Saturday, November 12, 2005

UMNO: PARTI 'PONDAN' DAN NASIB BAIK.........

Sri Bunian

Assalamu’alaikum wm.wrt

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa UMNO bukanlah merupakan sebuah parti yang gagah dan perkasa. UMNO parti yang lemah dan pondan. Kita nampak gagah dan perkasa kerana UMNO adalah parti yang memerintah yang mempunyai kuasa eksekutif dalam pelbagai perkara. Dengan kuasa itulah ia memperguna dan memperalatkankan pelbagai institusi dan media yang wujud dalam Negara ini bagi membantu, menyokong dan menungkatnya supaya dapat ia memperhiaskan diri agar rakyat nampak gagah dan perkasa setiap waktu.


Setiap kali pilihan raya diadakan sama ada umum atau kecil, termasuk yang akan diadakan di DUN Permatang Pasir, Pasir Mas, Kelantan, UMNO pasti kelihatan amat gagah dan perkasa kerana UMNO wajib baginya mempergunakan kuasa yang ia miliki bertindak sebagai sebuah kerajaan pusat [yang memiliki pelbagai kekuatan] masuk bertanding bukan atas sifatnya sebagai sebuah parti politik untuk menentang PAS sebuah parti politik yang mempunyai serba-serbi kekurangan dan kelemahan.

Begitu juga dalam aspek menyalahgunaan kuasa, menyeleweng, pecah amanah, menipu rakyat, rasuah dan pelbagai perkara busuk-busuk yang dilakukan leh para pemimpinnya ang rendah akhlak dan moralnya dengan mudah dapat disembunyikan daripada pengetahuan awam kerana ia dilindungi oleh institusi-institusi yang berkuasa di dalam Negara ini termasuk seluruh media massa [cetak dan elektronik] yang dikawal sepenuh olehnya. Sampah sarap yang dibuatnya itu disembunyikan di bawah karpet dan sesiapa yang berpeluang menyelak karpet itu, maka terserlahlah kehudohan perangai bangsat UMNO.

Saya berkesempatan membaca dua rencana, satu darinya disiarkan oleh MalaysiaToday.net pada 14.10.2005 yang ditulis oleh Rustam A.Sani bertajuk “Si Jahil Sejarah dan Keangkuhannya” dan satu lagi disiarkan oleh Laman Marhaen yang diterjemahkan dari tulisan MGG Pillai pada 1.11.2005 bertajuk “Parti Komponen Barisan Nasional Bukan Diwujudkan Untuk Perjuangkan Kemerdekaan[National Front parties were not formed to fight for Malaysian independence].

Dari dua buah rencana tersebut, saya dapat membuat satu kesimpulan bahawa betapa senangnya UMNO mendapat kuasa tanpa reality sebenar berjuang menuntut kemerdekaan dari tangan penjajah Inggris. Dalam kata lain ‘nasibnya baik’ menerima kemerdekaan dan kuasa memerintah daripada penjajah Inggeris dengan cara mudah tanpa melalui liku-liku perjuangan yang memedihkan berbanding dengan lain-lain persatuan, pertubuhan dan parti-parti politik yang tidak bernasib baik kerana mereka enggan menyerah kalah, tunduk, melutut dan memenuhi apa sahaja kehendak Inggeris.

Dalam tulisan ini saya hendak berkongsi pengetahuan dengan para pembaca semua bahawa UMNO mendapat kuasa untuk memerintah semenjak dari Negara mencapai merdeka pada tahun 1957 sehingga kini bukanlah di atas perjuangannya yang tulen dan sejati, tetapi kerana ‘nasibnya baik’ dan secara kebetulan bukan melalui perjuangan yang berliku-liku yang terpaksa berkorban menumpahkan air mata, darah dan keringgat sepertimana yang telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu di dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan lain sebelum UMNO wujud di muka bumi Malaysia ini. UMNO merima kemerdekaan dalam bentuk ‘tinta emas’ berjuang kemerdekaan dalam bilik berhawa dingin dengan penuh keselesaan dan keenakan. Sekurang-kurangnya terdapat 4 keadaan yang UMNO ‘bernasib baik’ yang dapat terus memerintah Malaysia sehingga ke hari ini.

UMNO bukan merupakan sebuah parti tunggal yang memperjuangkan kemerekaan Tanah Melayu. Malah perjuangan kemerdekaan telah lama wujud selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 lagi. Ianya dipergiatkan dalam dekad-dekad 1900an, 20an dan 30an apabila pemimpin-pemimpin muda dalam pelbagai pertubuhan dan persatuan yang mendapat ilham daripada kembangan sekitar Negara-negara jiran yang berjuang menuntut kemerdekaan, melalui suratkhabar dan majalah [dalam dan luar negeri] yang meniupkan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan dan juga pengaruh gerakan Islam di Timur Tengah yang dibawa balik oleh pelajar-pelajar khususnya pelajar-pelajar yang menuntut di Mesir dan dikembangkan di Tanah Melayu ketika itu.

Sebelum UMNO ditubuhkan, sudah wujud pelbagai persatuan, pertubuhan dan parti-parti politik khususnya untuk menghalau penjajahan Inggeris meningalkan Tanah Melayu dan mendapat kemerdekaan secara total. Secara total disini bermaksud, kemerdekaan yang akan dicapai itu akan memberi kebebasan 100% dan tidak terikat atau terpengaruh dengan system pentadbiran British yang menjajah Tanah Melayu hampir 500 tahun. Kebebasan membentuk system pentadbiran mengikut cita rasa dan budaya berpaksikan Melayu-Islam, berupaya berdiri di atas kaki sendiri bukan meniru system dan gaya pentadbiran Inggeris sepertimana yang telah dilakukan oleh UMNO.

Hasrat ini ditentang oleh penjajah Inggeris habis-habisan. Banyak persatuan, pertubuhanan parti-parti politik yang ditubuhan menentang Inggeris diharamkan dan pemimpin-pemimpinya ditangkap dan dipenjarakan. Dalam perkara ini tidak seorang pun pemimpin-pemimpin UMNO yang ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak penjajah Inggeris, malah pihak Inggeris memberi sokongan dan dokongan bagaimana hendak menguruskan Negara ini selepas Inggeris meninggakannya.

‘Nasib baik’ pertama UMNO, penubuhan UMNO memang dinanti-nantikan oleh pihak penjajah Inggeris [kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO ketika itu ialah pegawai-pegawai Melayu yang disenangi oleh pihak Inggeris] kerana pada waktu itu, semua Negara-negara yang dijajah oleh kuasa-kuasa besar barat [Inggeris, Belanda, Sepanyol, Portugis dan Amerika] mula melepaskan satu demi satu Tanah Jajahannya. Sudah menjadi trend ketika itu, semua Negara yang dijajah, rakyat di Negara-negara tersebut bangkit menuntut kemerdekaan dan penjajah tidak ada alasan yang kukuh untuk mempertahankan atau meneruskan menjajah di Negara-negara berkenaan untuk selama-lamanya. Kemerdekaan Tanah Melayu ini dilambat-lambatkan kerana Inggeris mendapati tidak ada sebuah pun persatuan, pertubuhan atau pun parti-parti politik yang wujud ketika itu yang serasi dengan system nilai yang dipegang oleh penjajah Inggeris untuk diwariskannya.

Dengan tertubuhnya UMNO, maka impian Inggeris untuk menyerahkan kuasa kepada anak negeri sendiri untuk memerintah telah tercapai. Formalitinya adalah sedikit sebanyak ketegangan dalam rundingan kemerdekaan sebagai untuk menunjuk kepada rakyat bahawa itulah ‘perjuangan’ UMNO.

Hakikat sebenarnya ialah penjajah Inggeris memang ingin benar menyerahkan kuasa kepada UMNO kerana UMNO sanggup mewarisi segala apa yang Inggeris telah lakukan di Tanah Melayu termasuk tidak menjadikan Islam sebagai dasar pemerntahan Negara dan mengekalkan system budaya dan system pemerintahan Negara ini di bawah system secular, Islam hanya dibenarkan diamalkan sebagai ‘ritual’ semata-mata seperti mana Inggeris lakukan sepanjang Inggeris menjajah Tanah Melayu.

Penjajah Inggeris tidak pernah menggangu amalan yang terdapat dalam ajaran Islam, adat istiadat Melayu dan Raja-raja Melayu. Sama juga dengan UMNO, tetapi UMNO ada menganggu system beraja dalam krisis Perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993. Sampai sekarang, UMNO masih lagi mengamalkan warisan Inggeris dalam system pemerintahan, masih lagi system pemerintahan secular, dalam system ekonomi, masih lagi system ekonomi kapitalis dan undang-undang masih lagi terikat dengan undang-undang Inggeris, temasuk Perlembagaan Negara yang masih menjadi rujukan adalah hasil gubahan Lord Reid dan amalan dalam ajaran dan hukum Islam masih lagi bersifat individu bukan negara.

‘Nasib Baik’ UMNO kedua, pada pilihan raya umum tahun 1969, Perikatan ketika itu mengalami kekalahan yang paling teruk selepas kemerdekaan. Dua buah negeri, Pulau Pinang dan Kelantan jatuh ke tangan pembangkang. Pulau Pinang jatuh ke tangan parti Gerakan dan Kelantan jatuh ke tangan parti PAS. Walaupun pada ketika itu, SPR menyatakan bahawa Perikatan telah berjaya mempertahankan semua kerajaan negeri [kecuali P.Pinang dan Kelantan], namun pada hakikatnya Perikatan mengalami kekalahan di Perak dan di Selanggor. Perikatan hanya menang 19 kerusi daripada jumlah 40 kerusi di DUN Perak, manakala PPP, DAP, Gerakan dan PAS memenangi 21 kerusi. Jadi, berdasarkan hukum demokrasi, Perikatan tidak boleh dikira sebagai pemenang, sekiranya PPP, DAP, Gerakan dan PAS bergabung, maka merekalah [yang mempunyai majority 21 kerusi] yang berhak membentuk kerajaan negeri bukan Perikatan. Sekiranya ini berlaku, tidak sulit untuk mencari siapa yang akan dilantik sebagai MB kerana dalam pakatan tersebut mereka mempunyai 3 orang pemimpin Melayu iaitu Shamsudin Harun dari PPP, Ibrahim Singgeh dari DAP dan Mahmod Zainal Abidin dari PAS.

Apa yang berlaku di Selangor lebih menarik lagi di mana Perikatan memenangi kerusi sama banyak dengan kerusi yang dimenangi oleh pembangkang. Perikatan menang 14 kerusi dan parti-parti pembangkang DAP [9], Gerakan [4] dan Bebas [1]. Ini amat menyulitkan perikatan untuk menubuhkan kerajaan negeri yang menyebabkan para penyokong UMNO mengadakan perhimpunan di kediaman rasmi MB di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada petang 13 Mei kerana kedudukan Harun Idris sebagai MB amat tergugat dan pada sebelah malamnya pula berlaku perarakan yang besar oleh pembangkang yang hendak merayakan kemenangan mereka. Perarakan ini mendapat tindak balas dari para penyokong UMNO, maka berlakulah pertembongan yang mencetuskan keadaan kucar-kacir dan haru-hara yang memaksa kerajaan mengistiharkan darurat yang kemudiannya membawa kepada pemerintahan MAGERAN.

Pemerintahan oleh MAGERAN adalah untuk memulihkan keadaan supaya kembali stabil, disamping UMNO melalui Tun Razak Hussein [yang mengambilalih pemerintahan dari Tengku Abdul Rahman Putra sebagai PM ke dua] menyusun semula strategi politiknya dengan menubuhkan gabungan parti-parti politik yang diberi nama Barisan Nasional [BN]. Semua parti politik bergabung di bawah BN termasuk PAS di bawah pimpinan Dato’ Mohd.Asri Hj. Muda [akhirnya mati dalam UMNO] kecuali DAP yang enggan bergabung dengan BN. UMNO masih lagi bernasib baik kerana ia berkuasa membentuk MAGERAN yang menjaga survivalnya. Ini ditunjukkan dalam pilihan raya tahun 1974, semua kawasan yang ditandinginya menang muda tanpa pencabar,BN menang besar. Tahun 1978, PAS ditendang keluar dari BN. UMNO kembali teguh.

‘Nasib Baik’ UMNO ketiga ialah pada pilihan raya umum pada tahun 1990. Tengku Razaleingh Hamzah yang memimpin parti SM46 ketika itu menentang UMNO bersama-sama dengan Rais Yatim dan pemimpim-pemimpin bekas parti SM46 yang kini ramai yang menganggotai karbinet Abdullah Ahmad Badawi. Pada pilihan raya itu, pada mula orang Melayu sangat marah terhadap Mahathir Mohamad kerana menubuhkan UMNO baru [UMNO Mahathir] dan enggan menggunakan kuasa yang ada padanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk menghidupkan kembali UMNO yang diharamkan oleh mahkamah.

UMNO baru berbeza daripada UMNO asal yang benar-benar memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan kedaulatan Raja-raja melayu. UMNO baru yang konsepnya lebih liberal yang lebih merugikan bangsa Melayu dan konsep tidak mesra terhadap Raja-raja. Dasar UMNO baru lebih pro kepada golongan peniaga dan industri berat untuk mencapai status Negara maju dengan cepat. Dasar ini secara tidak langsung meminggirkan industri pertanian yang kebanyakkanya diceburi oleh orang Melayu.

Kempen parti SM46 yang bergabung dengan PAS yang dinamakan sebagai Angkatan Perpaduan Ummah dan dengan DAP serta PBS dikenali sebagai Gagasan Rakyat berjaya menarik ramai orang Melayu menyokong Ku Li. Keghairahan Ku Li berkempen tersilap langkah apabila beliau bersama dengan Joseph Pairin Katingan dikalongkan [memakai] tengkolok bersimbol ‘salib Kristian’.

Gambar ini digunakan sepenuhnya oleh media massa milik UMNO menjelang hari pengundi. Ia disebarkan, dihebahkan dan dipertontonkan ke seluruh Negara melalui akhbar, radio dan TV. Ramai orang Melayu terpengaruh dengan sebaran gambar Ku Li dan menjejas imej Ku Li sebagai pemimpin Melayu yang sanggup memakai tengkolok berlambang salib Kristian dan mengadaikan prinsip Melayu-Islamnya demi mengejar kedudukan dan kuasa. Serangan balas dari pihak ku Li menyebarkan gambar Mahathir juga dikatakan mengandungi lambing salib Kristian sedang menari bersama-sama dengan Pairin Katingan tidak berkesan kerana tidak mempunyai media seperimana yang UMNO miliki. Sokongan orang Melayu kembali kepada UMNO. Sekali lagi UMNO bernasib baik, kembali menubuhkan kerajaan terus memerintah Malaysia.

‘Nasib Baik’ UMNO keempat ialah ketika pilihan raya umum ke 10 pada tahun 1999. Ketika itu seluruh orang Melayu sangat marah terhadap cara UMNO menguruskan kes Anwar Ibrahim. Krisis Anwar-Mahathir membawa satu arus perubahan yang dashat terhadap landskap politik orang Melayu. Mereka bangun beramai-ramai membantah tindakan pemecatan Anwar dari kerajaan dan UMNO seterusnya Anwar dihumban ke dalam penjara Kajang.

Kezaliman UMNO terhadap Anwar membentuk satu kefahaman politik yang tidak pernah berlaku sebelum itu, di mana PAS, Keadilan, DAP dan PRM membentuk satu gabungan diberi nama Barisan Alternatif. Hasilnya, UMNO terpukul teruk, majority pengundi Melayu menolak UMNO. BA[gabungan parti-parti pembangkang] mencatat sejarah apabila mereka menang besar dalam pilihan raya tersebut. Inilah merupakan pilihan raya yang terbaik prestasinya bagi parti-parti pembangkang yang hampir-hampir dapat menumbangkan UMNO/BN dan pilihan raya ini merupakan yang terburuk buat UMNO.

Walau pun begitu, nasib baik UMNO masih terus menyebelahinya sungguh pun pengundi-pengundi Melayu menolaknya, tetapi bagi di Semenanjung khususnya di Lembah Kelang, Selangor, Perak, Kedah dan Pahang 90% pengundi-pengundi Cina dan India berpihak dan mengundi UMNO/BN dan UMNO kembali berkuasa semula. Jadi, politik perkauman akan berterusan selama-lamanya selagi UMNO memerintah kerana ianya membawa kepentingan politik yang besar dengan dasarnya “pecah dan perintah” untuk terus berkuasa.

Kesimpulannya, UMNO bukan merupakan sebuah parti yang kuat, gagah dan perkasa. Ia hanya sekadar “Nasibnya Baik”. Oleh kerana itu, apabila ia hendak kembalikan sokongan orang Melayu kepadanya seperti yang ditunjukan dalam pilhan raya ke 11 pada tahun 2004 lalu, maka UMNO terpaksa menggunakan apa sahaja institusi yang wujud dalam Negara ini tanpa mengambil kira halal atau haram serta mengawal media untuk mengawal fikiran, tingkah laku dan saikologi orang Melayu supaya kembali menyokong UMNO sepertimana yang UMNO lakukan terhadap pilihan raya kampus baru-baru ini. Kesannya, pilihan raya umum ke 11 itu merupakan pilihan raya paling kotor dan terburuk dalam sejarah pilihan di Malaysia yang mana pelbagai penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penipuan, pembohongan dan rasuah bermaharajalela serta hilangnya kredibiliti SPR dalam mengendalian pilihan raya tersebut. Sekali lagi UMNO akan diuji tentang nasib baiknya itu dalam pilhan raya kecil di DUN Permatang Pasir, Kelantan pada 6 Disember ini.

Sekian. SELAMAT BERJUANG MENUMPASKAN UMNO DI PERMATANG PASIR. Allahuakbar!
Terima kasih.Wassalam.

Cyberluncai: UNDILAH PAS UNTUK KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN GENERASI AKAN DATANG.....

No comments: