Saturday, July 15, 2006

MAHATHIR JUGA PERLU JAWAB....

Soalan Untuk Mahathir
Marilah kita bersama mengumpul soalan untuk ditanya kepada Mahathir. Soalan 1 – 22 adalah dari majalah The Edge, manakala soalan 23 – 39 adalah dari Malaysiakini. Selepas cukup 100 soalan, kita boleh hantar kepada Tun Mahathir di Yayasan Perdana.

1. Tentang kerajaan yang bersih. Tun mula menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981 dan memperkenalkan slogan 'bersih, cekap dan amanah'. Apa yang telah Tun lakukan untuk merealisasikan slogan tersebut? Adakah Tun telah memastikan agar Badan Pencegah Rasuah menjadi lebih bebas dan efektif? Sudahkah Tun memastikan agar pasukan polis dan kehakiman menjalankan tugas mereka dengan betul dan mengurangkan amalan rasuah di dalam menjalankan tugas? Adakah Tun juga memastikan bahawa setiap Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri tidak memiliki sebarang pendapatan selain daripada pendapatan yang sah untuk mereka miliki? Berapa ramaikah 'jerung' yang telah ditangkap kerana kesalahan rasuah sepanjang tempoh perkhidmatan Tun yang panjang itu? Apa sebenarnya yang terjadi kepada 'bersih, cekap dan amanah'?

2. Kebebasan akhbar. Kritikan Tun terhadap kerajaan yang memerintah mendapat liputan meluas di media-media tempatan berbanding ketika Tun memerintah dahulu, kritikan dua bekas Perdana Menteri terhadap Tun telah 'dibisukan' daripada tersiar di dada akhbar-akhbar utama. Editor-editor di suratkhabar yang berkaitan dengan UMNO juga telah disingkirkan ketika Tun memerintah, kerana tidak akur pada arahan yang Tun berikan. Apa sebenarnya yang telah Tun lakukan terhadap hak kebebasan akhbar?

3. Proton. Tun memilih untuk meneruskan juga Projek Kereta Nasional pada tahun 1983 walaupun ramai pakar yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, terutamanya dalam konteks rendahnya 'economies of scale'. Bukankah benar jika dikatakan bahawa keuntungan yang diterima oleh Proton sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu ini diperoleh daripada harga jualan yang tinggi yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia sebagai 'subsidi' kepada Proton? Bukankah ini juga bermakna rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban semata-mata kerana ingin membeli kereta bagi mengatasi masalah akibat sistem pengangkutan awam yang tidak cekap? Dan yang terbaru, adakah perlu untuk Proton menggadaikan wang bagi membeli kepentingan di dalam sebuah syarikat pengeluar motorsikal Itali yang ternyata bermasalah sedangkan Proton sendiri tidak mampu mengeluarkan kereta-kereta yang kompetitif?

4. Industri berat. Kenapa Tun memilih untuk terlibat dalam indutsri berat seperti besi waja dan simen dalam tahun 80an, hingga sanggup mengenepikan kajian yang mengesyorkan agar kita membangunkan industri bahan semulajadi? Bukankah keputusan Tun ini telah menimbulkan masalah yang sangat besar dan menyebabkan negara menanggung kerugian berbillion ringgit?

5. Populasi. Kenapakah begitu beria-ia menggalakkan Malaysia mencapai populasi 70 juta dan menukarkan nama Lembaga Perancangan Penduduk Negara kepada Lembaga Pembangunan Penduduk Negara? Apakah Tun tidak berfikir bagaimana ibubapa yang miskin ingin menjaga dan membesarkan lima, enam atau lebih anak-anak? Apakah bentuk kehidupan yang akan mereka berikan kepada anak-anak mereka?

6. Immigrasi pendatang. Kenapakah Tun membenarkan begitu ramai rakyat asing, terutamanya dari Indonesia, untuk berimigrasi ke Malaysia dengan cara yang tidak sah dan sangat tidak teratur sehinggakan hari ini, terdapat lebih ramai pendatang haram dari pendatang yang sah, yang jumlahnya hampir atau lebih dari dua juta orang? Adakah Tun tidak sedar bahawa ini akan mengakibatkan masalah sosial yang teruk?


7. Tentang TPM Tun yang pertama. Lebih kurang 5 tahun selepas Tun menjadi PM, wujud perselisihan yang seriua antara antara Tun dan Tun Musa Hitam. Apakah agaknya punca perselisihan ini? Adakah kerana Tun terlalu membuli dan keras kepala dan tidak pernah ingin berbincang dengan anggota Kabinet Tun?


8. Tentang perpecahan serius dalam UMNO yang pertama. Apabila Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa mencabar Tun dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba di Perhimpunan Agung UMNO 1987, wujud perpecahan yang serius di dalam UMNO. Namun akhirnya Tun menang walaupun dengan jumlah undi yang amat tipis (761 berbanding 718). Tapi yang menyedihkan ialah, kenapakah Tun tidak cuba untuk memulihkan keadaan ini selepas tamat pemilihan dijalankan? Sebaliknya, Tun singkirkan mereka yang kononnya menetang Tun baik di dalam UMNO mahupun UMNO Baru hingga menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.


9. Operasi Lalang. Kenapakah Tun perlu memilih jalan penyelesaian ini pada tahun 1987, menggunakan kuasa penahanan di bawah ISA dengan sewenang-wenangnya dengan menahan 100 orang, menutup empat syarikah akhbar dan mewujudkan gelombang ketakutan di kalangan rakyat? Adakah Tun ingin memastikan agar Tun kekal berkuasa dengan menggunakan tekanan dan kezaliman?

10. Sistem Kehakiman. Apakah motif Tun menyingkirkan Ketua Hakim Negara dan beberapa Hakim Mahkamah Agung pada tahun 1988, dengan alasan mereka telah melakukan salahlaku kehakiman? Adakah kerana untuk kekal berkuasa, Tun memerlukan barisan Hakim yang lebih taat menurut perintah, yang akan membuat keputusan yang tidak akan mengancam kedudukan Tun di dalam beberapa kes yang sedang berjalan di mahkamah? Adakah ini, langkah Tun yang pertama untuk menggugat peranan Sistem Kehakiman sebagai satu sistem 'check and balance' terhadap undang-undang dan kuasa eksekutif? Apa pula komen Tun terhadap pandangan ramai yang telah berkali-kali dikemukakan, termasuk dari bekas Ketua-Ketua Hakim, yang melihat tindakan tersebut sebagai punca terjejasnya kebebasan dalam sistem kehakiman?


11. Pendidikan. Tun merupakan indivisu utama yang bertanggungjawab terhadap sistem pendidikan tatkala pendidikan melalui proses transformasinya yang utama. Pertama, ketika menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 70an dan kemudiannya semasa menjadi Perdana Menteri. Jadi, adakah tepat juga jika dikatakan bahawa Tun jugalah yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan kualiti sistem pendidikan negara sepanjang tempoh tersebut? Kenapakah Tun tidak menambahkan peruntukan dari segi wang dan tenaga demi memastikan agar sistem pendidikan kita lebih cemerlang dan semakin bertambah baik sebaliknya lebih cenderung untuk membelanjakan wang kepada projek-projek 'unggul'? Kenapakah Tun membenarkan sistem Sekolah Kebangsaan kita, yang merupakan tempat yang terbaik untuk semangat kesatuan dipupuk, berpecah belah sehinggakan hari ini, 90% daripada mereka yang belajar di Sekolah Kebangsaan datang hanya dari satu kaum dan mereka yang lain telah memilih untuk keluar?

12. Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. Apakah istimewanya Tun Daim sehinggakan Tun memberikan beliau begitu banyak kuasa? Dan sehingga hari ini, Tun belum lagi memberikan penjelasan yang memuaskan, mengapa beliau memilih untuk meninggalkan kerajaan buat kali keduanya? Adakah ianya ada kaitan dengan penggabungan secara paksa terhadap bank-bank? Kenapa juga agaknya kerajaan membeli semula Malaysia Airlines System (MAS) pada harga RM8 sesaham pada tahun 2000 daripada Tan Sri Tajuddin Ramli sedangkan harga pasaran sebenarnya lebih rendah daripada separuh daripada jumlah yang dibayar?

13. Kronisme dan naungan. Adakah Tun sebenarnya memang menggalakkan kronisme dan naungan dengan memberikan projek-projek besar dan utama kepada hanya beberapa individu tertentu yang berada dalam kelompok tertentu? Individu seperti Tan Sri Halim Saad (the Renong Group – jalan bertol, telekomunikasi dan pelbagai lagi), Tajudin ( Mobile telephone, group TRI dan MAS), Tan Sri Amin Shah Omar (the failed PSC Industries- multi billion ringgit naval dockyard contracts) and Tan Sri Ting Pek Khiing (Ekran – the Bakun Dam), merupakan hanya sebahagian dari beberapa nama yang perlu disebutkan…

14. Penswastaan. Kenapakah Tun membenarkan penswastaan berlaku dengan cara yang menyebabkan bahagian operasi kerajaan yang paling menguntungkan juga diberikan? Jalan bertol telah dijanjikan dengan kenaikan harga tol dan saguhati walaupun jumlah jangkaan kenderaan yang melalui jalan tersebut tidak ditepati. Pengeluar tenaga bebas diberikan kontrak yang menjanjikan mereka keuntungan walaupun menyebabkan TNB terpaksa menanggung beban.

15. Tun Ghafar Baba. Walaupun Tun Ghaffar yang mendapat undi yang tertinggi di dalam pemilihan Naib Presiden ketika Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri pada tahun 1976, Tun juga, yang pada ketika itu mendapat undi yang terendah, dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri. Namun, Tun Ghaffar tetap patuh untuk menjadi Timbalan Tun pada tahun 1986, apabila Tun Musa meletakkan jawatan. Malah Tun Ghafaar membantu Tun memenangi pemilihan Presiden selepas itu. Tapi adakah Tun dan penyokong Tun melakukan perkara yang sama apabila Tun Ghaffar dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan Timbalan Presiden pada tahun 1993? Bukankah itu juga boleh dianggap sebagai menikam dari belakang? Bagaimana pula dengan Tun Hussein, orang yang bertanggungjawab menjadikan Tun Perdana Menteri? Beliau meninggal dunia bukan sebagai ahli umno kerana beliau tidak sanggup menyertai UMNO baru yang Tun gagaskan.


16. Datuk Seri Anwar Ibrahim. Adakah tindakan Tun menyingkirkan beliau berpunca kerana Tun merasakan bahawa beliau adalah ancaman kepada kedudukan Tun pada tahun 1988? Adakah Tun telah menggunakan keseluruhan jentera kerajaan dengan sesuka hati Tun semata-mata agar DSAI dihukum? Adakah Tun merasakan bahawa beliau telah diberikan perbicaraan yang adil? Bersetujukah Tun jika dikatakan bahawa negara melalui zaman yang cukup menyeksakan hanya semata-mata kerana perselisihan dan perebutan kuasa antara Tun dan DSAI?

17. KLIA. Adakah sememangnya amat perlu untuk kita membelanjakan RM 10 billion ringgit untuk membina sebuah lapangan terbang 'mega' di sepang sedangkan Lapangan Terbang Subang boleh diperbesarkan dengan sewajarnya?

18. Putrajaya. Apakah agaknya alasan Tun membelanjakan RM20 billion ringgit untuk membina sebuah pusat pentadbiran kerajaan sedangkan pada waktu itu, ruang untuk membina lebih banyak pejabat masih ada di Kuala Lumpur? Bukanlah lebih wajar untuk wang sebanyak itu diperuntukkan untuk perkara yang lebih baik seperti menambahbaik sistem pendidikan negara?

19. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Kenapakah Tun tidak mengambil usaha untuk menambahbaik prestasi GLC-GLC? Kenapakah Tun membenarkan tabung-tabung seperti KWSP dan Kumpulan Wang Amanah Pencen melabur di dalam pelaburan-pelaburan yang tidak terjamin kedudukannya? Akibatnya, kerugian yang besar, ratusan jika tidak ribuan juta ringgit, terpaksa ditanggung.

20. Islamisasi. Di hujung pentadbiran Tun, selepas tragedi Tun bersama DSAI, Tun telah mengkritik elemen-elemen ekstrim di dalam Islam, kononnya ia telah menguasai institusi-institusi kerajaan dan melakukan perkara-perkara yang memisahkan orang Islam dengan orang bukan Islam. Tapi bukankah Tun yang memulakannya dengan Dasar 'Menyerap Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran Negara' 1981 di mana Tun telah menyerapkan Anwar ke dalam untuk membantu Tun memperkenalkan dasar ini? Dan kenapa pula Tun mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sedangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri jelas menerangkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara secular memandangkan komposisi penduduknya yang berbilang kaum dan agama? Adakah Tun cuba menukarkan dasar yang telah ditetapkan oleh pemimpin yang terdahulu?

21. Approved Permits (AP). Tun terang-terang menunding jari menyalahkan Dato' Seri Rafidah Aziz dalam hal AP ini. Singat kami, Tunlah yang melantik beliau sebagai Menteri di Portfolio tersebut dari tahun 1986 sehinggalah Tun meletakkan jawatan pada tahun 2003 dan seingat kami juga, Tun tidak pernah sekalipun merungut atau mengambil tindakan terhadap isu pengeluaran AP oleh Menteri atau kementerian tersebut. Malahan, ketika beliau sibuk dikaitkan dengan kontroversi peruntukan saham bumiputera, Tun mengambil pendirian untuk menyebelahi beliau. Jadi, kenapakah perkara AP ini menjadi isu sekarang? Jika Tun menyatakan bahawa Tun tidak dimaklumkan tentang perkara ini selama ini, apakah mesej yang ingin Tun sampaikan kepada kami sebenarnya?

22. Politik wang. Kenapakah politik wang (usaha membeli undi) menjadi isu yang amat besar tatkala Tun menjadi Presiden UMNO? Kenapakah Tun kelihatan begitu lemah sehingga tidak mampu melakukan apa-apa terhadapnya sedangkan jalan penyelesaiannya saya kira amat mudah?

23. Apakah asas yang telah dipertimbangkan oleh Tun untuk menjemput Sadeq Mustaffa, seorang warga Libya-Amerika, ke Malaysia untuk menubuhkan InventQJaya Sdn Bhd dan juga memberikan beliau geran berjumlah RM440 juta? Apakah faedahnya kepada Malaysia dan adakah Malaysia telah menerima faedahnya?

24. Apakah justifikasi sebenar terhadap keputusan menswastakan perusahan-perusahaan milik kerajaan yang mencatatkan keuntungan seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional dan Pos Malaysia?

25. Apakah asas yang dipertimbangkan apabila memberikan Indah water Konsortium satu konsesi untuk menguruskan sistem kumbahan Negara? Bolehkah Tun tolong jelaskan pemberian pinjaman berjumlah RM1.4 billion kepada IWK yang jelas memiliki kerugian tidak terganti (irrecoverable losses)?

26. Tun bukan main lagi menyindir dan mengecam Khairy Jamaluddin. Tetapi tidakkah Tun juga membantu anak Tun dengan 'menyelamatkan' Konsortium Perkapalan Berhad (yang pada ketika itu dimiliki oleh Mirzan) yang pada ketika itu juga menanggung hutang sebanyak RM1.7 billion, dengan menggunakan dana dari Petronas? Bukankah Kerajaan Malaysia di bawah pemerintahan Tun yang telah yang telah memaksa Malaysian International Shipping Company (MISC) untuk membeli aset-aset Konsortium Perkapalan Nasional?

27. Bukankah Kerajaan Malaysia di bawah pemerintahan Tun juga yang telah menjual Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), tanpa sebarang tender terbuka, kepada tajuddin Ramli, yang pada rekodnya, tiada sebarang pengetahuan atau kemahiran langsung untuk meguruskan sebuah syarikat penerbangan? Kenapakah pula Kerjaan kemudiannya memilih untuk 'menyelamatkan' Tajuddin dengan membeli semua saham-saham MAS pada harga RM8 sesaham walhal nilai saham tersebut hanyalah RM3.60 di pasaran saham?

28. Bukankah Kerajaan di bawah pimpinan Tun juga yang telah 'menyelamatkan' Time Dotcom Bhd yang sedang serabut menanggung hutang berjumlah RM5 billion? Bukankah keputusan ini telah menyebabkan kerajaan menggunakan wang berjumlah RM904 juta dari Kumpulan Wang Amanah Pencen untuk membeli 273.9 juta saham Time Dotcom yang tiada permintaan yang secara automatic menyebabkan kerugian serta merta sebanyak RM 280 juta?

29. Bukankah Kerajaan Tun juga yang telah memaksa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli 81.6 juta saham Time Dotcom yang diperuntukkan untuk orang awam yang tidak dibeli, pada harga RM3.30 sesaham padahal ketika urusniaga tersebut dijalankan, harga saham tersebut hanyalah antara RM1.95 dan RM2.10 sesaham, yang mengakibatkan kerugian serta merta berjumlah RM 100 juta?

30. Bukankah Tun juga memilih untuk 'menyelamatkan' Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn Bhd (Putra) yang dimilki oleh Renong dan Sistem Transit Aliran Ringan Sdn Bhd (Star) dengan menggunakan hampir RM600 juta, juga dari KWSP yang menyebabkan KWSP terpaksa melupuskan (write off) RM135 juta dengan kerugian saham berjumlah RM96 juta?

31. Tidakkah Kerajaan Tun juga yang telah menganugerahkan Konsesi Lebuhraya Utara Selatan kepada UEM (yang kemudiannya menubuhkan PLUS) dan kemudian pula memberikan pinjaman berjumlah RM1.6 billion, kepada mereka yang merupakan separuh daripada harga tender projek tersebut iaitu RM3.2 billion? Apakah agaknya justifikasi Kerajaan pada ketika itu untuk memberikan PLUS terma-terma yang begitu 'murah hati' yang turut termaktub di dalamnya, kenaikan kadar tol secara tahunan dan jaminan terhadap jumlah kenderaan yang menggunakan?

32. Apakah pula justifikasi Kerajaan di bawah pimpinan Tun pada tahun 1998 untuk menganugerahkan kontrak berjumlah RM24.3 billion kepada PSC Industries Berhad, dengan wang pendahuluan sebanyak lebih RM2.5 billion untuk membina bot rondaan laut (naval patrol boats)? Kenapakah juga agaknya mereka diberikan hak eksklusif untuk menyelenggara kesemua bot-bot TLDM? Apakah betul bahawa dua kapal pertama yang dibina oleh PSCI telah gagal melepasi ujian sebelum penyerahan (pre delivery trials)? Bagaimanakah agaknya Tun hendak menjawab pendedahan yang dibuat oleh Public Account Committee (PAC) bahawa Kerajaan terpaksa menanggung sebanyak RM120 juta hanya untuk menyelamatkan dua buah kapal ini ketika ia hendak disiapkan setelah dibina selama kira-kira tujuh tahun?

33. Apakah pula asas terhadap pemberian kontrak kepada Ekran Bhd untuk membina Empangan Janakuasa Hidroeletrik Bakun di Sarawak? Kenapa pula agaknya, Kerajaan kemudian mengambil alih projek pembinaan empangan tersebut hanya untuk menyelamatkan Ekran dengan bayaran sebanyak RM200 juta atas 'kerja-kerja yang telah disiapkan'?

34. Apakah pula penjelasan Kerajaan di bawah pimpinan Tun terhadap usaha Maminco untuk menguasai London tin market yang mengakibatkan Maminco akhirnya kerugian RM150 juta?

35. Bukankah Kerajaan di bawah pimpinan Tun yang telah mengecam dan begitu marah dengan George Soros serta lain-lain pedagang matawang dan pengurus dana? Tetapi mengapakah Kerajaan ketika itu, pada masa yang sama terlibat dengan spekulasi pasaran matawang asing yang akhirnya menyebabkan Bank Negara menanggung kerugian hampir RM9.3 billion?

36. Berapakah jumlah kerugian yang ditanggung oleh Perwaja Steel dan berapakah jumlah dana awam yang telah digunakan untuk menanggung kerugian ini?

37. Apakah asa yang dipertimbangkan oleh Kerajaan sehingga dengan menggunakan wang cukai rakyat, memaksa Tenaga Nasional untuk menerima terma-terma yang sangat tidak adil dalam pembelian tenaga daripada pengeluar-pengeluar tenaga bebas (independent power producers)?

38. Apakah justifikasi Kerajaan menswastakan 'medical stores' milik kerajaan kepada Southern Task Sdn Bhd yang kemudiannya telah menaikkan harga-harga ubat?

39. Dan mungkin elok juga kalau Tun berkongsi dengan kita semua Rakyat Malaysia, berapakah agaknya jumlah wang Petronas yang telah digunakan sepanjang pemerintahan Tun untuk usaha-usaha 'menyelamat' syarikat, projek dan individu serta yang digunakan terhadap projek-projek yang tidak mendatangkan hasil?

Cyberluncai: UMNO TETAP SAMA........DULU, KINI TETAP MENYUSAHKAN RAKYAT....

No comments: