Tuesday, December 20, 2005

"PAS PILIHAN SAYA" -SH Al-Atas

KENAPA PAS PILIHAN SAYA KALI INI


Dalam hidup hari ini macam-macam boleh jadi walaupun siapa boleh sangka, memang tak terduga, saya boleh hadir di malam ‘Pelancaran Kelab Belia PAS’ di Pasir Mas pukul 9.30 malam. Hujan renyai-renyai di ‘musim winter’ di Kelantan. Saya bersama YB Husam Musa, Exco Kerajaan Kelantan tiba di luar bangunan yang penuh sesak dengan kereta, kira-kira 500 orang penyokong belia PAS sudah berada didalam dewan yang penuh sesak.

Di atas pentas ada orang yang berucap. Saya duduk di sebelah Haji Husam. Terasa benar tumpuan mata seperti lembing dan anak panah tersasar terhadap saya terutama bila saya terserempak juru kamera dari UMNO dan mereka yang datang untuk mendokumentasi kehadiran saya di atas pentas PAS.
“Saya peduli apa lagi pun saya bukan buat dosa”.
Sementara menunggu giliran saya berucap, ‘macam-macam’ benda bermain didalam kepala, “Allah Tuhan saya, Islam agama saya, Muhammad SAW Nabi saya, apa bezanya dengan mereka yang ada bersama saya malam ini? Mati nanti macam ini agaknya, nak jawab apa depan Tuhan bila ditanya marabbuka? Man Nabi yuka? Siapa Tuhan kamu? Siapa Nabi kamu?Siapa saudara kamu? Hendak berada di kalangan saudara Islam sendri pun takut? Rasa berdosa tentu belum merdeka jiwa.
Saya ini tentu banyak dosa, maklumlah ‘pengkritik’, tak ramai orang yang suka, dosa yang sengaja dan tak sengaja. Hendak masuk neraka takut, teringin hendak masuk syurga, kena kumpul banyak pahala. Saya serah ajelah diri bulat-bulat, buatlah apa mereka nak buat, suka hati merekalah. Sekurang-kurangnya saya ‘berani’.

Mudah-mudahan ‘dosa’ terampun oleh Tuhan bila mereka boleh maafkan saya. Baru rasa lapang, rasa lega bila ingat Tuhan. Kalau Tuhan kawan kita, musuh tak boleh buat apa-apa. Inilah susahnya manusia yang lebih takut apa orang lain kata dari takut menderhaka pada Tuhan.
Bayangkan anda di tempat saya, apakah tak berdebar bila terpaksa berdepan dengan mereka seorang diri? Kalau lemah jantung boleh rebah, apa lagi nak berucap, kalau mereka ludah aje ‘bachen muka’. Kalau semangat tak cukup kuat, mesti mulut tak boleh terbuka, yang boleh ternganga. Aduh seksanya, sabar ajelah. La illa haill lallah..... la illa haill lallah Muhammadar Rasulullah.
Untung saya ini selalu tengok wayang bila ada cerita yang boleh menguji minda. Tengok wayang itu ‘membaca’. Saya takut tak ‘membaca’, membaca itu perintah Tuhan. Tak membaca macam mana mengaku ‘ahlil kitab, ahlul sunnah wal jamaah’? Berkat ‘membaca’ cerita dari filem ‘TROY’ tergambar dalam ingatan.
Boy : The thessolonian you are fighting, he’s the biggest man I ve ever seen, I wouldnt wana fight him.
Achilles : That’s why no one will remember your name


Seandainya saya tak beranikan diri naik atas pentas PAS, siapapun tak akan ingat saya. Mahathir jadi hebat kerana berani lawan orang besar. Hidup Melayu yang bersemangat Jebat.Sokong PAS pun takut, mati katak ajelah, bisik hati kecil saya.
Bagaimana mahu membawa perubahan, mahu menimbulkan ‘kejutan minda’, mahu berkongsi pengalaman dengan pembaca kalau saya seorang yang ‘penakut’? Kita hidup dalam negara demokrasi. Manusia ‘penakut’ ibarat kambing. ‘Ribuan kambing disembelih setiap hari siapa pun tak peduli, seekor harimau ditembak mati berita tersebar ke seluruh negeri.’ Inilah kata-kata yang membakar semangat saya untuk memberanikan diri.


Pemerintahan
Dr. Mahathir mencetus idea untuk pusat pemerintahan kerajaan di Putrajaya sebagai kediaman rasmi Perdana Menteri untuk semua bakal Perdana Menteri Malaysia, bukan untuk dia seorang saja. Apa bezanya Tok Guru mencetuskan Bandaraya Islam? Apakah untuk orang Islam di Kelantan saja ke? Macam orang tua yang menanam pohon durian.
Syukur saya kepada Allah kerana telah memberikan saya keberanian untuk keluar dari kepompong UMNO di mana saya telah mengurungkan diri saya begitu lama. 22 tahun dengan Tun Mahathir, 2 tahun dengan Pak Lah ‘letih’, cukuplah. Masakan sekali naik atas pentas PAS, orang UMNO hendak marah-marah?

Anwar Ibrahim mantan Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri naik atas pentas PAS, pentas Keadilan, dua-dua dia main sambil main mata dengan UMNO. Marah itu musuh utama manusia yang tersembunyi didalam dirinya sendiri. Nabi Muhammad SAW berpesan “jangan sekali-kali marah”
Sampai bila saya mahu jadi ulat didalam kepompong UMNO? Apa salahnya sekali-sekali saya jadi kupu-kupu. Masyarakat dapat tengok saya terbang, biarlah masyarakat yang menilai, biar zaman yang menjadi hakim. Kalau tak berani menggugat masakan kita tahu nilai diri kita? Kalau ada yang ‘benci’ tentu ada yang ‘sayang’. Alhamdulillah.
Pasti ada orang yang akan menyamakan saya seperti Datuk Ibrahim Ali, Putra Katak. Sekurang-kurangnya Putra Katak ada ‘maruah’. Selagi hidup selagi melawan. Sampai bila kita mahu jadi ‘anak budu’, ikan tidak, katak pun tidak, jadi budu pun tak apa, ‘budu sedap’.
Katak pun bukan sebarang katak,
Katak datang dari hutan,
Bijak bukan sebarang bijak,
Bijaksana laduni dari Tuhan.

Malaysia adalah sebuah negara Islam, apa salahnya saya bantu Nik Aziz mendirikan Bandaraya Islam? Tok Guru ada ‘mission’ dan ‘vision’, dia tak cakap seperti orang lain yang cakapnya tak serupa bikin. Rancangan jangka panjangnya sudah dimulakan, dia bina sekolah agama di Pulau Melaka dan rata-rata rakyat negeri Kelantan ‘berniaga’. Orang berniaga selalunya ‘cerdik’. Mereka tahu apa erti ‘untung’ ‘rugi’. Orang ada didikan agama tahu dunia, tahu akhriat.

Visi Tok Guru Nik Aziz bukan angan-angan Mat Jenin yang ‘retorik’. Bukan saya kata Nik Aziz bina Islam. Setakat ini Kelantan saja di bawah kepimpinan Tok Guru yang juga Mursyidul Am PAS yang ‘berani’ buat Bandaraya Islam. Ini zaman kebangkitan Islam, sama ada kita bantu atau tidak, siapa pun tak boleh halang jadual Allah. Islam seperti bunga yang sudah berputik tunggu masa untuk kembang.

Bandaraya
Mudah-mudahan nama saya akan tercatit didalam sejarah, saya pernah bersama Tok Guru semasa dia membangunkan Bandaraya Islam. Jadi batu ‘kerikil’ dibawah kayu yang menjadi penyangkut ‘rel’ pun jadilah. Bukan semua orang boleh jadi ‘kepala keretapi’, ada yang jadi gerabak, jadi roda, jadi satu ‘skru’ pun ada juga sumbangan untuk Islam. Seorang perempuan ‘sundal’ masuk syurga kerana adanya perasaan belas kasihan, kasih sayang kepada seekor anjing. Inikan pula kasih sayang dan pengorbanan kita terhadap Tok Guru yang mahukan sebuah Bandaraya Islam.
Saya tak mahu jadi Abu Lahab, Abu Jahal, mereka keluarga Rasulullah dari kaum ‘Quraish’, bapa saudara Nabi yang menentang Nabi Muhammad SAW semasa baginda mahu membangunkan Islam, mahu membina bandaraya Islam yang pertama ‘Madinatul Munawwarah’. Saya dari Bani Hashim mesti sanggup berkorban nyawa sekali pun untuk bersama mereka yang mahu membangunkan semula Islam. ‘Islam’ bukan milik PAS, bukan milik UMNO, bukan hak milik orang Arab. Siapa saja yang sudah mengucap “La illa ha ill lallah Muhammadar Rasulullah” wajib menyumbangkan sesuatu untuk Islam.
Islam akan hidup subur seperti dizaman silam bila ada kasih sayang, ada sifat pemurah, berani membela, berani berkata benar, berani menegakkan keadilan, cintakan Allah dan Rasul, seperti di antara ‘muhajirin’ dan ‘ansar’.
Nik Aziz memang memperjuangkan Islam bukan setakat jadi Menteri Besar, dia menulis, dia mengajar, dia ada sekolahnya sendiri. Dia disegani, ramai yang sudah tengok ‘karamah’ yang ada padanya seperti karismatik, aura karamah ini bukan ada pada semua pemimpin.

Saya mula kenal hati budinya dari sifatnya yang sederhana, sebaik-baik perkara adalah yang ditengah-tengah (sederhana) – Hadis.

Mangsa
Saya berdiri atas pentas PAS cuma hendak mengingatkan pemimpin tindakan ‘membunuh’ semangat penulis yang menjadi mata, telinga dan suara rakyat, mahu membunuh demokrasi kerana penulis adalah ‘pembela’ biarpun mereka bukan pemimpin. Bukan pasal tak boleh jual buku atau tak dapat layanan VIP saya sokong parti lain atau mahu mencari ‘recognition’ yang setimpal.

Kita orang Islam buat kerja harus ‘Lillahhi Taala’ bukan kerana mengejar pangkat, layanan istimewa atas untuk mendapatkan penghormatan orang.

Saya bimbang kita akan jadi seperti Singapura, tidak ada kebebasan akhbar. Singapura di kuasai oleh ‘nyonya’ isteri Gen Lee Shen Leong anak Lee Kuan Yew Perdana Menteri Singapura.Apakah tak mustahil Negeri Cik Siti Wan Kembang, akan dijajah oleh Nyonya Singapura, wanita terkaya dan paling berkuasa di Asia.


Merungut
Rata-rata ke mana kita pergi orang ramai merungut terutama para kontraktor Melayu ‘gulung tikar’ lingkup. Susah nak jumpa yang senang.

Mereka mahu rakyat kenang budi kerajaan, kepimpinan melalui teladan. Penulis seperti arwah Khalid Jefri mati, tak seorang pun pemimpin UMNO yang pergi.Manusia yang tak pandai berterima kasih pada manusia sama seperti tak bersyukur pada Tuhan. Bersyukur dengan yang sikit Tuhan tambah, jika tak tahu syukur dilaknat. Nikmat Tuhan yang macam mana lagi yang mahu kamu dustakan?
Buku politik tidak dibenarkan dijual di dalam PWTC, dalam kedai buku pun tak boleh, menunjukkan pemimpin UMNO tak tahu kenang budi. Melayu adalah bangsa yang pandai mengenang budi, tahu berterima kasih.
Manusia boleh berubah, sekali air bah sekali pantai berubah. Kenapa di umur ‘subsidi’ ketika ada pemimpin PAS masuk UMNO, saya tinggalkan BN yang memerintah Malaysia ikut Tok Guru yang sekadar Menteri Besar Kelantan aje? Tak untung di dunia, untung di akhirat. Hidup jangan ingat duit aje, mati dalam kubur seorang diri, dunia sudah hampir kiamat. Tsunami di Acheh dan Pakistan baru bunga-bunga aje.
Kita mesti berubah ke arah yang lebih baik. Sebaik-baik manusia adalah yang boleh memberi manafaat kepada sebanyak-banyak manusia - hadith.

Saya merasa diri bersalah, banyak dosa dan perlu ‘bertaubat’, sampai bila hendak cari salah pembangkang aje? Satu jari menunjuk ke arah orang, 3 jari menunjuk ke diri sendiri, saya muhasabah diri.
Memang ramai pemimpin UMNO yang masih tidak mahu berubah dari dahulu sehingga sekarang. Yang ketara berubah, di Pengkalan Pasir Datuk Najib Tun Abdul Razak, tidak hilang bisa ular yang menyusur diakar. Najib menunjukkan sikap rendah diri, menegur, menyapa semua orang, bagi orang UMNO yang rapat dengannya sentiasa ada ruang bertemu dan bertukar-tukar pandangan, akhirnya beliau mendapat sokongan padu dari atas hingga ke akar umbi.
Pengundi di Pengkalan Pasir dan Kelantan memberikan isyarat bahawa mereka tidak senang dengan pemimpin UMNO yang belagak sombong, tamak dan bakhil, mereka tidak mahu perubahan di Kelantan, mereka mahu sikap pemimpin UMNO berubah. Jauh di sudut hati mereka, ‘hati’ yang diberikan keutamaan, mereka bukan tidak mahu kemajuan tetapi bila melihat gelagat sebilangan pemimpin UMNO, mereka naik benci dan akhirnya naik marah kepada UMNO.
Dulu saya sokong Mahathir membuat Jambatan Pulau Pinang, Proton Saga, Pandang Ke Timur kemudian Putrajaya, masakan saya tak boleh tolong Nik Aziz membangunkan Bandaraya Islam di Pantai Timur? Kenapa masih ramai orang sayangkan PAS kerana perjuangan PAS untuk Islam.
Saya beritahu orang PAS, masalah mereka bukan barangan, bukan ‘product’. PAS mempunyai barangan yang terbaik, ‘Islam’. Masalahnya PAS tidak mempunyai jurujual yang ada ‘kelas’, tak hebat dan ‘packaging’ yang tak menarik, kurang iklan.

Hari ini politik Malaysia sudah macam politik Amerika, sudah canggih ‘airtime’, media masa, kecergasan orang yang akan memimpin PAS seperti kita mahukan satu pesawat udara, pertama kita kena fikir apakah kita sudah mempunyai kaptain udara bukan kaptain bahtera lama, bagaimana dengan enginnya?
Pentas
Mudah-mudahan penghijrahan saya ke atas pentas PAS biarpun sementara ia dapat membuka ‘minda’ pemimpin di kedua-dua pihak untuk memikirkan bahawa ‘politik Melayu’ sudah ke peringkat ‘bottle neck’.

Islam suruh kita berhijrah sebab itu ramai rakyat Kelantan suka berhijrah. Dengan berhijrah kita akan ingat dan sayang kampong halaman dan tanah air kita sendiri. Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah. Orang kita hendak hijrah pemikiran pun takut.
Saya tak gunakan pentas PAS untuk menghentam pemimpin UMNO. Saya tahu di Pengkalan Pasir yang bergaduh adalah antara para pemimpin UMNO dengan pemimpin UMNO, bukan dengan PAS.
Bayangkan Tan Sri Hussein Serama, 15 tahun jadi Ketua Penerangan UMNO, mereka ‘tak peduli’. Rasa ‘tak peduli’ inilah yang menimbulkan kemarahan rakyat terhadap pemimpin. Orang Kelantan marah terhadap Annuar Musa bukan UMNO.
Saya naik atas pentas PAS kerana ikut jejak langkah Tun Dr. Mahathir. Tun dulu pun pernah duduk atas pentas PAS, ‘berkat’ pentas PAS, dia kekal 22 tahun. Macam-macam dilakukan oleh pemimpin UMNO dan pembangkang untuk menjatuhkan Tun. Tun tetap unggul. Lagipun kawan saya Dinsman sudah jadi orang Tok Guru.
Saya bukan macam Mat Sabu dan lain-lain penceramah PAS yang pandai berpidato, menulis lain, menulis sudah jadi kerja saya berpuluh tahun. Saya sudah menulis mengenai Tok Guru Nik Aziz 13 tahun yang lalu. Cuba baca ‘Memo Kepada Perdana Menteri’ 1992. Tapi tidak berdepan dengan orang ramai di pilihanraya yang nampaknya saja ‘kecil’ tapi ibarat tsunami politik yang belum muncul.

Rezeki
Kalau tak jual buku tulis pasal pemimpin UMNO pun saya ‘tak lapar’. Tuhan yang beri rezeki bukan UMNO atau sesiapa pun, saya belajar dari kitab Imam Habib Abdullah bin Alwee Al-Hadad yang mengajar kita supaya ‘takut’ hanya pada Allah dan jangan menaruh harapan pada sesiapa selain dari Allah.
Sebenarnya soal ‘merajuk’ atau ‘marah’ kerana tak dapat sesuatu bukan dijadikan alasan untuk membantu Tok Guru. Bila hati sudah kasih, bila sudah timbul rasa kasihan mendengar penderitaan Tok Guru mengenai anaknya Nik Adli yang menjadi mangsa ISA, tak dapat tanduk, telinga di pulas, saya tak ada pilihan. Nasi lemak buah bidara, sayang Tok Guru aku turutkan buang Pak Lah tinggalkan kawan kerana Tok Guru aku lakukan.
Bagi mereka yang telah membaca kesemua 47 buah buku-buku politik yang telah saya tulis, mereka tentu menyedari betapa ramai pemimpin politik yang pernah disokong dalam buku sebelumnya, kritik dalam buku yang terkemudian dan juga sebaliknya. Saya memang tidak pernah mahu dilabelkan sebagai penulis yang menjadi alat individu atau orang perseorangan seperti ‘orang Musa’, ‘orang Ku Li’, ‘orang Pak Lah’, ‘orang Najib’. Saya mahu jadi orang suruhan Tuhan yang taat.
Inilah susahnya manusia ‘materialistik’ yang sudah bertuhankan duit, takut berkata ‘benar’. Takut dengan pemimpin, takut denganbini, dengan orang ramai, takut hantu tapi tak takut dengan Tuhan. Takut dengan Allah bukan lari dari Allah tapi makin medekatkan diri dan hanya berharap pada Allah. Itu sebab saya tak takut berkata benar atau kekal menyokong orang tertentu. Orang hendak kata, hendak kutuk pun katalah, yang penting saya tak jadi katak bawah tempurung atau katak bawah kaca tapi katak yang berani berhijrah.

Ketaksuban
Buku politik adalah menyamai dunia politik dan manusia politik. Dalam erti kata yang sebenarnya, tidak ada ketaksuban dalam politik. Tidak ada musuh atau sahabat yang kekal dalam perkampungan politik. Yang ada cuma kebenaran yang berkekalan. Apabila kita menyuarakan suara ‘kebenaran’, kita menyuarakan suara Tuhan. Inilah paradigma dan sandaran kepada semua tulisan saya, baik dalam buku mahupun dalam rencana-rencana saya. Rasulullah SAW suruh kita berkata benar biarpun kebenaran itu pahit.
Ambil saja contoh ketika Dr. Mahathir masih menjadi Perdana Menteri, saya memberikan pujian kepada Mahathir bermula dengan buku Siapa Selepas Musa (1981). Lima buku selepas Pemuda Di Zaman Mahathir (1982), Tuah Nasib Pemimpin Melaysia (1983), Perdana Menteri Yang ke-5 (1984) terus memberikan sokongan kepada mantan Perdana Menteri ketika itu.

Pada tahun 1985, saya menerbitkan buku Hantu Bukit Cina yang mengkritik hebat Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik yang merupakan tokoh muda yang disayangi dan dipersiapkan oleh Dr. Mahathir. Justeru umum merasakan sokongan terhadap kepimpinan mula mengendur.
Pada tahun berikutnya dalam buku Musa Derhaka, saya terus mempertahankan Dr. Mahathir. hingga ke tahun 1987, ketika krisis kepimpinan Dr. Mahathir berada di kemuncaknya. Saya tetap mempertahankan Dr. Mahathir dan setiap mereka yang mengganggotai Team A berlawan dengan Team B. Dalam buku Challenger Siapa Lawan Siapa, buku yang turut menjadi faktor kepada kemenangan Team A itu akhirnya menyebabkan saya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Nasib saya ketika itu tak banyak beza dengan arwah Khalid Jeffry, waktu itu saya tak nampak seorang pun pemimpin UMNO dari Team A yang sudi menjenguk apatah lagi memberi sokongan moral atau wang apabila Mahkamah memerintahkan saya membayar sekian banyak wang kepada Musa Hitam. Semuanya sudah jadi sejarah.

Pendirian
Saya sentiasa mengingatkan pembaca tentang pendirian saya ketika zaman Mahathir “UMNO tak penting, Dr. Mahathir tak penting, saya tak penting. yang penting hanyalah kebenaran”. Benar itu baik, Allah cintakan kebenaran. Tidak dapat dinafikan betapa ‘kebenaran’ adalah penting di dalam semua hal. Namun kebenaran dalam politik adalah sesuatu yang subjektif. Dalam politik tidak ada ‘kebenaran’ yang hakiki seperti juga dasar UMNO yang pragmatik.

Oleh kerana dasar parti yang memerintah boleh berubah, seperti juga kebenaran dalam politik dan pendirian ahli-ahli politik maka apa yang nak dihairankan jika saya mengubah pendirian terhadap parti mana yang nak disokong?

Politik adalah seni serba mungkin. Di tangan penulis politik kemungkinannya cukup besar untuk berubah bila pemimpin tidak lagi menghormati dasar tempat pengikut bersandar. Apalagi bila pemimpin sudah tidak berprinsip dan hilang moral.
Bagi sesetengah pembaca (terutamanya yang tak pernah membaca buku saya atau membaca sekadar satu dua buah buku, atau mungkin juga satu dua bab, atau cuma mendengar gawat-gawat perihal saya) perubahan sokongan dalam pilihanraya kecil ini memberikan ‘kejutan besar’ bagi mereka. Ada yang ‘terperanjat beruk’ dengan perubahan sokongan yang diisytiharkan oleh saya secara terbuka.

‘Terperanjat beruk’ inilah yang telah menjurus kepada beberapa komen yang bersifat keberukan, dengan ‘bahasa’ yang mungkin hanya ‘beruk’ yang diajar bercakap saja tahu menggunakannya dan dengan daya ‘keintelektualan’ seekor beruk yang melatah bila kena geletek atau terkejut. Berucap mesti pandai buat kejutan minda antaranya adalah bila saya katakan saya sendiri pun ‘terkejut’ tapi bukan ‘terkejut beruk’.
Pergerakan membebaskan Al-Aqsa dimulakan dengan sebelum Salahuddin berjaya menyiapkan tenteranya untuk menembusi benteng orang Kristian, Al-Ghazali telah mendirikan sekolah-sekolah untuk membangkitkan kesedaran dikalangan umat Islam membina sekolah.

Sebelum berhijrah ke Madinah, Muhajir telah berada di bawah madrasah Rasul SAW selama 13 tahun. Ini yang dilakukan oleh Tok Guru selaku ulama pewaris Nabi membuat sekolah dulu sebelum membangunkan Bandaraya Islam.

Kalau saya kecewa atau marah pada UMNO, itu hak saya. Saya manusia biasa, sekurang-kurangnya saya telah cipta sejarah 22 tahun dengan Tun dan dua tahun dengan Pak Lah, tak cukup ke? Kenapa tamak sangat? Kalau saya nak sokong PAS sekarang, itu pun hak saya.

Tanya penulis buku di Malaysia mana ada yang jadi kaya kerana tulis buku. Pemimpin UMNO yang kaya raya, pandainya minta buku percuma. Kalau puji hendak beli satu pun susah. Tuhan suruh membaca. Kita ada dua mata, dua telinga, kiri dan kanan, tengok kiri, tengok kanan. Jangan hidup pakai sebelah mata saja.

No comments: