Monday, March 05, 2007

Reformasi pilihan raya: Tiga tuntutan Bersih yang amat munasabah!

Abu Urwah

Perjuangan PAS, KeADILan dan parti-parti pembangkang beserta beberapa NGO progresif diteruskan demi memartabatkan suara rakyat melalui sistem dan proses demokrasi di negara ini.

Kepincangan amalan demokrasi yang menafikan hak dan suara rakyat sebenar, kini ditangani secara objektif dan konstruktif melalui penubuhan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil dengan singkatan BERSIH.

Pada masa yang sama kerja-kerja pemantauan pilihanraya akan diteruskan melalui gabungan beberapa NGO di bawah MAFREL (Malaysians for Free and Fair Elections).

BERSIH adalah gabungan lima buah parti politik yang terdiri daripada PAS, PKR, DAP, PSM dan SNAP serta 26 NGO termasuk MTUC, Aliran, WAMI, LRC, KOMAS, SOS Penang, HAKAM, JERIT, SUARAM, AWAM, PUM, IKD serta gerakan mahasiswa dari DEMA, GAMIS dan Solidariti Mahasiswa Malaysia atau SMM.




Tiga tuntutan utama dengan gesaan agar SPR melaksanakannya secepat mungkin adalah:

1.Pembersihan Daftar Pemilih

Tuntutan pertama BERSIH adalah agar daftar pemilih dibersihkan daripada sebarang bentuk manipulasi, pembohongan dan keraguan. Daftar pemilih yang bersih adalah syarat pertama bagi pilihanraya yang dianggap oleh rakyat sebagai adil, bersih dan berwibawa.

Pelbagai bukti telah berjaya dikumpulkan bagi menunjukkan bahawa penipuan pilihanraya yang paling menonjol dilakukan adalah melalui daftar pemilih. Dalam Pilihan Raya 2004, beribu-ribu pengundi di Gombak Setia mendapati nama mereka tiada dalam daftar pengundi di tempat-tempat yang sepatutnya mereka mengundi. Kekecohan telah berlaku hinggakan proses pengundian dipanjangkan tanpa gazet oleh SPR selama dua jam!

Daftar pemilih yang mengandungi puluhan dan bahkan ratusan pemilih di satu-satu alamat tempat tinggal telah dibuktikan. Alamat tempat tinggal yang kemudian didapati sebagai pondok jaga di Kampong Kerinchi juga telah dibuktikan. Selain itu berpuluh-puluh pemilih yang dialamatkan di sebuah tingkat atas pejabat juga amat bercanggah dengan definisi alamat tinggal yang ditetapkan sendiri oleh SPR. Pejabat bukan tempat tinggal!

Tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh SPR.

Cerita pengundi hantu bukan lagi merupakan satu cerita baru dalam pilihanraya umum di negara ini. Pengundi-pengundi yang sudah meninggal dunia yang tidak dikeluarkan nama mereka daripada daftar pemilih yang mana pada hari pengundian nama-nama tersebut digunakan oleh pengundi-pengundi tertentu juga bukan suatu cerita dongeng lagi!

Di Batu Caves, bukan hanya ada pengundi hantu, bahkan telah wujud satu lokaliti hantu! Pengundi-pengundi di lokaliti tersebut keluar mengundi di tempat-tempat mengundi di Gombak Setia bagi mengalahkan calon PAS di DUN tersebut!

Pengerusi SPR sendiri telah mengaku bahawa terdapat lebih 500,000 dari 10 juta pemilih yang berdaftar telah pun meninggal dunia tetapi nama mereka masih ada dalam daftar pemilih. Dengan pengakuan sebegini pun, SPR tidak berupaya melakukan sesuatu untuk membersihkan daftar pemilih!

Daftar pemilih dengan tarikh yang berbeza-beza dan selain daripada apa yang diserahkan kepada parti-parti alternatif pada hari penamaan calon juga telah menimbulkan keraguan terhadap bersihnya daftar pemilih.

2.Pemansuhan Undi Pos

Undi pos mencalar-balarkan kewibawaan amalan demokrasi dan pilihanraya di negara ini. Berulang-ulang telah terbukti bahwa undi pos diwujudkan semata-mata bagi tujuan memenangkan calon-calon Umno-BN!

Ramai tokoh dan pemimpin Umno-BN sudah lama kecundang jika tidak kerana adanya undi pos. Contohnya; kemenangan genting Najib Tun Razak di Pekan dalam Pilihanraya 1999 hanyalah disebabkan oleh undi pos. Persempadanan semula kem tentera di Kuantan yang membolehkan bertambahnya undi pos di parlimen Pekan juga telah menyelamatkan 'maruah' Najib pada Pilihanraya 2004.

Demikian juga kehendak rakyat dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir telah dinafikan semata-mata kerana wujudnya undi pos. Lebih ganjil bilangan undi pos di Pengkalan Pasir melebihi bilangan pengundi pos dalam daftar pemilih sebenar!

Di Tambun, Perak sahaja terdapat lebih 7,000 undi pos yang menjadikan pertandingan di kawasan parlimen itu hanya sebagai satu latihan akademik demokrasi!

Di parlimen Kuala Langat, Selangor terdapat pertambahan kawasan perumahan TUDM sedangkan menara kawalan di Bukit Jugra diseliakan sepenuhnya oleh TLDM!

Penempatan kem-kem tentera dan balai serta kuarters polis yang besar di kawasan-kawasan tertentu amat dicurigai motifnya kerana keselamatan ataupun semata-mata kerana mahu mengagih-agihkan undi pos kepada calon-calon Umno-BN!

Undi pos hendaklah dihapuskan kecuali untuk para diplomat dan pengundi di luar negara. Sistem undi pos yang keseluruhannya melibatkan tentera dan polis beserta ahli-ahli keluarga mereka ternyata hanya bertujuan untuk memberikan keuntungan kepada Umno-BN.

Amalan anggota-anggota tentera dan polis yang mengundi di bawah pengawasan pegawai-pegawai atasan mereka adalah bertentangan dengan hak kebebasan individu dan amalan demokrasi tulen.

Pada masa yang sama amalan persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR juga sentiasa berjalan seiring dengan pertaburan kem-kem tentera dan balai serta kuarters polis bagi memberi kelebihan kepada calon-calon Umno-BN. Amalan buruk ini mesti dihapuskan agar kewibawaan dasar keselamatan negara tidak dipersendakan oleh rakyat!

3.Penggunaan Dakwat Kekal

Antara kaedah terbaik bagi menghalang pengundian berganda adalah dengan para pengundi mencelupkan hujung jari mereka ke dalam dakwat kekal bagi membuktikan mereka telah mengundi.

Dakwat ini tidak dapat dipadamkan sepanjang proses pemilihan berjalan. Dengan itu, individu yang sah dalam daftar pengundi yang belum lagi bertanda jarinya dengan dakwat kekal sahaja yang layak mengundi di sesuatu atau mana-mana tempat mengundi.

Kaedah ini digunakan di negara demokrasi terbesar di dunia, iaitu India. India mempunyai bilangan pengundi berdaftar mencecah 700 juta!

Bilangan ini adalah dua kali lebih besar berbanding bilangan pengundi terbesar yang terdekat, iaitu pengundi dalam pilihanraya Parlimen Eropah!!

Kaedah penggunaan dakwat kekal ini juga digunakan dalam sistem demokrasi terbesar di dunia Islam, iaitu Indonesia. Jumlah pengundi dalam pilihanraya umum Indonesia adalah melebihi 100 juta.

SPR mengatakan bahawa penggunaan dakwat kekal sebagai kuno! Apakah amalan demokrasi di India yang melibatkan lebih 1,000,000 mesin elektronik berteknologi canggih bagi penjumlahan undi boleh dikatakan kuno?

Bolehkah amalan demokrasi yang melibatkan 100 juta pengundi dalam demokrasi dunia Islam terbesar dikatakan kuno?

Apakah sebuah sistem demokrasi yang mampu menguruskan pilihanraya melibatkan satu arkipelago yang terdiri daripada 17,500 buah pulau merangkumi satu kawasan seluas 730,000 batu persegi seperti di Indonesia dianggap satu yang kuno?

Mungkin yang lebih kuno lagi adalah arahan pemimpin tertinggi Umno-BN untuk mencetak kad pengenalan bagi diserahkan kepada warga asing untuk mengundi memenangkan Umno-BN!

Salah satu projek membuat dan menyerahkan kad pengenalan secara besar-besaran telah dibuat di atas arahan Dr. Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Projek ini dinamakan Projek M atau Projek Mahathir!

Di Sabah sahaja terdapat lebih 322,900 orang warga asing telah mendapat kad pengenalan Malaysia melalui pintu belakang. Jumlah tersebut telah bertambah melebihi 600,000 orang yang kini menjadi penentu demografi dan pilihanraya di Sabah.

Dipercayai satu bilangan yang amat besar dalam pemberian kad pengenalan kepada warga-warga Rohingya, Banglasdesh dan Selatan Thailand juga berlaku bagi memberi kelebihan kepada Umno-BN di Semenanjung.

Bukankah lebih kuno lagi apabila operasi yang dilakukan di bawah arahan PM ini kemudiannya yang mempersalahkan adalah pihak bawahan?

Amat kuno sekali apabila orang-orang yang dipersalahkan itu ditahan bertahun-tahun di bawah ISA!

Sesungguhnya amatlah kuno menahan orang tanpa ianya diberikan peluang untuk dibicarakan di mahkamah terbuka. Inilah yang dipertahankan oleh SPR!

No comments: