Tuesday, September 05, 2006

UMNO PENGKIANAT NEGARA.....?

Kelantan sememangnya dikenali sebagai 'universiti politik terbuka' di negara ini. Setiap isu politik tercetus pastinya ia mudah meletup. Lebih-lebih lagi kedudukan sekarang hanya dipisahkan dengan satu kerusi di antara PAS dan BN.

Namun, situasi yang berlaku kebelakangan ini sudah jauh berubah. Banyak petunjuk menjelaskan keupayaan PAS untuk terus bertapak kukuh di Kelantan. Ia bukan sekadar ilusi di kedai-kedai kopi, malah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua kerajaan juga merasai sama fenomena tersebut.

Pemimpin Umno sering mengungkitkan Kelantan mendapat peruntukan RM7.6 bilion dalam RMK9. Mungkin Tuan Guru mempunyai pandangan berbeza?

Orang Islam fikir cara lain, orang nasionalis cara lain. Orang Islam fikir bukan setakat dunia sahaja, sama ada dia bangsa Melayu, Cina atau sebagainya. Orang Islam fikir hidup di dunia untuk menyediakan bekal bagi akhirat. Sebab itulah untuk memantapkan fikiran manusia tidak semestinya bertapak di atas falsafah wang ringgit. Sebab itulah Allah melantik Nabi Muhammad s.a.w daripada golongan yang miskin. Kalau kira pada pandangan zahir, Nabi Muhammad s.a.w tidak layak menjadi Nabi kerana baginda orang miskin. Tetapi dalam keadaan miskin itulah Allah Taala lantik baginda menjadi Nabi kerana yakin manusia tidak perlukan duit tetapi perlukan penjelasan. Penjelasan pertama yang perlu diberitahu ialah dunia ini kepunyaan Allah. Allah juga mengadakan akhirat untuk membalas perbuatan manusia nanti.

Sudah terlalu sinonim perjuangan Umno dengan wang ringgit?

Jadi Umno tidak perlu galak kerana mempunyai duit yang banyak. Umno juga perlu beritahu tidak kena di mana perjuangan PAS menggunakan Islam. Kalau sekadar disebut PAS tiada duit, memang kami sudah awal-awal lagi tahu mengenainya. Keduanya, apa jaminan Umno untuk bawa rakyat selamat sampai ke akhirat kalau tidak menggunakan insan (agama). Lagi pun sejak zaman Nabi-Nabi terdahulu sehingga Nabi Muhammad s.a.w menggunakan Islam untuk berdakwah dan tidak menggunakan nasionalis.

Umno juga mengagungkan perjuangan bangsa?

Bangsa tidak boleh hendak diubah. Kalau kita kempen sekali pun orang Cina tidak akan menjadi Melayu. Perkara ini tidak boleh diubah. Saya sendiri orang Melayu tidak merasa mujur menjadi bangsa Melayu, kalau menjadi Cina pun tidak apa. Sedangkan bangsa tidak boleh diikhtiar hendak diubah. Saya mujur kalau saya jadi orang Melayu yang Muslim. Kalau saya jadi Cina Muslim pun mujur. Islam dan tidak Islam ini perkara yang boleh diiktiar. Bangsa ini tidak boleh diubah. Sejak dilahirkan lagi kita sudah menjadi bangsa Melayu. Kita tidak boleh hendak cemburu kepada orang Cina kerana dia Cina, apa yang boleh kita cemburu ialah sifat yang ada pada bangsa itu. Inilah yang PAS sibukkan. Umno tidak hendak ikhtiarkan supaya sifat ini menjadi baik. Baik itu bila guna Islam, iman dan taqwa. Inilah yang PAS sedang usahakan supaya manusia menjadi baik. Umno tidak boleh menyelamatkan bangsa menjadi baik dengan bergantung kepada semangat bangsa sahaja.

Adakah Cina Muslim juga boleh dilantik sebagai ketua kerajaan?

Orang Cina boleh jadi Menteri Besar Kelantan sekiranya dia Islam, warak dan berpelajaran. Tapi orang Umno tidak boleh kata Cina boleh menjadi MB sekiranya dia Melayu.

Biar pun Kelantan ditadbir PAS, peruntukan besar diperolehi dalam RMK9?

Peruntukan besar itu dibuat semasa Kelantan dikuasai PAS. Ertinya rakyat Kelantan tidak merasa bimbang sedikit pun untuk masa akan datang terus mengundi PAS. Malah, sampai bila-bila pun kerana peruntukan besar dibuat semasa Kelantan di bawah PAS. Sebaliknya kalau peruntukan besar hendak diberi selepas PAS kalah, itu munasabahlah. Dengan peruntukan yang besar ini tiada sebab rakyat Kelantan tolak PAS. Telah terbukti Kelantan mempunyai banyak bangunan kerajaan termasuk sekolah, hospital dan klinik di merata-rata tempat sekarang. Itu belum lagi dikira dengan bajet tahunan yang dilulus kerajaan negeri. Ditambah pula dengan modal dibawa pihak swasta dan disokong lagi peruntukan Pusat, apa susahnya.

Rakyat mungkin terpengaruh dengan momokkan pemimpin Umno?

Memang boleh terpengaruh kalau kita tidak menjelaskan balik kepada rakyat. Sebab itulah Umno sejak dari dahulu lagi tidak luluskan kepada kita lesen mengendalikan televisyen, radio dan suratkhabar harian. Umno mahu maklumat hanya datang dari sebelah pihak, sama seperti sistem Komunis. Umno dan sistem Komunis adalah serupa kerana sama-sama tidak memberi peluang kepada rakyat untuk mendapat maklumat kedua.

Umno sering mengumpan material kepada rakyat. Apakah ini menggambarkan kebankrapan idea?

Komunis pun begitu juga, menjaga negeri dengan material. Komunis tiada agama, Umno pun tidak berminat dengan agama kerana lebih mendewa-dewakan nasionalis. Sebab itulah berkembangnya gejala sosial sekarang seperti rogol, rompak, rasuah dan bermacam-macam lagi.

Rakyat juga merasa tidak selamat biar pun berada di rumah?

Sebenarnya itulah harga yang terpaksa dibayar masyarakat kerana menolak ajaran agama. Kerajaan Malaysia yang diketuai Umno menolak Islam. Apabila menolak Islam hanya tinggal nafsu jahat. Nafsu jahat terus membiak kerana tidak ada pemantauan. Apabila nafsu baik tidak ada untuk memantau, maka nafsu jahat bermaharajalela. Orang Arab jahiliah yang begitu teruk sekali dapat dikawal oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam masa 23 tahun. Kawalan yang dibuat bukan dengan duit. Nabi s.a.w berjaya kerana memantau nafsu jahat dengan agama.

Mungkinkah selama-lamanya rakyat berada dalam keadaan begitu?

Memang akan tetap begitu. Roh keagamaan dibiarkan tanpa kawalan, tarbiah dan tanpa didikan. Apa yang penting ialah taqwa kepada Allah Taala. Sebab itulah Nabi Muhammad s.a.w dibawa naik sendiri ke langit untuk melihat syurga dan neraka. Bangsa Melayu kalau tidak dijaga akan dibimbangi menjadi murtad. Bagi Umno mungkin tak ada apa masalah kerana orang murtad pun masih Melayu lagi cuma bertukar agama sahaja.

Apa pandangan Tuan Guru dengan kewujudan Universiti Darulnaim?

Kita bersyukur kerana perkara itu berlaku semasa Kelantan di bawah kerajaan PAS. Bukan hendak menunggu parti lain kuasai Kelantan baru hendak buat universiti. Ini menunjukkan semasa di bawah PAS banyak kemajuan kebendaan dibuat kerajaan Pusat.

Macam mana pula perasaan?

Kelantan sebenarnya sudah meluluskan tanah untuk dibuat tapak universiti di Tangok, Bachok sudah lama, zaman Dato’ Asri lagi. Itu menandakan PAS sudah lama melihat keperluan kepada ilmu pengetahuan. Umno yang melengah-lengah begitu lama hendak buat universiti, akhirnya terpaksa buat juga. Insya Allah rakyat Kelantan akan menjadi ilmuan dan mereka akan terus menyokong gerakan Islam. Kalau kita ada ilmu tetapi tidak sokong Islam itu tidak bererti. Komunis pun ada ilmu sehingga boleh naik ke langit, tetapi apa yang boleh dimegahkan kerana di dalam negara mereka melanda banyak masalah.

Jadi Kelantan sedia beri kerjasama?

Selama-lamanya kita akan beri kerjasama. Cuma apa yang berlaku sekarang pihak lain yang tidak mahu memberi kerjasama kepada kami. Islam sentiasa memberi kerjasama di atas perkara kebajikan dan taqwa kepada Allah Taala. Tetapi kalau perkara mendorong kepada dosa, kita tidak kompromi. Sebab itu hasrat kerajaan Pusat hendak wujudkan Taman Budaya di Kelantan, kami boleh terima dengan syarat biarlah kami mengendalikan pusat budaya itu. Kami terima kerana tidak ada manusia yang tiada budaya tetapi mesti ditapis berlandaskan al Quran dan Hadis.

Setakat ini adakah Menteri Pengajian Tinggi sudah mengunjungi Tuan Guru bagi memaklumkan kewujudan Universiti Darulnaim?

Belum ada.

Kerajaan Pusat juga meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi projek saliran di bandar Pasir Mas?

Ini secara tidak langsung dapat meringankan bebanan kerajaan negeri. Dan sebelum ini sudah banyak peruntukan daripada Pusat telah meringankan bebanan kerajaan negeri. Mereka buat jalan, jambatan dan macam-macam lagi. Apa yang hendak dipelikkan. Khabarnya berbilion diperuntukan bagi projek pembangunan di Kelantan. Terima kasih saya ucapkan.

Bagaimanapun pula dengan cadangan kerajaan negeri membina jejantas melintasi landasan kereta api di Pasir Mas?

Insya Allah jejantas itu kita akan buat. Sekarang masih dalam proses pengambilan balik tanah.

Bila jangkaan projek itu dibina?

Selepas proses pengambilan tanah selesai. Lagi pun banyak projek kerajaan Pusat yang dirancang ada juga yang lambat dilaksanakan. Sedikit kelambatan itu adalah perkara biasa sahaja.

Kakitangan kerajaan Pusat diumumkan Perdana Menteri mendapat bonus sebulan gaji, bagaimana pula Kelantan?

Biasanya kita akan bayar. Sebelum ini (tahun-tahun lepas) pun kita telah bayar. Bergantung kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri. Kita akan bincang dalam mesyuarat Exco terdekat ini.

Lebih 10 tahun lalu, kerajaan negeri melancar program Desa Taqwa dan Tabung Qardhul Hassan, namun ramai melihat ia tidak mencapai matlamatnya?

Ia dikesan berpunca daripada pembayaran balik pinjaman yang diberi bagi menjayakan program tersebut. Keadaan ini bukan sahaja berlaku kepada projek di bawah kerajaan negeri, malah Mara pun ramai peminjam tidak bayar. Ini berpunca semangat untuk membayar balik di kalangan orang Melayu telah rosak. Ini kerana orang Melayu asyik disogok dengan subsidi. Asalnya pemberian subsidi diberi kerana Umno hendak memperlihatkan mereka mempunyai duit banyak. Namun akhirnya subsidi tersebut menyebabkan semangat pengorbanan orang Melayu menjadi rosak. Rakyat sekarang asyik bergantung kepada kerajaan, macam-macam agensi ada. Dan akhirnya hutang tidak dibayar. Jadi penyakit yang serupa berlaku terhadap program yang dijalankan kerajaan negeri. Lagi pun kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan besar. Perkara itu kita akan baik pulih semula.

Bila agaknya pembaharuan akan dilakukan?

Insya Allah perkara itu akan dilakukan tidak lama lagi. Ini kerana program tersebut adalah perkara baik. Sebab itu Ar Rahn yang juga dikendalikan kerajaan negeri melalui Permodalan Kelantan Bhd berjaya kerana ia menggunakan kaedah cagaran. Jadi mahu tidak mahu barang kemas yang digadai ditebus balik. Dan kalau mereka tidak mampu akan dijual bagi menampung kos pinjaman yang dibuat dan bakinya akan dipulangkan semula kepada peminjam.

Sekarang seakan-akan berlaku satu fenomena baru apabila semakin ramai ahli dan penyokong Umno menyertai PAS. Apa pandangan Tuan Guru?

Saya hendak baca pemikiran orang lain memang tidak boleh. Tetapi rakyat Kelantan telah disemai dengan ajaran agama sejak beratus tahun lampau. Mereka tahu kalau semasa hidup menolak Islam, kehidupan mereka tidak akan sampai ke mana-mana. Ia akan terbengkalai di tengah jalan. Kalau sekadar mengagung-agungkan bangsa bila mati tidak berharga sesen pun. Masuk dalam kubur ia tidak akan selamat sekadar menjadi bangsa Melayu. Orang Cina akan selamat dalam kubur sekiranya dia Islam. Begitu juga Orang Asli boleh selamat dalam kubur sekiranya menganut Islam. Maka sekarang mereka mulai sedar sedikit demi sedikit. Di atas dunia pun mereka sudah merasai semakin celaru,lebih-lebih lagi kalau masuk ke dalam lubang kubur maka akan lebih celaru lagi. Tinggal lagi sekarang penjelasan yang dibuat PAS sebagai gerakan Islam tidak hebat kerana tidak mempunyai kelengkapan yang cukup. Kita tidak ada media eletronik dan suratkhabar harian bagi menjelaskan mengenai Islam secara lebih meluas lagi. Inilah kelemahan sistem demokrasi di Malaysia sampai sekarang.

Mungkinkah situasi itu memberi gambaran awal kepada kekuatan gerakan Islam?

Insya Allah. Saya memang cukup optimis dengan keadaan sekarang.

Mungkin ada lagi mereka yang berjawatan dalam Umno akan mengikut jejak sama selepas ini?

Bagi saya sama ada mereka berjawatan tinggi atau ahli biasa adalah sama sahaja kerana undi masing-masing hanya satu. Namun, mereka yang berjawatan dan ada pengaruh dapat mempengaruhi orang lain pula. Apa yang penting ialah undi yang banyak dari peringkat grassroots.

No comments: