang ada hari ini hendak mendabik dada sebagai waris kepada perjuangan Dato’ Onn. Hentikanlah !

Layakkah UMNO yang mengaku pada hari ini sebagai pewaris kepada perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn jika ditangan mereka yang berhasil hanyalah sejuta orang penagih ! Jika ditangan mereka yang berhasil hanyalah 250 000 orang Melayu Islam yang murtad ! Jika ditangan mereka yang berhasil hanyalah deretan jutawan kroni hasil daripada sistem korupsi ! Jika ditangan mereka yang berhasil hanyalah kekecewaan demi kekecewaan yang melukakan hati orang Melayu ! Fikirkan layakkan mereka untuk mengaku sebagai pewaris kepada perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn.

Jika UMNO yang diasaskan oleh Dato Onn yang kemudiannya diteruskan oleh Tun Abdul Razak dengan hati emasnya menyerahkan begitu banyak tanah kepada orang Melayu melalui DEB dan FELDA maka apa yang dilakukan oleh UMNO hari ini yang kononnya mengaku sebagai sinambungan perjuangan tersebut. Layakkah mereka untuk mendabik dada sebegitu jika orang-orang Melayu di FELDA dari hari ke hari kian dihimpit dengan pelbagai sekatan dan perjanjian yang berat sebelah. Yang kaya hanyalah kapitalis lintah darat yang kerjanya hanya menghisap sebanyak mungkin kudrat dan keringat orang Melayu. Layakkah mereka untuk mengaku jika dari hari ke hari mereka robohkan rumah-rumah orang Melayu yang tidak mampu untuk membelinya dengan alasan itu adalah rumah setinggan haram ! Jika kerja mereka adalah merampas tanah orang Melayu diatas nama kemajuan ! Fikirkan !

Bagaimana dengan dasar perjuangan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu yang menjadi asas penubuhan UMNO tajaan Dato’ Onn adakah mereka meneruskannya sehingga mereka berani untuk mengaku sebagai pewaris kepada perjuangan UMNO Dato’ Onn. Jika biasiswa yang diperuntukkan oleh perlembagaan negara kepada setiap orang Melayu itu pun dihapuskan maka mengapa mereka dengan muka yang tidak malu berani mengaku sebagai pewaris kepada Dato’ Onn. Cerminkan wajah mereka dulu kemudian tanyakan ke dalam diri mereka layakkan mereka untuk mengaku sebagai pewaris kepada perjuangan Dato’ Onn jika hanya yang mampu mereka lakukan ialah dengan mencicirkan ribuan anak-anak Melayu daripada mendapatkan pendidikan yang lebih baik kerana tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

Maka tidak jelaskah lagi bahawa dari segenap segi dan dari segenap sudut UMNO yang ada hari ini langsung tidak menyerupai UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn. UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn melihat orang Melayu sebagai aset yang perlu digilap bagi menyerlahkan potensi mereka ke mata dunia, tapi UMNO yang ada hari ini melihat orang-orang Melayu sebagai sampah, sebagai hamba yang perlu dikerah kudrat dan tenaga mereka untuk mencapai cita-cita tinggi politik mereka. Maka kerana cita-cita politik mereka itulah akhirnya orang-orang Melayu lahir sebagai sebuah bangsa yang menjadi pengemis dibumi mereka sendiri.

Fikir-fikirkanlah, layakkah mereka untuk berdiri di Istana Besar Johor Bahru kemudian berteriak histeria sambil mungkin menghunuskan keris ke langit kemudian mendabik dada mengaku kami adalah pewaris kepada perjuangan UMNO yang diasaskan oleh orang-orang Melayu melalui Kongres Melayu Se-Tanah Melayu bagi menentang penjajahan British. Jauh panggang daripada api. Mereka tidak layak walau sekelumit pun untuk berbuat demikian.

Tidak sekelumit pun mereka layak walaupun mereka masih lagi menggunakan akronim UMNO dalam pertubuhan mereka ! Tidak sekelumit pun mereka layak walaupun mereka menjunjung gambar Dato’ Onn di kepala ! Tidak sekelumit pun mereka layak walaupun mereka berkobar-kobar menyanyikan Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat ! Tidak sekelumit pun mereka layak meskipun mereka tempel dan tumpangkan sejarah UMNO yang diasaskan oleh Dato’ Onn ke dalam sejarah mereka ? Kerana apa..? Kerana UMNO telah lama mati 18 tahun yang lalu dan orang Melayu telah kekeringan air mata untuk menangisinya.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

1 comment:

Anonymous said...

UMNO dah diharamkan.

UMNO Baru sekarang lain dari UMNO.

Hanya melayu bebal tak tahu.

Sampai ornag India Kerala jadi Presiden UMNO baru