Sunday, November 11, 2007

SYABAS!!!!: BERSIH BERI AMARAN KEPADA KERAJAAN PAK LAH

Tahniah dan Syabas!!!

10 November 2007

BERSIH (Gabungan Pilihanraya Bersih & Adil) telah berjaya mengumpul kurang lebih 100,000 lautan manusia yang disekat oleh 'barua-barua' kerajaan yang juga sebenarnya 'berminat' menyertai rally atau himpunan yang mahukan pilihanraya yang lebih bersih dan terjamin 'kesucian'nya, tanpa di'cabuli' oleh tangan-tangan durjana yang penuh dnegan putar-belit!



Kerajaan Pak Lah jadi terkedu, dan hanya mampu berkata: "Jangan cabar saya"???!!

Nah, anda telah dicabar...dan tuntutan telah dikemukan berulang kali...sekarang sudah berada ditangan DYMM Agung. Maka, inilah cabaran BERSIH:

1. Penggunaan Dakwat Kekal
2. Pembersihan Daftar Pemilih
3. Pemansuhan Undi Pos
4. Akses Media

Nah! Inilah 4 cabaran kepada kerajaan Pak Lah. Pak Lah berani????!!!



Cyberluncai: Jangan cakap aje rasa tercabar, tapi takut nak buat...cuba mencabar biar rasa tercabar bila dicabar oleh orang yang tak mencabar langsung....nanti tak de kerja lain 'asyik nangis aje'....

Wednesday, May 02, 2007

SINDROM ANAK MUDA: "CAKAP TAK SERUPA BIKIN"

Pelbagai reaksi di dalam laman web yang membuka forum didengari dari isu sekecil-kecilnya hinggalah ketahap menukar Presiden parti. PAS, tidak sedikit pun menghalang atau mencegah mereka ini daripada memberi pandangan atau idea yang bernas tentang strategi dan halatuju perjuangan, baik yang ahli mahupun bukan ahli.

Bagi ahli, mereka kebanyakannya lebih berlapik atau tahu adab dalam mengkritik jemaah, kerana mereka ditarbiyyah untuk menyalurkan pandangan atau kritikan mengikut tatacara yang digariskan oleh parti. Syabas! buat ahli yang mampu lagi menjaga adab berjemaah dan yang pasti mereka ini terus mempertahankan segala apa 'tohmahan' dan celaan terhadap jemaah, jika berlaku. Harus diingat, mereka bukannya taksub, atau dilabelkan 'pengikut membabi-buta', akan tetapi mereka lebih tahu saluran yang betul dalam menyampaikan pandangan atau kritikan kepada jemaah.

Untuk yang bukan ahli pula, yang mana majoriti terdiri kalangan anak muda yang intelek?, telah juga memberi pandangan-pandangan atau kritikan pedas terhadap jemaah. Itu hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang 'bebas bersuara'. Kita mengalu-alukan segalanya, akan tetapi biarlah ianya tidak melanggari batas-batas keceluparan dan adab Islam itu sendiri. Umum mengetahui, kekalahan kita (PAS) bukan sekadar 1 atau 2 kerusi malah kita pernah 'hilang' kerajaan negeri! Kita amat juga mengalu-alukan sebarang nasihat (jika ada) dan kita sekali-kali tidak mensia-siakan nasihat mereka ini. Namun, satu perkara perlu dilihat adalah, setiap keputusan yang berbentuk strategi MESTI dibincang diperingkat Jemaah Pimpinan Parti, agar:

1. Apakah apa yang dibuat melanggari Syariat Islam atau sebaliknya.

2. Jika ia berat, sejauh manakah ia tidak melanggari maslahat ummat.

3. Seboleh mungkin ia tidak melibatkan titisan darah, jika pelu. Akan tetapi, bukan bermakna kita takut untuk 'mati'. Tidak perlulah disebut sejarah 'syahid'nya ahli PAS dalam hal ini, kerana semua sudah maklum.

Adapun percanggahan sedikit sebanyak yang berbentuk pendapat peribadi adalah biasa didalam PAS. Dan keputusan akhir masih bergantung kepada semangat musyawarah dalam Jemaah.

Kita masih lagi dalam menawan orang bukan ahli, bukan sahaja mampu memberi pendapat akan tetapi turut sama menyokong dan turun padang membantu kita dalm apa jua bentuk program atau aktiviti semasa. Seruan demi seruan dibuat, akan tetapi kehadiran mereka di 'dunia realiti' masih kurang. Kalaulah mereka yang tadi, yang giat mengkritik PAS di 'alam cyber' turun sama menyemarakkan apa jua aktiviti semasa PAS, sudah parti kerajaan sekarang juga agak gerun dengan kita.

Kita berasa sedih bukan kerana kekalahan di dalam pilihanraya. Akan tetapi, kita berasa sedih bila ramainya pengkritik-pengkritik 'bebas' bercambah bila kekalahan berlaku. Kita pun kurang pasti sejauh mana penglibatan pengkritik ini terhadap gerak-kerja pilihanraya, namun dari pandangan dan hujah mereka terkadang kita sudah nampak bahawa mereka ini sebenarnya adalh seorang yang suka berteori tapi tidak pernah bersama 'meraikan' pilihanraya tersebut. Kita yang setengahnya, pernah dipenjara, pernah dipukul dengan cota, pernah luka sana sini, disimbah asid 'air longkang' dan paling kurang hilang suara kerana menyokong parti Islam. Pun begitu masih tetap bersama berjuang dan terus lagi turun padang. Dan sebaliknya berlaku kepada pengkritik ini, jangan kan luka, serak suara atau melecet kulit pun belum pernah, habis-habis 'tekan keyboard' dan tidur. Lepas tu tunggu keputusan pilihanraya.

Ini adalah satu sindrom yang amat tidak sihat kepada proses memulihkan demokrasi negara! Kita bukan sahaja perlukan pandangan, akan tetapi kita juga perlukan sumbangan tenaga dari mereka semua!

Kita sebenarnya sudah bosan dengan pelbagai alasan spt. 'mata pena lebih tajam dari mata pedang' atau 'berkarya juga bekerja untuk Islam'.

Sesungguhnya demokrasi memerlukan benar-benar 'kuasa rakyat' (demo-rakyat, krasi-kuasa)!! Oleh itu, semua pengkritik diseru turun padang bagi meramaikan 'suara rakyat' dan kita bukan hanya mahu semata-mata suara, akan tapi 'batang tubuh' anda semua!!

Siapa berani??? Kalau masih takut, atau masih mahu berselindung dibalik komputer atau keyboard, dan tidur nyenyak. Maka tidak mustahil BN akan memerintah Malaysia sampai kiamat!

Thursday, March 29, 2007

BLOGGER UNTUNGKAN PAKLAH???

Umum mengetahui, polar persekitaran politik Malaysia yang dahulunya agak statik telah mula ’berkecamuk’ bilamana Timbalan Perdana Menteri telah dipecat pada tahun 1998. Maka, ramailah anak-anak muda yang sedang bergelora semangatnya turut sama ber’putih –tulang’ mempertahankan Dato’ Seri Anwar (DSAI) bahwa pemecatan beliau adalah hasil daripada satu ciptaan konspirasi yang amat terancang.



Kita masih lagi terngiang-ngiang laungan dan ledakan suara ”Reformasi!" terdengar hampir keseluruh kawasan di Kuala Lumpur, terutama di Dataran Merdeka dan juga di Jalan TAR (Tunku Abd Rahman). Parut dari pukulan FRU di badan menambahkan lagi gema nostalgia amarah rakyat marhaen dizaman reformasi tersebut. Akan tetapi, setelah hampir 10 tahun, suara atau nyaringan tadi sudah mula hampir pupus, kalau ada pun tidak sekuat 10 tahun yang lepas. Kini, keadaanya sudah kembali seperti era sebelum Reformasi yang nampaknya mungkin kembali ’statik’. Mengapa? Dan kemana mereka?

Anak-anak muda yang dahulunya berada dipangku rakyat, turun bangkit menyemarakkan gagasan reformasi, kini lebih tertumpu kepada ’dunia cyber’. Mereka yang agak aktif lebih senang menyampaikan amarah mereka melalui laman-laman blog peribadi.

Malangnya, media arus perdana telah di’gengam’ kuat oleh Kerajaan Pak Lah, tidak kira media elektronik mahupun akhbar harian, dicanangkan pelbagai berita yang boleh memusingkan minda rakyat agar tertumpu kepada perkara yang lebih non-politikal. Lebih kepada hiburan, berita-berita aneh dan erotik, tangkap basah dan berita mahkamah, beserta sekali sekala ’menembak’ kerajaan pembangkang. Ada media kerajaan yang menonjol diri sebagai kununya bersifat neutral dengan memaparkan kesilapan-kesilapan kerajaan tempatan dan dibincang secara eksklusif. Lalu rakyat marhaen mula terasa bahawa maslah setempat mereka ’dibela’, walaupun penyelesaiannya lebih sudu dari kuah.

Bila kita teliti dan perhati polar ’penghijrahan’ bacaan media rakyat marhain ini, maka tidak hairanlah media pembangkang mula kurang mendapat minat. Anak-anak muda yang celik IT pula lebih berinformasi dan lebih terkini melalui bacaan internet seperti beberapa akhbar harian online, terutama media pembangkang. Akan tetapi, mengapa rakyat marhaen seolah seperti tengah ’lali’ dan mengikut sahaja apa yang dibuat oleh kerajaan Paklah, walaupun tidak nampak jelas apa yang Paklah buat pun, melainkan menguatkan cengkaman politik peribadi dan mencekam rakyat jelata dengan pelbagai kenaikan tol dan barang keperluan harian termasuklah kenaikan harga petrol yang tertinggi dalam sejarah kerajaan Malaysia! Sesungguhnya tiada apa yang Pak Lah lakukan untuk rakyat semua dan tiada keuntungan yang jelas. Yang mengangur terus menganggur, yang rasuah terus berasuah, yang meroboh terus meroboh dan memukul terus memukul!

Anak muda mula seronok dengan kemajuan dunia IT. Sekali sekala, mereka luahkan didalam laman blog mereka, akan tetapi persoalannya apakah rakyat marhaen dapat melalui informasi online mereka? Maka, difikirkan bahawa sekarang adalah masanya anak-anak muda reformasi ini bergiat aktif kembali bersama rakyat marhaen bagi menyampaikan maklumat dan informasi terkini kepada rakyat bawahan semua. Ini mesti dilakukan sekarang, sebelum semuanya sudah terlambat dan ‘lauk’ menjadi sangat sejuk. Lalu, pembangkang akan berada di dalam keadaan sangat berbahya! Dan terpaksa menunggu ledakan ke-dua yang kita sendiri pun tidak tahu bila, entah ada atau tidak!

Suasana ‘sejuk’ ini, bukan salah sesiapa. Bukan salah Presiden Pas, ataupun penasihat PKR apatah lagi pemimpin DAP. Ini salah kita semua!

Suara-suara Presiden atau pimpinan Pas dan PKR sudah dijangkakan akan di’gam’ dan dihapus dari media Pak Lah, kalau ada pun diputar belit. Ini semua orang tahu!

Tetapi, ke’lali’an kita bersama laman blog telah sedikit sebanyak mengurangkan masa bersama rakyat marhaen untuk berkongsi informasi terkini. Fenomena Anwar sebenarnya masih lagi relevan! Itu luahan rasa rakyat marhean. Rakyat lebih gemar kalau isu-isu semasa ini disebarkan dalam bentuk cakera padat atau bahan cetak kepada mereka yang dikenali rapat sebagai menyukai bahan berita pembangkang ini.

Kepada yang masih ‘mencari’ atau ‘di atas pagar’, maka pendedahan boleh dijayakan dengan menjinakkan mereka dengan apa yang diminati mereka. Kalaulah agama, maka tonjolkan laman-laman atau pautan agama, akan tetapi sekali sekali masukan pautan semasa media pembangkang. Paling tidak pun, membantu biarlah minda mereka itu lebih kritis, dari menerima berita bulat-bulat.

Dan untuk yang kuat menentang, isian kebajikan, tidak kira dalam apa jua bentuk pertolongan mesti digembeleng untuk membantu mereka yang sebenarnya menjadi ‘mangsa’ kerajaan umno dan pemimpin mereka. Mereka yang menyokong kuat, walaupun hanya dapat habuan sebanyak RM 300- RM 3,000 semusim pilihanraya, akan tetapi sebenarnya terus hidup dalam kemiskinnan mesti dibantu dan didekati walau apa jua cara. Tenaga anak muda kita amat diperlukan. Dan Pas beserta PKR telah buktikannya di Johor baru-baru ini. Syabas!

Ini mesti diteruskan, dan kita mahu penglibatan anak-anak muda ini untuk bergerak secara langsung dengan masyarakat. Bukan bermakna kita tidak boleh berkarya di alam cyber, akan tetapi biarlah kita lebihkan kegiatan kerja kita kepada dunia nyata!

Sebab itu, mungkin Pak Lah tidak heran sangat dengan laman blog. Tindakan saman hanyalah untuk mengertak sahaja, padahal dia sendiri tahu bahawa kewujudan laman blog sebenarnya sedikit sebanyak melalaikan kerja anak-anak muda untuk mendekati rakyat!

Tuesday, March 20, 2007

Biarkan Idris (JE) Gila Dengan Rekod-Rekodnya!

Marhaen

ANDAIKATA ada satu anugerah untuk mengiktiraf mana-mana negeri yang mencipta paling banyak rekod, maka besar kemungkinan anugerah itu akan dimenangi oleh Terengganu Darul Iman.

Pada 29 Julai 2006, Terengganu menganjurkan acara gotong-royong yang dinamakan Program Jom Bersih Terengganu Kita. Ia didakwa disertai 240,830 orang di seluruh negeri dan berjaya dicatatkan sebagai program gotong-royong terbesar dalam Malaysia Book of Records (MBoR). Orang yang paling puas dengan kejayaan itu tentulah Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.


Pada awalnya para pemimpin Barisan Nasional Terengganu berkata program itu dianjurkan bukan bertujuan mencari nama atau pengiktirafan. Ia kononnya hanya didorong hasrat mendidik masyarakat agar lebih prihatin terhadap kebersihan negeri.


Anehnya, di masa sama mereka juga menyeru agar rakyat seluruh negeri menyertai program itu di tempat masing-masing untuk ‘mencipta rekod’.




Tujuan mencipta nama itu makin terserlah apabila tidak sampai 10 hari selepas itu, MBoR sekali lagi muncul di Terengganu. Pada 17 Ogos lalu, Idris bersama 50 penyelam diiktiraf MBoR sebagai kumpulan pertama mewarna Jalur Gemilang di dasar laut. Program melukis dan mewarnakan Jalur Gemilang di atas kanvas sepanjang lima meter di perairan Pulau Kapas itu bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-49. Ia dinamakan Merdeka Dive 2006: Warna-Warni Jalur Gemilang di Dasar Laut. Program dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama sebuah persatuan alam sekitar.


Tidak dinyatakan berapakah jumlah perbelanjaan dikeluarkan kerajaan untuk program yang semata-mata bertujuan mencari kemasyhuran itu. BN memang pandai berdalih untuk mengelak daripada dipersoalkan tentang perbelanjaan kerajaan. Kalau untuk program gotong-royong dikatakan dibiayai masing-masing oleh pihak setempat, maka program di dasar laut itu pula dikatakan mendapat pembiayaan pihak swasta. Sejauh manakah kebenaran dakwaan itu?


Alasan sama pernah digunakan BN Terengganu apabila diasak beberapa pihak mengenai perbelanjaan menjayakan Piala Monsun pada penghujung 2005 lalu. Pertandingan kapal layar bertaraf antarabangsa di perairan Pulau Duyong, Kuala Terengganu itu tidak mendapat sambutan rakyat Terengganu sendiri, walau pun diiktiraf sebagai yang pertama pada kelasnya diadakan di negara ini.


Soalnya, berbaloikah ratusan juta wang rakyat dihabiskan semata-mata untuk memasyhurkan negeri di mata dunia? Akhbar melaporkan RM60 juta dibelanjakan untuk projek pembangunan di pulau itu sebagai persiapan Piala Monsun 2005.


Bagaimana pun, satu maklumat lain yang rapat dengan perbendaharaan negeri mendakwa peruntukan sebenar pembangunan pulau itu melebihi RM200 juta. Setelah mengenali tabiat boros BN dalam membelanjakan wang rakyat, jumlah yang didakwa itu bukan suatu yang mengejutkan.


Pembinaan Taman Tamadun di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu yang menelan belanja ratusan juta juga mencipta rekod tersendiri. Taman itu turut menempatkan Masjid Kristal, iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini. Bagi rakyat Terengganu, tiada tujuan lain pembinaan masjid di pulau tanpa penduduk itu melainkan semata-mata untuk tujuan pelancongan dan kemegahan.


Dari perspektif berbeza, Terengganu turut dikenali menerusi beberapa kes sosialnya. Antaranya, kes sekumpulan ibu tunggal yang mengemis di tangga sebuah tokong di Kampung Cina, Kuala Terengganu pada Januari lalu. Mereka mengakui sanggup datang dari Dungun sehari sebelum Tahun Baru Cina semata-mata mahu mendapatkan ang pau dari para pengunjung tokong itu.


Rasanya belum pernah berlaku kes yang memalukan umat Islam dan orang Melayu seteruk itu di mana-mana pun dalam negara ini. Beberapa pihak yang sangat marah dengan kejadian itu malah menggelarkan Terengganu sebagai negeri ‘Melayu paling bangsat dalam dunia’. Rekod lah juga tu!


Kisah tiga exco kerajaan ‘ditipu’ juga boleh dianggap rekod, sekurang-kurangnya kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Itulah yang dialami tiga exco dalam kes berasingan. Kes pertama membabitkan Exco Kebajikan ditipu lebih 2,500 suri rumah dan wanita belum berkahwin, yang mengaku sebagai ‘ibu tunggal’ semata-mata bagi melayakkan mereka menerima bantuan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP).


Seorang lagi exco mengaku tertipu oleh sebilangan penerima bantuan perkakasan nelayan, apabila mendapati mereka sebenarnya bukan nelayan. Exco yang seorang lagi pula ditipu seorang wanita, gara-gara bermain saham.


Sesuatu yang belum pernah terjadi juga menjadi rekod apabila ia pertama kali berlaku. Antaranya ialah kes kecurian bunga besi pagar istana di Kuala Terengganu. Kerajaan BN juga mencatat rekod sebagai kerajaan paling berani membawa maksiat ke bumi Tok Sheikh Duyong, seorang ulama tersohor di rantau ini, atas alasan meraikan pelayar dan pelancong asing.


Dengan beberapa rekod yang dicatatkan itu, kelayakan menobatkan Terengganu sebagai negeri paling banyak mencipta rekod tidak wajar dipertikaikan lagi. Namun, segala kemasyhuran yang tercipta itu belum cukup memuaskan hati para pemimpin BN, terutama Idris. Dia mahu Terengganu dikenali dengan sesuatu yang luar biasa.


Atas hasrat itu, maka timbul idea membina tandas ‘wangi’ bertaraf lima bintang dengan nilai antara RM100,000 hingga RM150,000 sebuah. Turut dicita-citakan ialah sebuah Galeri Dasar Laut di perairan Pulau Bidong untuk menempatkan berbagai replika bahan kesenian Terengganu.


Sekali lagi, segala rekod itu belum mampu membuat Idris puas. Akhirnya dia memilih untuk menjadi Menteri Besar pertama yang menjual gula kepada rakyatnya. Selepas ini pun Idris akan terus mencipta rekod lagi.


Biarkanlah Idris tenggelam dengan rekod-rekodnya. Biarkan! Biarkan!

Monday, March 05, 2007

Reformasi pilihan raya: Tiga tuntutan Bersih yang amat munasabah!

Abu Urwah

Perjuangan PAS, KeADILan dan parti-parti pembangkang beserta beberapa NGO progresif diteruskan demi memartabatkan suara rakyat melalui sistem dan proses demokrasi di negara ini.

Kepincangan amalan demokrasi yang menafikan hak dan suara rakyat sebenar, kini ditangani secara objektif dan konstruktif melalui penubuhan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil dengan singkatan BERSIH.

Pada masa yang sama kerja-kerja pemantauan pilihanraya akan diteruskan melalui gabungan beberapa NGO di bawah MAFREL (Malaysians for Free and Fair Elections).

BERSIH adalah gabungan lima buah parti politik yang terdiri daripada PAS, PKR, DAP, PSM dan SNAP serta 26 NGO termasuk MTUC, Aliran, WAMI, LRC, KOMAS, SOS Penang, HAKAM, JERIT, SUARAM, AWAM, PUM, IKD serta gerakan mahasiswa dari DEMA, GAMIS dan Solidariti Mahasiswa Malaysia atau SMM.




Tiga tuntutan utama dengan gesaan agar SPR melaksanakannya secepat mungkin adalah:

1.Pembersihan Daftar Pemilih

Tuntutan pertama BERSIH adalah agar daftar pemilih dibersihkan daripada sebarang bentuk manipulasi, pembohongan dan keraguan. Daftar pemilih yang bersih adalah syarat pertama bagi pilihanraya yang dianggap oleh rakyat sebagai adil, bersih dan berwibawa.

Pelbagai bukti telah berjaya dikumpulkan bagi menunjukkan bahawa penipuan pilihanraya yang paling menonjol dilakukan adalah melalui daftar pemilih. Dalam Pilihan Raya 2004, beribu-ribu pengundi di Gombak Setia mendapati nama mereka tiada dalam daftar pengundi di tempat-tempat yang sepatutnya mereka mengundi. Kekecohan telah berlaku hinggakan proses pengundian dipanjangkan tanpa gazet oleh SPR selama dua jam!

Daftar pemilih yang mengandungi puluhan dan bahkan ratusan pemilih di satu-satu alamat tempat tinggal telah dibuktikan. Alamat tempat tinggal yang kemudian didapati sebagai pondok jaga di Kampong Kerinchi juga telah dibuktikan. Selain itu berpuluh-puluh pemilih yang dialamatkan di sebuah tingkat atas pejabat juga amat bercanggah dengan definisi alamat tinggal yang ditetapkan sendiri oleh SPR. Pejabat bukan tempat tinggal!

Tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh SPR.

Cerita pengundi hantu bukan lagi merupakan satu cerita baru dalam pilihanraya umum di negara ini. Pengundi-pengundi yang sudah meninggal dunia yang tidak dikeluarkan nama mereka daripada daftar pemilih yang mana pada hari pengundian nama-nama tersebut digunakan oleh pengundi-pengundi tertentu juga bukan suatu cerita dongeng lagi!

Di Batu Caves, bukan hanya ada pengundi hantu, bahkan telah wujud satu lokaliti hantu! Pengundi-pengundi di lokaliti tersebut keluar mengundi di tempat-tempat mengundi di Gombak Setia bagi mengalahkan calon PAS di DUN tersebut!

Pengerusi SPR sendiri telah mengaku bahawa terdapat lebih 500,000 dari 10 juta pemilih yang berdaftar telah pun meninggal dunia tetapi nama mereka masih ada dalam daftar pemilih. Dengan pengakuan sebegini pun, SPR tidak berupaya melakukan sesuatu untuk membersihkan daftar pemilih!

Daftar pemilih dengan tarikh yang berbeza-beza dan selain daripada apa yang diserahkan kepada parti-parti alternatif pada hari penamaan calon juga telah menimbulkan keraguan terhadap bersihnya daftar pemilih.

2.Pemansuhan Undi Pos

Undi pos mencalar-balarkan kewibawaan amalan demokrasi dan pilihanraya di negara ini. Berulang-ulang telah terbukti bahwa undi pos diwujudkan semata-mata bagi tujuan memenangkan calon-calon Umno-BN!

Ramai tokoh dan pemimpin Umno-BN sudah lama kecundang jika tidak kerana adanya undi pos. Contohnya; kemenangan genting Najib Tun Razak di Pekan dalam Pilihanraya 1999 hanyalah disebabkan oleh undi pos. Persempadanan semula kem tentera di Kuantan yang membolehkan bertambahnya undi pos di parlimen Pekan juga telah menyelamatkan 'maruah' Najib pada Pilihanraya 2004.

Demikian juga kehendak rakyat dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir telah dinafikan semata-mata kerana wujudnya undi pos. Lebih ganjil bilangan undi pos di Pengkalan Pasir melebihi bilangan pengundi pos dalam daftar pemilih sebenar!

Di Tambun, Perak sahaja terdapat lebih 7,000 undi pos yang menjadikan pertandingan di kawasan parlimen itu hanya sebagai satu latihan akademik demokrasi!

Di parlimen Kuala Langat, Selangor terdapat pertambahan kawasan perumahan TUDM sedangkan menara kawalan di Bukit Jugra diseliakan sepenuhnya oleh TLDM!

Penempatan kem-kem tentera dan balai serta kuarters polis yang besar di kawasan-kawasan tertentu amat dicurigai motifnya kerana keselamatan ataupun semata-mata kerana mahu mengagih-agihkan undi pos kepada calon-calon Umno-BN!

Undi pos hendaklah dihapuskan kecuali untuk para diplomat dan pengundi di luar negara. Sistem undi pos yang keseluruhannya melibatkan tentera dan polis beserta ahli-ahli keluarga mereka ternyata hanya bertujuan untuk memberikan keuntungan kepada Umno-BN.

Amalan anggota-anggota tentera dan polis yang mengundi di bawah pengawasan pegawai-pegawai atasan mereka adalah bertentangan dengan hak kebebasan individu dan amalan demokrasi tulen.

Pada masa yang sama amalan persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR juga sentiasa berjalan seiring dengan pertaburan kem-kem tentera dan balai serta kuarters polis bagi memberi kelebihan kepada calon-calon Umno-BN. Amalan buruk ini mesti dihapuskan agar kewibawaan dasar keselamatan negara tidak dipersendakan oleh rakyat!

3.Penggunaan Dakwat Kekal

Antara kaedah terbaik bagi menghalang pengundian berganda adalah dengan para pengundi mencelupkan hujung jari mereka ke dalam dakwat kekal bagi membuktikan mereka telah mengundi.

Dakwat ini tidak dapat dipadamkan sepanjang proses pemilihan berjalan. Dengan itu, individu yang sah dalam daftar pengundi yang belum lagi bertanda jarinya dengan dakwat kekal sahaja yang layak mengundi di sesuatu atau mana-mana tempat mengundi.

Kaedah ini digunakan di negara demokrasi terbesar di dunia, iaitu India. India mempunyai bilangan pengundi berdaftar mencecah 700 juta!

Bilangan ini adalah dua kali lebih besar berbanding bilangan pengundi terbesar yang terdekat, iaitu pengundi dalam pilihanraya Parlimen Eropah!!

Kaedah penggunaan dakwat kekal ini juga digunakan dalam sistem demokrasi terbesar di dunia Islam, iaitu Indonesia. Jumlah pengundi dalam pilihanraya umum Indonesia adalah melebihi 100 juta.

SPR mengatakan bahawa penggunaan dakwat kekal sebagai kuno! Apakah amalan demokrasi di India yang melibatkan lebih 1,000,000 mesin elektronik berteknologi canggih bagi penjumlahan undi boleh dikatakan kuno?

Bolehkah amalan demokrasi yang melibatkan 100 juta pengundi dalam demokrasi dunia Islam terbesar dikatakan kuno?

Apakah sebuah sistem demokrasi yang mampu menguruskan pilihanraya melibatkan satu arkipelago yang terdiri daripada 17,500 buah pulau merangkumi satu kawasan seluas 730,000 batu persegi seperti di Indonesia dianggap satu yang kuno?

Mungkin yang lebih kuno lagi adalah arahan pemimpin tertinggi Umno-BN untuk mencetak kad pengenalan bagi diserahkan kepada warga asing untuk mengundi memenangkan Umno-BN!

Salah satu projek membuat dan menyerahkan kad pengenalan secara besar-besaran telah dibuat di atas arahan Dr. Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Projek ini dinamakan Projek M atau Projek Mahathir!

Di Sabah sahaja terdapat lebih 322,900 orang warga asing telah mendapat kad pengenalan Malaysia melalui pintu belakang. Jumlah tersebut telah bertambah melebihi 600,000 orang yang kini menjadi penentu demografi dan pilihanraya di Sabah.

Dipercayai satu bilangan yang amat besar dalam pemberian kad pengenalan kepada warga-warga Rohingya, Banglasdesh dan Selatan Thailand juga berlaku bagi memberi kelebihan kepada Umno-BN di Semenanjung.

Bukankah lebih kuno lagi apabila operasi yang dilakukan di bawah arahan PM ini kemudiannya yang mempersalahkan adalah pihak bawahan?

Amat kuno sekali apabila orang-orang yang dipersalahkan itu ditahan bertahun-tahun di bawah ISA!

Sesungguhnya amatlah kuno menahan orang tanpa ianya diberikan peluang untuk dibicarakan di mahkamah terbuka. Inilah yang dipertahankan oleh SPR!

Saturday, February 17, 2007

Beranikah PM buat kejutan?

Dr Dzulkifli Ahmad

Sudah seminggu pemilik media secara agresif menghiasi muka depan akhbar arus perdana dengan berita-berita prestasi ekonomi yang cukup luar biasa. Tidak sukar untuk membaca usaha 'spin doctors' media 'memutarkan' kesemua ini secara intensif bagi menarik kembali sokongan kepada kerajaan khasnya kepada PM, Abdullah Ahmad Badawi.

Menyonsong lebih daripada itu tentunya akan memaksa penganalisis atau 'pundit' politik dengan ramalan kebarangkalian berlaku 'snap election' atau pilihan raya mengejut. Bila? Ada yang meramal seawalnya bulan Julai atau Ogos berbanding ramalan hujung tahun ini. Sejauh mana kredibiliti ramalan ini? Tidak mustahil dilakukan Abdullah, akan tetapi sanggupkah beliau mengambil risiko besar ini? Andainya benar telahan ini, maka penulisan ini dimajukan untuk renungan semua dan Abdullah tidak terkecuali.



Parlimen ke-11 ini berakhir pada awal 2009 dan PM layak 'bertakhta' di Putrajaya sehingga itu. Namun mungkin perkembangan politik nasional tidak lagi memberikan keselesaan buat dirinya dan Umno/BN yang diterajuinya. Benar beliau menang besar dalam pilihan raya umum ke-11 pada 2004, tetapi segala 'euphoria' itu telah ditelan dek pelbagai angkara dan kebejatan politik partinya dan tidak kurang juga persepsi terhadap anak-pinaknya.

Kini dirinya terhimpit dan diasak oleh pelbagai tekanan, sama ada yang terbit daripada keluh-kesah rakyat yang sengsara akibat ketidak-peduliaan polisi-polisinya ataupun hasil penerusan amalan rasuah dalam pemerintahanya. Saban minggu media alternatif mendedahkan pelbagai kebobrokan rasuah. Karam Singh Walia pula memfokas tentang kebejatan alam sekitar hasil kepincangan dan kerakusan mengejar pembangunan.

Terkini hidup kembali tentang bayaran RM380 juta dalam pembelian 18 jet pejuang Sukhoi berharga RM3.2 bilion yang dibeli Kementerian Pertahanan. Terdahulu ketua pembangkang telah mempertikaikan pembayaran komisyen RM370 juta kepada 'orang tengah' dalam pembelian dua kapal selam 'Scorpene' berharga RM4.1 bilion dari Armaris, sebuah syarikat usaha sama Perancis-Sepanyol.

Turut memalukan beliau pembelian sebuah jet mewah berharga RM200 juta untuk kegunaan beliau dan pembesar negara sementara umum tahu kerajaan sudah memiliki empat pesawat eksekutif. Paling mengaibkan serangan oleh tokoh yang menobatkannya sebagai Perdana Menteri!

Ini 'backdrop' atau senario latar yang menjadikan 'spin doctors' Umno/BN panik untuk melakukan segala-galanya bagi mengembalikan kemerosotan kepercayaan ini.
Paling berani kenyataan akhbar NST yang mamaparkan jumlah pelaburan 2006 yang diterima sebanyak RM46 bilion sebagai 'vote of confidence' kepada kerajaan (Rabu, 14 Feb, 2007). Dipaparkan bahawa pelaburan asing sebanyak RM20.2 bilion dan pelaburan tempatan sebanyak RM25.8 bilion. Persoalan yang umum tidak ketahui adalah bagaimana dengan prestasi jiran dan berapakah yang mereka dapat tarik? Kita masih ketinggalan hatta berbanding Vietnam dan Indonesia dan tentunya India atau Korea Selatan.

Keduanya apakah jenis pelaburan asing yang benar-benar membawa pulangan ekonomi yang baik bagi sesebuah negara? Tidak semua FDI baik kata pakar ekonomi dunia (The detrimental effects of unbridled FDI, The Edge 15 Jan, 2007).

Persoalan yang lebih penting bagi rakyat dan negara ialah apakah kerajaan ini telah meletakkan 'daya saing' atau 'competitiveness' negara di kedudukan yang baik termasuk 'kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business). Untuk pengetahuan umum, mengikut laporan 'ease of doing business index' yang terbitkan oleh Asian Development Outlook, 2006, Malaysia duduk di tangga ke-21, di belakang Thailand di tangga ke-20 dan Singapura di tangga ke-2.
Umum perlu tahu bahawa dari segi prestasi kemasukan pelaburan langsung asing (FDI), Malaysia semakin menjunam ke tempat 62 mengikut Laporan United Nation Conference on Trade and Development (Unctad). Pada tahun 1994 Malaysia di tempat ke-4 dan pada 1995 di tempat ke-5. Terima kasih kerajaan Umno/BN sekarang ini!

Takut-takut pengampu PM memberikan gambaran salah tentang kedudukan sebenar ekonomi negara, sama semacam mana elit neo-konservatif menasihatkan Presiden George W Bush supaya berperang di Iraq dahulu.

Rakyat di negara ini sukar untuk bersorak dan memberi kata puji kepada PM walaupun prestasi ekonomi digambarkan media perdana sebagai 'cemerlang'. Antaranya jumlah dagangan mencecah RM1 trilion, nilai ringgit kukuh berbanding dolar Amerika, KLCI melepasi paras 1,200 terbaik dalam 10 tahun dan nilai rizab antarabangsa juga turut meningkat.

Rakyat kini lebih celik ekonomi kerana kerajaan BN telah mendera rakyat dengan alasan tekanan ekonomi global. Kini rakyat faham. Bukankah kerajaan BN telah menaikkan harga petrol dan diesel kerana harga minyak mentah mencecah AS$ 80 setong. Kini harga minyah mentah telah turun ke paras lebih rendah dari AS$60 sestong, yakni penurunan 25 peratus.
Persoalan yang rakyat mahu jawapan segera ialah 'bila akan diturun harga minyak dan diesel yang telah naik lebih dari 20 peratus?' Kenaikan itu telah mencetuskan kenaikan harga barang harian dan inflasi keseluruhan yang sukar dikawal. Terdekat, kenaikan tarif elektrik dan juga tol yang akan diikuti sikit masa lagi dengan kos kesihatan dan perubatan akan terus mendera rakyat. Mampukah rakyat bersorak?

Dikatakan bahawa ringgit mengukuh berbanding dolar. Itu memang betul. Tetapi bagaimana dengan mata wang asing yang lain? Ringgit lemah berbanding mata wang Singapura. Namun yang lebih penting rakyat ingin tahu bagaimana mereka akan mendapat faedah daripada pengukuhan ringgit.

Kita boleh import lebih. Betul. Tetapi eksport kita lebih mahal, terutama kepada Amerika yang masih merupakan rakan dagang kita yang terbesar. Baru-baru kini kita bercakap tentang meluaskan rakan dagang dan tidak bergantung kepada produk semi-konduktor yang juga besar input importnya.

Bercakap tentang Indeks Komposit (KLCI) melebihi 1,200 pun satu yang tidak boleh dibanggakan sangat. Sebabnya? Tahu sahajalah sifat pasaran saham. Datang macam ribut, perginya pun boleh macam ribut. Ingat ketika pasaran saham merudum pada krisis 1997. Indeks komposit (IK) mencecah 1,200. Kemudian, 'capital flight' atau aliran keluar dana mengejut memusnahkan kekayaan dalam sekerdipan mata.

Kini bolehkah kita bermegah hanya dengan IK? Rakyat mahu tahu IK itu apa dan bagaimana ia dihitung? Kalau hanya sekadar 10 atau lebih kaunter yang naik yang jelasnya disokong oleh dana awam hasil campur tangan Khazanah melalui syarikat-syarikat pelaburnya seperti KWSP, TH, LTAT dsbnya, tak payah nak tiup trompet sangat!

Persoalannya bagaimana syarikat-syarikat tersenarai yang lain termasuk 'blue-chip', apatah lagi yang lain di papan utama? Bagaimana pula papan kedua dan Masdeq? Kesian juga. Pasaran saham tetap terdedah kepada karenah dan ketidaktentuan dinamika aliran pelaburan. Tambahan dalam ekonomi global di mana aliran dana sukar diramal.

Namun tindakan kerajaan yang mengizinkan jualan singkat atau 'short-selling' setelah lama mengharamkannya semakin mencelarukan persepsi pelabur. Tak konsisten dan berubah-ubah atau 'flip-flop' dalam banyak polisi-poslisi kerajaan inilah yang menghakis integriti dan persepsi pelabur kepada 'capital market' di negara ini umumnya.

Itu tidak termasuk ‘ranking’ kebersihan dan integriti dalam urus-tadbir perniagaan dan korporat kita yang semakin menjunam. Badan 'watchdog' menilai integriti secara global ‘Transparency International’ meletakkan Malaysia di tangga 44 daripada 163 negara yang dinilai. Rakyat perlu tahu dalam 2005 kita di tangga 39 daripada sejumlah 159 negara. Ini menjadikan negara semakin tidak kompetitif dan tidak berintegriti. Rasuah bukan sahaja barah pemerintahan ini bahkan sebab utama negara ini di persepsi sebagai tidak menarik.
Apabila ada pihak yang berwibawa mencadangkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberikan sedikit kuasa 'penguatkuasaan', ia terus ditolak mentah-mentah oleh 'menteri undang-undang'. Sampai bila BPR akan dicucuk hidungnya oleh pihak eksekutif? Sampai bila kes-kes 'high-profile' akan terus dilindungi? Tambahan dengan peruntukan akta rimba seperti OSA untuk menghukum 'whistle-blowers', terkini bersabitan kontrak tol.

Kesemua ini tidak termasuk kenaikan kadar jenayah dan keruntuhan moral serta hilang rasanya hormat kepada undang-undang dan nilai-nilai murni dan agama. Parah.
Akhir sekali, laporan terkini kajian Merdeka Centre membawa mesej yang sukar untuk ditelan PM. Sebanyak 55 peratus kaum Cina, 40 peratus kaum Melayu dan 63 peratus kaum India tidak percaya yang kerajaan ini mampu menyelesaikan masalah pengurusan ekonomi negara.
Keseluruhannya 47 peratus tidak berpuas hati pada kajian bulan Oktober, 2006 berbanding 39 peratus pada bulan Mac, 2006. Abdullah tentunya berhak menentukan apa jua yang beliau kehendaki. Namun, tentunya pasti mengundang angkara dan musibah seandainya dirinya tersilap langkah. Sementara semua bergolak dalam Umno/BN, pihak BA dan pembangkang juga tidak selesa dan mendepani pelbagai cabaran dan petualang. Lebih perit lagi kalau ia adalah ulangan senario 2004. BA dan pembangkang wajar memikirkan cabaran negara yang lebih besar dari memenangkan kepentingan partisan masing-masing.

Sementara rakyat mungkin bersedia menolak BN, apakah rakyat mampu menerima BA/pembangkang untuk menerajui negara ini? Jawapannya kini berada di tangan pimpinan dan aktivis BA/pembangkang sendiri!

Sunday, February 04, 2007

SALAM REFORMASI!

Akan berkarya semula....

LAWAN TETAP LAWAN!

Cyberluncai