Tuesday, March 20, 2007

Biarkan Idris (JE) Gila Dengan Rekod-Rekodnya!

Marhaen

ANDAIKATA ada satu anugerah untuk mengiktiraf mana-mana negeri yang mencipta paling banyak rekod, maka besar kemungkinan anugerah itu akan dimenangi oleh Terengganu Darul Iman.

Pada 29 Julai 2006, Terengganu menganjurkan acara gotong-royong yang dinamakan Program Jom Bersih Terengganu Kita. Ia didakwa disertai 240,830 orang di seluruh negeri dan berjaya dicatatkan sebagai program gotong-royong terbesar dalam Malaysia Book of Records (MBoR). Orang yang paling puas dengan kejayaan itu tentulah Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.


Pada awalnya para pemimpin Barisan Nasional Terengganu berkata program itu dianjurkan bukan bertujuan mencari nama atau pengiktirafan. Ia kononnya hanya didorong hasrat mendidik masyarakat agar lebih prihatin terhadap kebersihan negeri.


Anehnya, di masa sama mereka juga menyeru agar rakyat seluruh negeri menyertai program itu di tempat masing-masing untuk ‘mencipta rekod’.




Tujuan mencipta nama itu makin terserlah apabila tidak sampai 10 hari selepas itu, MBoR sekali lagi muncul di Terengganu. Pada 17 Ogos lalu, Idris bersama 50 penyelam diiktiraf MBoR sebagai kumpulan pertama mewarna Jalur Gemilang di dasar laut. Program melukis dan mewarnakan Jalur Gemilang di atas kanvas sepanjang lima meter di perairan Pulau Kapas itu bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan ke-49. Ia dinamakan Merdeka Dive 2006: Warna-Warni Jalur Gemilang di Dasar Laut. Program dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama sebuah persatuan alam sekitar.


Tidak dinyatakan berapakah jumlah perbelanjaan dikeluarkan kerajaan untuk program yang semata-mata bertujuan mencari kemasyhuran itu. BN memang pandai berdalih untuk mengelak daripada dipersoalkan tentang perbelanjaan kerajaan. Kalau untuk program gotong-royong dikatakan dibiayai masing-masing oleh pihak setempat, maka program di dasar laut itu pula dikatakan mendapat pembiayaan pihak swasta. Sejauh manakah kebenaran dakwaan itu?


Alasan sama pernah digunakan BN Terengganu apabila diasak beberapa pihak mengenai perbelanjaan menjayakan Piala Monsun pada penghujung 2005 lalu. Pertandingan kapal layar bertaraf antarabangsa di perairan Pulau Duyong, Kuala Terengganu itu tidak mendapat sambutan rakyat Terengganu sendiri, walau pun diiktiraf sebagai yang pertama pada kelasnya diadakan di negara ini.


Soalnya, berbaloikah ratusan juta wang rakyat dihabiskan semata-mata untuk memasyhurkan negeri di mata dunia? Akhbar melaporkan RM60 juta dibelanjakan untuk projek pembangunan di pulau itu sebagai persiapan Piala Monsun 2005.


Bagaimana pun, satu maklumat lain yang rapat dengan perbendaharaan negeri mendakwa peruntukan sebenar pembangunan pulau itu melebihi RM200 juta. Setelah mengenali tabiat boros BN dalam membelanjakan wang rakyat, jumlah yang didakwa itu bukan suatu yang mengejutkan.


Pembinaan Taman Tamadun di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu yang menelan belanja ratusan juta juga mencipta rekod tersendiri. Taman itu turut menempatkan Masjid Kristal, iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini. Bagi rakyat Terengganu, tiada tujuan lain pembinaan masjid di pulau tanpa penduduk itu melainkan semata-mata untuk tujuan pelancongan dan kemegahan.


Dari perspektif berbeza, Terengganu turut dikenali menerusi beberapa kes sosialnya. Antaranya, kes sekumpulan ibu tunggal yang mengemis di tangga sebuah tokong di Kampung Cina, Kuala Terengganu pada Januari lalu. Mereka mengakui sanggup datang dari Dungun sehari sebelum Tahun Baru Cina semata-mata mahu mendapatkan ang pau dari para pengunjung tokong itu.


Rasanya belum pernah berlaku kes yang memalukan umat Islam dan orang Melayu seteruk itu di mana-mana pun dalam negara ini. Beberapa pihak yang sangat marah dengan kejadian itu malah menggelarkan Terengganu sebagai negeri ‘Melayu paling bangsat dalam dunia’. Rekod lah juga tu!


Kisah tiga exco kerajaan ‘ditipu’ juga boleh dianggap rekod, sekurang-kurangnya kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Itulah yang dialami tiga exco dalam kes berasingan. Kes pertama membabitkan Exco Kebajikan ditipu lebih 2,500 suri rumah dan wanita belum berkahwin, yang mengaku sebagai ‘ibu tunggal’ semata-mata bagi melayakkan mereka menerima bantuan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP).


Seorang lagi exco mengaku tertipu oleh sebilangan penerima bantuan perkakasan nelayan, apabila mendapati mereka sebenarnya bukan nelayan. Exco yang seorang lagi pula ditipu seorang wanita, gara-gara bermain saham.


Sesuatu yang belum pernah terjadi juga menjadi rekod apabila ia pertama kali berlaku. Antaranya ialah kes kecurian bunga besi pagar istana di Kuala Terengganu. Kerajaan BN juga mencatat rekod sebagai kerajaan paling berani membawa maksiat ke bumi Tok Sheikh Duyong, seorang ulama tersohor di rantau ini, atas alasan meraikan pelayar dan pelancong asing.


Dengan beberapa rekod yang dicatatkan itu, kelayakan menobatkan Terengganu sebagai negeri paling banyak mencipta rekod tidak wajar dipertikaikan lagi. Namun, segala kemasyhuran yang tercipta itu belum cukup memuaskan hati para pemimpin BN, terutama Idris. Dia mahu Terengganu dikenali dengan sesuatu yang luar biasa.


Atas hasrat itu, maka timbul idea membina tandas ‘wangi’ bertaraf lima bintang dengan nilai antara RM100,000 hingga RM150,000 sebuah. Turut dicita-citakan ialah sebuah Galeri Dasar Laut di perairan Pulau Bidong untuk menempatkan berbagai replika bahan kesenian Terengganu.


Sekali lagi, segala rekod itu belum mampu membuat Idris puas. Akhirnya dia memilih untuk menjadi Menteri Besar pertama yang menjual gula kepada rakyatnya. Selepas ini pun Idris akan terus mencipta rekod lagi.


Biarkanlah Idris tenggelam dengan rekod-rekodnya. Biarkan! Biarkan!

1 comment:

Unknown said...

Dear bloggers

(Listed in SOPO Sentral of Malaysia)

This kutu is trying to develop a new hobby - listing your latest posting in my blog, Malaysiakita

This kutu really hopes you can update me on your latest posting in
Malaysiakita comment section or by email. You can reach me at sangkutu@gmail.com

To surf from blog to blog really consumes a lot of time. Mintak tolong la sangat-sangat! Harap sangat ni!

I'm seeking your kind help! Tolong! Tolong!