Thursday, July 28, 2005

Naik letih melayan Umno

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

SETELAH lenguh berpukulan sesama sendiri dan berjaya menaikkan paras mercury mengenai penyalahgunaan AP hingga ke tahap menggelegak, Perhimpunan Agung Umno beralih pula kepada isu kegagalan DEB. Di sini, Umno yang buat dasar.



Dia yang melaksana dasar. Dia yang pinda dasar. Dia yang mengaku kegagalan dasar. Tak pasal-pasal yang disalahkannya ialah Tengku Mahaleel dan orang Melayu. Dari satu segi, ada juga hikmahnya. PAS belum berkesempatan memerintah di peringkat Pusat.
Jika tidak, PASlah ‘lembu Mekah’ yang di paksa memikul kegagalan Melayu. Dalam isu AP misalnya, jelas sudah bahawa ‘serangan balas’ terkini Tun Dr Mahathir yang membawa 21 fakta, benar-benar menenggelamkan hujah Dato’ Seri Rafidah dan sekaligus hujah pemimpin Umno di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah. Perhimpunan empat hari tiga malam itu jelas gagal melendikkan isu yang berkedut-kedut dalam dunia Melayu di Tanah Melayu.

Apa lagi helah Presiden Umno apabila bekas Presiden Umno sendiri masih berkeras bahawa “she (Rafidah) lied.” Bila “tidak bercakap benar, ” (Utusan Malaysia 27 Julai 2005) maknanya Umno berbohonglah. Di sini, siapa yang membohongi apa dan siapa, tak tahulah. Lihatlah, bagaimana pemimpin Umno menconteng arang kemuka orang Melayu.

Pada saya mudah saja. DEB salah sejak hari pertama ia dilahirkan kerana ia bertolak dari pekat faham nasionalisme Melayu bawaan Umno. Mana boleh satu dasar nasional yang memfokuskan orang Melayu sahaja.

Jika Umno menggunakan sentimen Melayu, tentulah logik bagi MCA dan MIC menggunakan sentimen bangsa mereka juga untuk memperjuangkan nasib kaum masing-masing.

Jika Umno menggunakan kaedah keadilan Islam untuk penyelesaian, DEB wajib mengenengahkan gagasan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum tanpa perlu menimbulkan apa juga peratus penyertaan sesiapa dalam membataskan ekuiti pemilikan mengikut bangsa dan pengenalan kaum.

Dengan adanya deklarasi sedemikian, semua rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan atau golongan termiskin akan terasa diri mereka dibela. Ini akan mengikis kecurigaan , hasad, prejudis dan nafsu saling berdengkian sesama sendiri.

Ia akan merapatkan jurang sosial dan membina keakraban serta perpaduan kaum. Tak perlulah Umno mengangkat-angkat keris dan membazir masa dalam perhimpunan. Ini, Melayu Barulah.

Globallah. Glokallah. Semuanya retorik. Saja nak sedapkan telinga pendengar dan mendidihkan sentimen orang Melayu. Jika betul-betul nak bantu anak Melayu sangat, kenapa tidak dijelaskan kedudukan hampir 120,000 pelajar yang tidak mendapat peluang untuk memasuki IPTS misalnya, kerana MARA dan PTPTN tidak disediakan peruntukan.

Isu ini sangat mendesak tetapi anihnya tak satupun keputusan konkrit dibuat yang mampu menghadiahkan sesuatu kepada warga Melayu dalam perhimpunan yang sebesar itu.

Sebenarnya, jika Umno dengar teguran PAS, sudah lama Malaysia selamat. Kami menentang pendekatan bangsa walaupun kami pun juga orang Melayu kerana kami lebih yakinkan penyelesaian yang telah disediakan Islam. Umno telah membazirkan masa melawan Islam yang dibawa oleh PAS tanpa alasan.

Umno duduk di atas dasar yang salah. Akhirnya setelah hampir 50 tahun, mereka gagal menguburkan PAS dan terus gagal dalam mengubah nasib Melayu. Ini yang dia asyik tukar istilah, jargon dan gagasan. Habis tak ada kerja, dia mulalah gubah syair, pantun dan lagu. Upah budak-budak main koir, gambus dan nasyid untuk memuji “pemimpin mursyid”(?).

Dalam hal ini, saya teringat benar dengan satu ingatan seorang pemimpin MCA yang menyebutkan faktor pentingnya iman dalam menangani gejala zina dan dadah. Beliau memberi reaksi kepada Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam isu pembekalan percuma jarum dan kondom.

Ertinya di sini, apabila tersepit, BN akan kembali kepada Islam setelah dilihatnya penyelesaian secara sekular tidak berhasil. Hatta, kemunculan dasar penerapan nilai-nilai Islam, masyarakat madani, pengisytiharan Malaysia negara Islam oleh bekas PM dan terkini, Islam Hadhari oleh PM sekarang adalah bukti-bukti kukuh tentang sesaknya nafas perjuangan Umno yang berteraskan kebangsaan.

Dalam perhimpunan Umno minggu lepas pun, saya masih mendengar seorang perwakilan Umno dari Terengganu yang cuba-cuba memberanikan diri untuk menyebutkan perkara pertanggungjawaban di Padang Mahsyar.

Ertinya di sini, jika Umno sudah menerima perkara soal jawab di akhirat, kenapa masih berdegil menggunakan perlembagaan dan peraturan-peraturan hidup yang terpisah dari agama. Tidak berdosakah meletakkan Perlembagaan Persekutuan mengatasi Al-Quran dan Hadith.

Malah, akhir-akhir ini pula, Umno sangat jelas kelihatan semakin membenci agama. Agama mula disebut sebagai candulah. Agama disebut perkara individulah. Zina dan pelacuran halal jika daruratlah. Mahu meminggirkan undang-undang yang mencegah kemungkaranlah. Sebelum ini, Umno jugalah yang menolak Hudud.

Pemimpin mereka menghina janggut Nabi, menyekat bantuan SAR, dan memutuskan untuk membatalkan penggunaan perkataan Islam dalam mana-mana pertubuhan. Rakyat memang tidak lupa dosa-dosa ini.

Walaupun, Hishamuddin Tun Hussein sudah mula melaungkan “takbir”, menandakan Umno sudah terkepit, tetapi ini tidak pernah menghalalkan Umno untuk terus mengelirukan rakyat melalui perjuangan Melayunya.

Jika Ayah Pin dan pengikutnya boleh diisytiharkan telah rosak akidah oleh Menteri Besar Terengganu, maka tidakkah pemimpin Umno juga telah lebih awal rosak akidahnya dengan perbuatan-perbuatan ini.

Nampaknya setengah pemimpin Umno juga turut perlu dihantar ke Pusat Pemulihan Akidah untuk proses penyembuhan. Jika Ayah Pin dituduh penakut apabila terus bersembunyi untuk berdepan dengan soal jawab mahkamah, apa wajarnya Umno untuk juga bersembunyi dan senyap sunyi apabila diminta oleh PAS untuk bermuzakarah?

Kembali kepada DEB, pada saya dasar tersebut akan gagal sekali lagi walaupun sedang ditiupkan rohnya untuk bernyawa semula. Ini kerana Umno meninggalkan Islam. Aspek Islam yang berkaitan di sini ialah pembelaan mesti dilakukan tanpa syarat asalkan rakyat itu miskin dan berhak mendapatkan bantuan.

Semangat Islam mudah saja iaitu menolong pihak yang lemah tanpa mengira kaum kerabat dan faham politik. Tanda-tanda kegagalan DEB era baru ini yang baru cuba diisytiharkan ini, pada saya dapat dibaca dari dua signal yang telah diangkat oleh Presiden MCA Dato’ Seri Ong Kah Ting dan Presiden Gerakan iaitu Dato’ Seri Lim Keng Yaik.

Walaupun saya tidak suka sebut perkara sejarah mengenai 13 Mei tetapi inilah bom jangka yang sedang menunggu kita. Jika AS boleh gagal di Iraq dan Afghanistan menggunakan undang-undang dan kekerasan, maka apa jaminan Umno untuk berjaya.

Hanyasanya, yang akan menyelamatkan Malaysia dan kita semua ialah keadilan bersumberkan peraturan dan keadilan daripada Allah S.W.T. Saya sesungguhnya tidak faham dengan ustaz-ustaz Umno.

Jika nasihat adalah teras kepada dakwah Islamiah, maka membinakah mereka apabila tidak menasihati kerajaan yang dipimpin oleh Umno ini? Saya cukup takut didakwa oleh Allah S.W.T. nanti sebagai manusia yang meruntuhkan agama sendiri.

“Perhatikanlah, betapakah mereka mengada-adakan dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata (bagi mereka).” (Surah An-Nisaa’: Ayat 50)

2 comments:

Anonymous said...

stupid comments, langsung tak ada pemikiran kritikal

Anonymous said...

apa yang stupid nya..?
sila jelaskan...