Monday, August 11, 2008

CHEDET.COM: MARI BELAJAR SAINS DAN MATH DALAM ENGLISH

Seorang blogger terkenal masakini, Tun Dr. Mahathir telah meluahkan hujah beliau mengapa bahasa Inggeris penting dalam Sains dan Matematik. Saya mengungkap balik hujahan tersebut sambil mengambil salah satu komen dalm blog beliau:

1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.

2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.

3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.


4. Kita diberitahu Nabi bersabda "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China". Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu?

5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini.

6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada "di zaman gelap", zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.

7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain.

8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang.

9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini.

10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris.

11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.

12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan.

13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.

14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka.

15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.

16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan.

17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka.

18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita.

19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.

20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya.

21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar.

22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.


Salam Sdr Chedet,

Saya tidak bersetuju dengan hujah sdr mengenai Sc and Math dlm BI yang pada saya nampak agak longgar dan hanya cantik di atas kertas! Maafkan saya...

1. "Tuntutlah ilmu walau ke Negeri China" menandakan bahawa Islam menitik beratkan tentang mencari ilmu walaupun ilmu itu berada di Negeri China, akan tetapi ia tidak bermakna orang Arab yang berada di Madinah atau Mekah kena menukar kesemua bahasa pengantar di pusat pengajian mereka dengan berbahasa Mandarin! Berbahasa Mandarin atau Kantonis kepada sarjana-sarjana yang ingin ke China, begitu juga sarjana-sarjana yang ingin ke Greek maka belajarlah bahasa Yunani. Akan tetapi bukan semua anak-anak arab kena belajar Mandarin, Kantonis atau Yunani.

2. Kesan percubaan BI dalam Sc dan Math, membuktikan kegagalan orang Melayu yang amat teruk dibidang itu terutama mereka yang tinggal diluar bandar, yang mana kemudahan atau prasarana sekolah beserta cikgu-cikgu Bahasa Inggeris yang kurang berpengalaman dan amat teruk sekali. Cuba sdr Chedet bayangkan, dulu mungkin anak-anak Melayu luar bandar ini kurang minat English, tapi amat meminati Sc dan Math kerana diajar dalam bahasa ibunda, sebab itu mereka juga memenuhi sekolah sains berasrama penuh dan MARA (termasuklah anak-anak sdr Chedet sendiri). Tetapi sekarang, bukan sahaja English, akan tetapi Sc dan Math juga menjadi mangsa! Melayu luar bandar mula kurang minat Sc dan Math kerana, susah untuk faham dan mempunyai kelemahan English yang amat ketara.

3. Adalah tidak adil, menuduh sesiapapun yang kurang semangat kebangsaan Melayu dalam isu ini, walaupun tuduhan itu kena pada sdr, saya pun tidak setuju. Akan tetapi, isu ini masih ada lagi ruang untuk diperbincangkan dan pandangan para intelek atau akademia negara harus juga dipertimbangkan sebelum kita melaksakannya.

4. Pandangan saya, English sangat penting kerana semua sedia maklum ia menjadi bahasa utama diperingkat dunia, tidak kira secara saintifik mahupun perbualan biasa. Akan tetapi, kita harus ingat bahawa, menukar subjek Sc dan Math diperingkat sekolah rendah dan menengah adalah satu perkara yang perlu dikaji semula. Ini kerana, apa yang dipelajari diperingkat ini adalah sebenarnya asas kepada Sc dan Math. Oleh itu, kita tidak mengembangkan apa-apa pengetahuan baru pun pada mereka ini semata-mata kerana kita tukar ke dalam bahasa Inggeris. Biarlah mereka ini mempelajari konsep asas Sc dan Math di dalam bahasa ibunda mereka, kerana pada akhirnya, dalam minda mereka tetap diterjemahkan dalam bahasa asal mereka.

Konsep asas dalam Sc dan Math mesti dalam bahasa ibunda, atau bahasa Melayu. Minat mereka ini bertambah kalaulah kefahaman terhadap Sc dan Math mereka lebih mendalam. Sebab itu, saya suka mencadangkan English mesti diwajibkan bila berada diperingkat universiti atau sarjana dan seterusnya. Kerana ini sudah dikira diperingkat advance. Dan pencarian ilmu baru atau penterjemahan kedalam bahasa Melayu mesti dilakukan oleh golongan-golongan ini.

5. Masalah sebenar kita bukan kerana Sc dan Math dalam bahasa Melayu, akan tetapi masalah English kita yang sangat teruk! Saya mencadangkan agar diperbanyakkan guru-guru English yang berkualiti diperingkat luar bandar, bukannya selalu mahu selesa mengajar di bandar-bandar besar. Itulah sebenar kelemahan kita!

6. Percayalah, kalau kita tinggkatkan kualiti guru-guru English diluar bandar, mereka (anak-anak Melayu) bukan sahaja seronok membaca bahan-bahan atau tulisan English daripada Sc dan Math, malah lebih dari itu!

Jangan gusar sdrku Chedet, anda mempunyai pandangan anda, akan tetapi kadang-kadang kita juga kena mendengar pendapat orang yang mungkin 'lebih bijak' dari kita?

Semoga anda dirahmati Allah selalu.

Sekain, wassalam.


Cyberluncai: Apa pandangan anda??

No comments: