Sunday, July 10, 2005

ZALIMKAH UMNO...?

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
MAKA, berkatalah bekas Perdana Menteri yang kini Penasihat Proton Holdings Bhd: “berdasarkan maklumat yang diperolehi, dari 67,000 AP yang diluluskan, 81 peratus atau 54,000 AP dibolot oleh 20 buah syarikat.” Cuma 19 peratus sahaja yang dikongsi oleh 82 syarikat-syarikat bilis bumiputera yang lain. - (Utusan Malaysia 6 Julai 2005).

Nah! satu lagi tembelang Umno yang mendedahkan maksud gemilang, cemerlang dan terbilang yang sebenar. Jika berita ini dikeluarkan oleh Presiden PAS, tentu ia akan cepat-cepat dicop sebagai fitnah. Jika diikutkan Tun Dr Mahathir Mohamad, “ini perlu kita (?) lihat kerana saya agak pasti ia tidak adil.” Dalam erti kata yang lain, tidak adil itu bermakna zalimlah.

Jika zalimlah amalan pembahagian AP yang boleh melibatkan kepentingan kewangan dalam ratusan juta ringgit, maka apa pula kedudukan nasib pelajar-pelajar seramai 34,500 yang layak untuk ke IPTS tetapi kerana masalah pembiayaan oleh MARA dan PTPTN, mereka seakan-akan dinafikan peluang untuk meneruskan pendidikan? Adilkah atau zalim?

Bayangkan, daripada 35,000 tempat yang ditawarkan cuma 500 pelajar yang mendaftar (Berita Harian, 6 Julai 2005, muka surat 8) kerana keputusan drastik MARA yang tidak lagi membiayai pelajar ke IPTS. Maklumat-maklumat ini disebut sendiri oleh Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Bumiputera (PKIBM).

Jika MARA sendiri pun sudah mengambil sikap mengangkat kedua-dua belah tangan, maka apa lagi yang masih tinggal dalam agenda pembelaan nasib anak Melayu.

Umno sebuah parti Melayu. Menteri Pelajaran dan Menteri Pendidikan Tinggi kita juga adalah pemimpin Melayu dari sebuah parti yang kononnya sangatlah Melayu. Slogan Umno berbunyi ‘Hidup Melayu’. Soalan mudah di sini ialah akan hidupkah Melayu dengan dua perkembangan ini?

Bagaimana pula dengan dasar meritokrasi? Apa pula khabarnya dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik? Adilkah? Jika zalim, siapa yang menzalimi dan siapa pula yang dizalimi?

Jika diperluaskan sedikit lagi tajuk keadilan ini dalam konteks kenaikan harga petrol dan diesel, maka adilkah menarik subsidi yang tidak akan melebihi RM2 hingga 3 bilion setahun sedangkan Petronas sedang selesa menikmati keuntungan RM58 bilion setahun?

Dalam keadaan merangkak menanggung beban inflasi terkini, rakyat terus digertak dengan iklan-iklan kenaikan bahan bakar tersebut hampir setiap pagi. Apabila diminta penjelasan, mulalah pemimpin Umno berkubu di sebalik alasan “mahu menyediakan peluang-peluang pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas yang lebih baik kepada rakyat.” (Berita Harian 2 Julai 2005).

Dalam membaca pendirian MARA terkini mengenai pinjaman kepada anak-anak Melayu, apakah ini yang dikatakan “demi menyediakan peluang-peluang pendidikan yang lebih baik.” Lebih baiklah itu agaknya apabila 34,500 orang anak muda Melayu yang terpaksa menolak tawaran ke IPTS semata-mata kerana sikap pemimpinnya yang enggan memberi pinjaman.

Jika kita betul-betul mengikuti pecahan komitmen pembelajaran setiap ibu bapa yang mahu menghantar anaknya ke IPTS, kita akan menangis. Ia cukup ‘mengancam’ bajet keluarga.

Bayangkan kesempitan sepasang penoreh getah dengan anak tujuh orang yang hidup menumpang di rumah mertua. Tiba-tiba pasangan tersebut perlu menyediakan bekalan kewangan berbentuk “one off” tidak kurang daripada RM1,500 demi menghantar anak mereka yang ditawarkan untuk mengikuti kursus diploma.

Bayangkan pula jika MARA masih dengan sikapnya yang enggan membantu. Mampukah pasangan malang itu menyediakan wang yang lebih kurang RM10,000 setahun untuk sepanjang dua atau tiga tahun?

Semaklah dengan mana-mana IPTS kenaan-kenaan yuran, baik akademik dan non-akademik termasuk makan minum, pengangkutan, kain baju, stokin kasut, penginapan dan asrama. Ini bukan beban sampingan yang boleh dipandang ringan.

Jika saya tidak silap, semasa skim pinjaman PTPTN mahu diperkenalkan dahulu, kerajaan ada menjamin pemberian kemudahan pinjaman yang automatik bagi sesiapa sahaja yang mendapat tawaran. Dalam perkembangan ini, tidakkah hak untuk mendapat pendidikan adalah termasuk keperluan basik setiap rakyat di mana-mana negara?

Berbalik kepada isu pemberian AP yang dilihat oleh Tun Dr Mahathir sebagai tidak adil, maka tidakkah wajar Parlimen Malaysia mengambil keputusan yang lebih “affirmative” berupa penubuhan segera suruhanjaya siasatan.

Dalam hal ini, BPR perlu diberikan “empowerment” yang mencukupi dan “exclusive territorial rights” tanpa diganggu demi mencari apa sahaja yang sebenar.

Hanya melalui suruhanjaya bebas sahajalah rakyat akan tahu kedudukan sebenar mengenai penyalahgunaan AP. Jika sekadar menyiasat tiga syarikat import kereta sedangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri mengambil sikap enggan mengulas, maka ini tidak menyelesaikan masalah.

Dalam semangat keadilan seperti yang cuba dipromosikan oleh bekas Perdana Menteri, alangkah bertuahnya Malaysia jika mempuyai pemimpin yang adil. Di sini, tiadalah cara hidup dan cara pemerintahan yang lebih adil mengatasi agama Islam. Allah menggesa melalui FirmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” - (Surah An Nisaa’: Ayat 58)

Bercakap mengenai adil dan ketaqwaan, setiap pemimpin perlu berani mempromosikan cara hidup yang mentaati Allah S.W.T. semata-mata. Meninggalkan keadilan dan ketaqwaan, apa lagilah yang masih tinggal kepada mana-mana kepimpinan negara?

No comments: