Thursday, August 17, 2006

PAK LAH: "JANGAN ALPA, NANTI NEGARA TERGADAI!!!!"

Wed | Aug 16, 06 | 01:24:02 PM
Oleh Dato' Husam Musa



"Lebih menyedihkan lagi, penjualan saham Pantai kepada pihak Singapura sebanyak 31% itu bercanggah dengan garis panduan penggabungan dan pengambil alihan milik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri sendiri bertarikh 21 Mei 2003 lagi. YAB, maafkan saya, sebenarnya telah melanggar garis panduan Jabatan Perdana Menteri sendiri berkait dengan fasal-fasal 4.3, 6.3 dan 7.3. Bagaimana ini boleh berlaku?," petikan dari surat terbuka Dato' Husam Musa kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Surat Terbuka Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi


YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia.


Assalamualaikum wr. wth.,

YAB Dato' Seri,

Kami membaca kenyataan YAB mengenai cadangan kerajaan mengambilalih semula dua anak syarikat yang telah terlepas pegangan pengurusannya kepada pihak Singapura, seperti dilaporkan akhbar utama hari Isnin, 14 Ogos 2006.

Izinkan saya memetik laporan Berita Harian 14 Ogos 2006 mengenainya;

PM mahu kontrak bekal alat hospital dikembali kepada rakyat tempatan

KEPALA BATAS: Kerajaan mengkaji untuk mengembalikan semula penguasaan rakyat tempatan dalam syarikat konsesi membekalkan keperluan hospital di negara ini ekoran penjualan 31 peratus kepentingan Pantai Holdings Bhd kepada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan memberikan perhatian kepada isu penjualan itu kerana ia menimbulkan masalah disebabkan beberapa perkara berkaitan konsesi yang diberikan kepada Pantai Holdings iaitu kontrak membekalkan keperluan hospital.

"Jadi (berikutan penjualan saham dalam Pantai Holdings), konsesi telah terlepas ke tangan orang lain dan (kerajaan) mengharapkan ia akan (kekal) kepada pihak Malaysia, akan dipegang oleh rakyat Malaysia.

"Jadi perkara ini dalam perhatian pihak Perbendaharaan," katanya.

Kami amat berbesar hati di atas hasrat tersebut. Cuma, kami agak keliru mengenai pendirian sebenar YAB. Ini kerana, dalam wawancara khas YAB seperti yang disiarkan rakamannya oleh TV3 pada 7 Ogos 2006, YAB dengan tegasnya memberitahu bahawa tidak ada mana-mana entiti perniagaan Negara kita telah terlepas kepada pihak asing.

Bagi mengelakkan pertikaian mengenai apa yang telah disebut oleh YAB, kami perturunkan petikan wawancara itu seperti yang disiar oleh Utusan Malaysia seperti berikut;

Pemilikan syarikat asing

Dato' Seri kita kebetulannya di ambang menyambut kemerdekaan ke-49 tahun merdeka. Dengan hari ini juga kita dengar istilah bentuk penjajahan baru. dan antaranya yang dikaitkan dengan bentuk penjajahan baru ialah pemilikan asing dalam syarikat negara yang paling sensitif ialah syarikat singapura sebab sentimen yang ada hari ini.

ABDULLAH - Yang pertama saya kata apa salahnya kalau syarikat lain negeri lain nak beli saham dalam syarikat kita kerana itu baik sebab mereka yakin dengan syarikat kita, sebab itu dia orang beli.

Tapi yang penting dalam hal ini kita nak jaga supaya kepentingan kita, control itu kita jaga jangan sampai diambil alih.

Dalam hal ini tiada satu pun syarikat kita diambil alih oleh syarikat ini. Soalnya sekarang ini kita buka yang nak beli saham ini syarikat mana-mana seperti dari AS ke, Jepun ke, Korea ke, kalau Singapura beli dia belilah. Tapi banyak orang bila sebut Singapura ni dia lain sikit, kena tanya merekalah, saya tak tau.?

YAB Dato' Seri,

Izinkan saya membawa perhatian YAB kepada surat yang saya telah tuliskan kepada YAB mengenai perkara yang sama bertarikh 28 Disember 2005. Izinkan saya memetik satu para mengenainya;

"Menteri Kewangan perlu menjelaskan mengapa ia telah memberikan kelulusan terhadap penjualan 31% saham Pantai Holdings kepada Parkway."

Mungkin saya begitu kerdil sehingga surat saya tidak layak dibaca oleh YAB walaupun YAB ada bercakap supaya orang ramai ?tell me the truth? atau memberitahu hal yang sebenar kepada YAB dan YAB amat tidak suka kepada ?apple polisher?.

Maka dengan itu, YAB terlupa bahawa isu ini sudah lama dibangkitkan dan YAB sudah patut bertindak lama dahulu. Jika surat saya tidak dibaca sekalipun, YAB patut telah dimaklumkan oleh pegawai-pegawai YAB kerana isu ini telah dari masa ke semasa dibangkitkan oleh pelbagai pihak dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar utama, selain laman-laman web.

Menteri Kesihatan sendiri telah membangkitkan bangkangannya seperti dilaporkan oleh akhbar Malay Mail. Tidak mungkin kenyataan terbuka seorang Menteri Kabinet tidak mendapat perhatian YAB?

Akhbar-akhbar juga telah melaporkan perkembangan perubahan lima dari tujuh ahli Lembaga Pantai sebaik sahaja pengambilalihan tersebut dan di bawah Practice Notes 2.4 for the Malaysian Code on Take-Overs and Mergers, sesebuah syarikat itu dianggap telah berada di bawah pengurusan baru jika lebih dari separuh ahli lembaganya bertukar tangan kurang dari tempoh setahun kemasukan pemegang saham baru dan saya yakin YAB sedar sepenuhnya hal ini.

YAB Dato' Seri,

Lebih menghairankan lagi, semua transaksi penjualan pegangan kepada pihak asing mesti mendapat persetujuan dan kelulusan YAB selaku Menteri Kewangan atau paling kurang dimaklumkan kepada YAB.

YAB saya kira sedar bahawa kelulusan perpindahan kepentingan kepada syarikat asing ini berlaku pada masa YAB sudah menjadi Perdana Menteri dan pada masa yang sama menjawat jawatan Menteri Kewangan. Ia tidak berlaku sebelumnya bahkan semasa YAB sudah memgegang teraju utama Negara, sama dengan kes-kes penjualan kepentingan Malaysia yang lain kepada Singapura seperti 5% pegangan dalam Telekom pada Mac 2004, di mana ECM Libra adalah financial advisorynya. Juga pembelian 5% kepentingan dalam Proton oleh Government of Singapore Investment Corp. pada tahun yang sama.

Mengapa pada waktu itu YAB memberikan persetujuan dan sekarang YAB bercadang mengambilalihnya semula? Adakah YAB sedar kos dan perbelanjaan bagi tujuan pengambilalihan semula tersebut?

Lebih menyedihkan lagi, penjualan saham Pantai kepada pihak Singapura sebanyak 31% itu bercanggah dengan garis panduan penggabungan dan pengambil alihan milik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri sendiri bertarikh 21 Mei 2003 lagi. YAB, maafkan saya, sebenarnya telah melanggar garis panduan Jabatan Perdana Menteri sendiri berkait dengan fasal-fasal 4.3, 6.3 dan 7.3. Bagaimana ini boleh berlaku?

Adakah YAB telah terlepas pandang? Atau YAB tidak mengambil berat mengenainya sebelum ini dan hanya tersedar setelah nasi menjadi bubur? Atau YAB sebenarnya telah meluluskannya tetapi kemudian terlupa? Atau YAB telah secara sedar meluluskannya dan kini ingin bermain wayang dengan rakyat jelata?

Saya yakin YAB sedar bahawa di bawah prinsip akauntabiliti, YAB tidak akan membenarkan situasi ?auto pilot? berlaku di mana YAB melepaskan tugas sebagai ?pemandu coach? sehingga menyebabkan ianya terlanggar dan YAB mengaku tidak bertanggungjawab mengenainya. Apa lagi, YAB telah secara tegas menafikan tingkat empatlah yang sebenarnya menentukan segala-galanya.

YAB Dato' Seri,

Dua anak syarikat Pantai iaitu Fomema dan Medivest terlibat dengan konsesi penswastaan dan mengikut garis panduan penswastaan, ianya tidak boleh diizinkan untuk bertukar milik kepada pihak asing tetapi anehnya, ia telah berlaku. Siapa yang memberikan kelulusan itu?

Sebagaimana YAB gemar rakyat jelata memberitahu yang benar kepada YAB, saya selaku rakyat juga ingin tahu kedudukan yang sebenar dalam isu ini dan YAB boleh melakukannya menerusi Dewan Rakyat dalam sidang yang terdekat.

YAB Dato' Seri,

Izinkan juga saya menyentuh isu percanggahan kepentingan yang mungkin wujud di antara kedudukan YAB selaku Menteri Kewangan dengan kepentingan perniagaan anak dan menantu YAB.

Sekalipun menantu YAB telah melepaskan pegangannya dalam syarikat ECM Libra, atas apa jua muslihat atau sebab, namun YAB harus sedar bahawa sebuah syarikat milik kerajaan iaitu Avenue Capital dengan asset-aset diuruskannya bernilai hampir RM4 bilion, termasuk pegangan dalam Pos Malaysia dengan tunai melebihi RM 600 juta sudah berada dalam peringkat akhir penggabungan dengan syarikat di mana pada waktu itu, menantu YAB adalah salah seorang pemegang sahamnya.

Setakat saya mengikuti perkembangannya melalui akhbar, ada kenyataan-kenyataan yang membawa impak bahawa pengurusan entity yang baru selepas penggabungan akan dipegang oleh pihak ECM Libra. Ini bermakna syarikat milik kerajaan akan terlepas pengurusannya kepada pihak di luar kerajaan. Akhbar New Straits Times 18 Jan 2006, boleh dirujuk mengenai hal ini.

Perkembangan penyerahan Avenue Capital untuk bergabung dengan ECM Libra, pada mata orang awam selari dengan kedudukan menantu YAB di dalam ECM Libra tersebut.

YAB mungkin boleh mendakwa YAB tidak terlibat dengan proses-proses keputusan itu di buat tetapi itu bermakna apabila sesuatu melibatkan asset Negara, YAB masih ingin berlepas tangan dan hasil dari sikap berlepas tangan itu, anggota keluarga terdekat YAB akan mendapat faedah.

Sekalipun anggota keluarga YAB telah melepaskan pegangannya dalam ECM Libra Avenue, bukan bermakna satu manipulasi selepas semua kelulusan di perolehi tidak akan berlaku kemudian hari.

Begitu juga dengan laporan akhbar bertali arus mengenai kejayaan Scomi memperolehi pelbagai kontrak. Adalah sukar untuk memahami bagaimana perolehan kontrak tersebut tiada kaitan dengan kedudukan YAB selaku Perdana Menteri?

Keadaan ini telah menyukarkan kedudukan politik YAB sendiri dan dari laporan-laporan akhbar mengenai kenyataan-kenyataan YAB dan menantu YAB, telah memberikan gambaran agenda negara kini telah bertukar kepada hal-hal kekeluargaan YAB semata-mata.

YAB Dato' Seri,

Surat kami, sama seperti surat-surat terdahulu, adalah satu pandangan untuk kebaikan negara jua. Maaf saya jika teguran ini menyinggung perasaan tetapi masa belum terlambat untuk YAB kembali kepada pengurusan berhemah yang dicita-citakan oleh semua.

Sekian. Terima kasih dan wassalam.

Husam Haji Musa
Naib Presiden PAS
21 Rejab 1427 | 15 Ogos 2006

No comments: