Thursday, June 02, 2005

Fokus perebutan Timbalan Presiden PAS

Fokus perebutan Timbalan Presiden PAS:
PERTANDINGAN DI ANTARA ‘AYAH’, ‘ABANG’ DAN ‘ADIK’


oleh Mohd Sayuti Omar

Sekarang ini persis sudah sahih, bahawa jawatan timbalan presiden Pas akan berlaku pertandingan tiga penjuru. Pengunduran Datuk Haron Din kerana keuzuran menjadikan jawatan itu yang mulanya diusahakan agar tidak berlaku pertandingan kini terbuka semula.

Tiga orang yang menawarkan diri setakat ini; Senator Hassan Shukeri, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Hassan Shukeri dari awal lagi bertegas untuk mempertahankan jawatan itu. Manakala Nasharuddin membuat pengumuman ingin bertanding dan Abdul Halim pada hari berikutnya.





klik untuk mengetahui lanjut
Senator Ustaz Hassan Shukri
klik untuk mengetahui lanjut
YB Dato’ Ustaz Haji Abd Halim Abd Rahman
klik untuk mengetahui lanjut
YB Ustaz Haji Nasharudin Mat Isa

Kebetulan saya mengenali ketiga-tiga mereka itu. Cuma nilai pengenalan saya itu berbeza di antara satu sama lain. Hassan Shukeri saya kenal sejak lebih 25 tahun lagi. Pada persepsi saya Hassan orang lama di dalam Pas yang setia dan utuh di dalam perjuangan.

Begitu juga Abdul Halim Abdul Rahman, saya mulai ‘berkawan’ dengannya sejak tahun 1979 lagi. Saya mesra dengannya sewaktu beliau menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan. Kenangan paling manis saya dengannya ialah apabila saya menumpang keretanya untuk memerhati muktamar Pas di Dewan Bahasa Pusataka, tahun 1978.

Pada saya Abdul Halim seorang ahli politik yang sedarhana dan tidak gemar kepada kontroversi. Beliau disifat ahli politik yang hemah mewarisi kepimpinan Datuk Mohd Asri Muda (Allahyarham).

Bekas Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan itu juga mempunyai daya ketahanan mental yang tinggi. Boleh menerima kritikan dan senyum walaupun jauh di lubuk hatinya pedih dan terkilan. Penulisan buku “Tiga Abdul” oleh saya menguji akan nilai dan kewibawaan beliau sebagai pemimpin. Halim seorang pemimpin yang boleh dikritik dan tahan diuji.

Nasharuddin Mat Isa walaupun baru, tidak sampai 10 tahun saya mengenalinya namun saya boleh dikira akrab dengannya. Mungkin kerana faktor usia di mana beliau tidak jauh bezanya dengan saya. Baik saya atau dia lebih senang kalau untuk duduk bercakap soal-soal perjuangan dan sebagainya berbanding Hassan dan Halim.

Persepsi saya, Nasharuddin seorang pemuda yang boleh bergerak jauh. Kedudukannya sebagai Setiausaha Agung menjadikan dia mendahului masa. Jawapan itu telah menjadikan sebuah universiti kepadanya membolehkan beliau mengenali seluk-beluk politik. Ternyata percubaan Pas meletakkannya sebagai Setiausaha Agung tidak mengecewakan Pas.

Kelebihan Nasharudin berbanding dengan dua lagi calon timbalan presiden itu beliau mempunyai hubungan ‘diplomatik’ yang luas dengan dunia luar. Kesempatan ini menjadikan beliau seorang anak muda yang telah menjajahi banyak benua.

Secara umumnya mereka bertiga boleh disifatkan sebagai satu keluarga dan kenalan rapat saya. Jika dibuat ‘salasilah’ dan urutan, Hassan boleh dianggap sebagai ayah, Halim sebagai abang dan Nasharuddin adik. Jadi pada saya, pertandingan itu adalah pertandingan di antara tiga beranak; ayah, abang dan adik; di mana keadaan sukar untuk dibuat pilihan.

Kalau saya sebagai perwakilan, sukar untuk memilih yang mana satu. Saya akan menjadi serba salah. Apakah saya perlu ketepikan ayah yang luas dan banyak pengalaman untuk mengambil si abang? Atau saya akan memilih si adik dan membelakangkan si abang yang tentu lebih berpengalaman daripada si abang atau si ayah?

Susah! Namun hakikat keputusan kena buat juga. Jawatan itu hanya memerlukan seorang manusia sahaja. Walaupun sukar atau kekok ia perlu juga diputuskan. Justeru untuk membuat pemilihan itu ia memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam.

Tegasnya ia bukan boleh dibuat berdasarkan sentimen atau darah daging. Mungkin soal kenal dan juga sentimen kawan atau sebagainya boleh di ketepikan. Apa yang penting ialah memilih mereka yang relevan dengan masa dan dapat membawa kebaikan dan perubahan kepada parti pada masa akan datang.

Ada beberapa aspek yang boleh dijadikan ukuran di dalam hal ini. Di antaranya ialah:

1. Mengenai wibawa, termasuk wawasan, karektor dan juga ilmu pengetahuan. Ini perlu bagi menjamin untuk kemajuan dan kematangan parti.
2. Populariti baik di dalam parti ataupun di luar parti. Ciri-ciri ini penting bagi menjamin penjawat jawatan itu dihormati dan disegani oleh masyarakat luar.
3. Track rekod atau pun jasa dan khidmat bakti mereka. Kebetulan ketiga-tiga calon itu ada tugas dan tanggungjawab masing-maing adalah elok kalau fail perkhidmat mereka dibuka untuk melihat sumbangan mereka kepada parti selama ini.


Apapun di sini yang paling perlu ditekankan bahawa pertandingan itu hendaknya tidak akan merosakkan perpaduan di dalam parti. Siapa sahaja di antara mereka menang hendaklah diterima sebagai pemimpin pilihan jemaah. Sebaik-baiknya jadikanlah soal pertandingan itu sebagai suatu ‘excercise mental’ sahaja dan bukannya pertandingan fizikal seperti mana kata Abdul Halim Abdul Rahman itu.


Gambar: tiga calon timbalan presiden untuk Muktamar tahun ini.

Saya yakin kalau semua ahli Pas sepakat untuk berpegang kepada prinsip itu, pertandingan berkenaan tidak akan menimbulkan masalah sampingan malahan, akan lebih menjadikan politik dan demokrasi di dalam Pas lebih subur menghijau di masa akan datang.

No comments: