Friday, June 24, 2005

Umno parti cari makan – Tan Sri Samad Ismail

Penyakit politik wang yang sedang melanda Umno pernah disifatkan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Dr Haji A. Samad Ismail sebagai penyakit parti di mana orang menumpang hidup atau orang boleh menumpang cari makan.



Beliau menyatakan demikian di dalam wawancara bertajuk Money Politics Penyakit Parti Yang Berkuasa yang diusahakan oleh wartawan Majalah Era, Marzuki Ibrahim pada 1 Jun 1985.
Kini Umno heboh dengan tindakan terhadap ‘ikan besar’nya yang dikaitkan dengan politik wang yang sebenarnya rasuah dalam pemilihannya yang lalu.

Naib Presiden Umno paling kanan, Tan Sri Isa Samad sedang disiasat Lembaga Disiplin parti itu.

Bersama-sama dengannya adalah tujuh anggota kanan parti itu yang akan dipanggil tidak lama lagi dan khabar angin menyebutkan juga seorang Naib Presiden Umno, Dato’ Wira Mohd Ali Rustam tetapi pegawainya menafikan perkara itu.

Bagaimanapun ramai yang bimbang ia hanya gimik atau selepas Isa tidak sebulu dengan kepimpinan Umno yang ada.

Tan Sri Dr A. Samad terlibat di dalam dunia kewartawan selama lebih 46 tahun sejak 1941 berusia 16 tahun dan terakhir sebagai Penasihat Editorial Berita Harian pada 1987. Beliau adalah guru kepada beribu-ribu wartawan di Malaysia.

Selama terlibat di dalam bidang kewartawan, juga bergiat aktif di dalam dunia kesusasteraan negara dan politik tanahair, beliau telah sempat dipenjarakan sebanyak tiga kali termasuk di bawah ISA.

Namun begitu namanya dibersihkan dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1 Ogos 1987.

Menurut muqadimah rencana itu, pendedahan Perdana Menteri (ketika itu), Dr Mahathir Mohamad tentang money politics dalam Umno memang bagus malah sudah tiba waktunya hal seperti itu dibongkar.

“Hal itu sebenarnya sudah lama dibicarakan dan diketahui oleh kita semua tetapi tiada siapa yang berani atau yang mahu dan bersuara terus-terang seperti Dr Mahathir Mohamad.

“Money politics adalah penyakit parti yang berkuasa, parti yang pegang tampuk kerajaan, parti yang besar, gagah. Money politics ialah politik parti yang besar, pasti yang kukuh dan gagah, parti di mana orang yang menumpang hidup atau orang boleh menumpang cari makan,” tegasnya di dalam wawancara itu.

Beliau juga berkata, parti yang ditimpa penyakit politik wang adalah ibarat orang kaya yang mengalami berbagai-bagai jenis penyakit seperti darah tinggi, jantung dan kencing manis.

Rencana itu boleh dilihat dengan lebih lanjut lagi di dalam buku A. Samad Ismail Ketokohan dan Kewartawanan muka surat 334 yang diselenggarakan oleh A. Karim Haji Abdullah terbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia pada 1991.

Menurut Tokoh Wartawan Negara yang pernah juga menjadi Penasihat Jabatan Penerangan PAS khususnya Wartawan Harakah, penyakit politik wang itu hanya boleh dibenteras oleh ahli-ahli Umno sahaja.

Tokoh Melayu Cemerlang yang baru dianugerahkan oleh Umno, Prof Diraja Ungku Aziz mempersoalkan, “kenapa politik wang itu tidak dipanggil sahaja sebagai rasuah politik?.”

Bekas Timbalan Perdana Menteri di bawah empat perdana menteri, Tun Ghaffar Baba pula menyifatkan Umno sebagai parti ‘gajah berkaki plastik’ yang menampakkan keburukan dan penyakit yang hanya menunggu masa sahaja untuk rebah pada bila-bila masa.

Bagi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pula, jika pada dadah digalakkan rakyat memanggilnya sebagai najis dadah, adalah lebih baik pada rasuah pula dipanggil tahi rasuah.

Cyberluncai: Umno sedang menuju kehancuran.....

No comments: