Wednesday, May 02, 2007

SINDROM ANAK MUDA: "CAKAP TAK SERUPA BIKIN"

Pelbagai reaksi di dalam laman web yang membuka forum didengari dari isu sekecil-kecilnya hinggalah ketahap menukar Presiden parti. PAS, tidak sedikit pun menghalang atau mencegah mereka ini daripada memberi pandangan atau idea yang bernas tentang strategi dan halatuju perjuangan, baik yang ahli mahupun bukan ahli.

Bagi ahli, mereka kebanyakannya lebih berlapik atau tahu adab dalam mengkritik jemaah, kerana mereka ditarbiyyah untuk menyalurkan pandangan atau kritikan mengikut tatacara yang digariskan oleh parti. Syabas! buat ahli yang mampu lagi menjaga adab berjemaah dan yang pasti mereka ini terus mempertahankan segala apa 'tohmahan' dan celaan terhadap jemaah, jika berlaku. Harus diingat, mereka bukannya taksub, atau dilabelkan 'pengikut membabi-buta', akan tetapi mereka lebih tahu saluran yang betul dalam menyampaikan pandangan atau kritikan kepada jemaah.

Untuk yang bukan ahli pula, yang mana majoriti terdiri kalangan anak muda yang intelek?, telah juga memberi pandangan-pandangan atau kritikan pedas terhadap jemaah. Itu hak mereka sebagai rakyat Malaysia yang 'bebas bersuara'. Kita mengalu-alukan segalanya, akan tetapi biarlah ianya tidak melanggari batas-batas keceluparan dan adab Islam itu sendiri. Umum mengetahui, kekalahan kita (PAS) bukan sekadar 1 atau 2 kerusi malah kita pernah 'hilang' kerajaan negeri! Kita amat juga mengalu-alukan sebarang nasihat (jika ada) dan kita sekali-kali tidak mensia-siakan nasihat mereka ini. Namun, satu perkara perlu dilihat adalah, setiap keputusan yang berbentuk strategi MESTI dibincang diperingkat Jemaah Pimpinan Parti, agar:

1. Apakah apa yang dibuat melanggari Syariat Islam atau sebaliknya.

2. Jika ia berat, sejauh manakah ia tidak melanggari maslahat ummat.

3. Seboleh mungkin ia tidak melibatkan titisan darah, jika pelu. Akan tetapi, bukan bermakna kita takut untuk 'mati'. Tidak perlulah disebut sejarah 'syahid'nya ahli PAS dalam hal ini, kerana semua sudah maklum.

Adapun percanggahan sedikit sebanyak yang berbentuk pendapat peribadi adalah biasa didalam PAS. Dan keputusan akhir masih bergantung kepada semangat musyawarah dalam Jemaah.

Kita masih lagi dalam menawan orang bukan ahli, bukan sahaja mampu memberi pendapat akan tetapi turut sama menyokong dan turun padang membantu kita dalm apa jua bentuk program atau aktiviti semasa. Seruan demi seruan dibuat, akan tetapi kehadiran mereka di 'dunia realiti' masih kurang. Kalaulah mereka yang tadi, yang giat mengkritik PAS di 'alam cyber' turun sama menyemarakkan apa jua aktiviti semasa PAS, sudah parti kerajaan sekarang juga agak gerun dengan kita.

Kita berasa sedih bukan kerana kekalahan di dalam pilihanraya. Akan tetapi, kita berasa sedih bila ramainya pengkritik-pengkritik 'bebas' bercambah bila kekalahan berlaku. Kita pun kurang pasti sejauh mana penglibatan pengkritik ini terhadap gerak-kerja pilihanraya, namun dari pandangan dan hujah mereka terkadang kita sudah nampak bahawa mereka ini sebenarnya adalh seorang yang suka berteori tapi tidak pernah bersama 'meraikan' pilihanraya tersebut. Kita yang setengahnya, pernah dipenjara, pernah dipukul dengan cota, pernah luka sana sini, disimbah asid 'air longkang' dan paling kurang hilang suara kerana menyokong parti Islam. Pun begitu masih tetap bersama berjuang dan terus lagi turun padang. Dan sebaliknya berlaku kepada pengkritik ini, jangan kan luka, serak suara atau melecet kulit pun belum pernah, habis-habis 'tekan keyboard' dan tidur. Lepas tu tunggu keputusan pilihanraya.

Ini adalah satu sindrom yang amat tidak sihat kepada proses memulihkan demokrasi negara! Kita bukan sahaja perlukan pandangan, akan tetapi kita juga perlukan sumbangan tenaga dari mereka semua!

Kita sebenarnya sudah bosan dengan pelbagai alasan spt. 'mata pena lebih tajam dari mata pedang' atau 'berkarya juga bekerja untuk Islam'.

Sesungguhnya demokrasi memerlukan benar-benar 'kuasa rakyat' (demo-rakyat, krasi-kuasa)!! Oleh itu, semua pengkritik diseru turun padang bagi meramaikan 'suara rakyat' dan kita bukan hanya mahu semata-mata suara, akan tapi 'batang tubuh' anda semua!!

Siapa berani??? Kalau masih takut, atau masih mahu berselindung dibalik komputer atau keyboard, dan tidur nyenyak. Maka tidak mustahil BN akan memerintah Malaysia sampai kiamat!