Tuesday, October 18, 2005

BPR MESTI SIASAT ISA SAMAD

Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) menyeru supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menjalankan penyiasatan terhadap segala pertuduhan yang dikenakan ke atas Tan Sri Isa Samad sehingga beliau terpaksa meletak jawatan.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dalam kenyataannya juga mendesak agar kerajaan tidak campur tangan dalam penyiasatan tersebut.
Perdana Menteri juga harus memberi jaminan agar tidak ada sebarang campurtangan dalam penyiasatan tersebut.

Ini adalah penting bagi menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh dalam melawan politik wang dan korupsi, katanya.

Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan selepas disahkan bersalah oleh Majlis Tertinggi Umno.

Beliau asalnya digantung keahlian Umno selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin Umno selepas bersalah membeli undi ketika pemilihan Umno yang lalu dikurangkan tempoh pergantungan kepada tiga tahun sahaja.

Menurut Tuan Chua, KeADILan menyambut baik perletakan jawatan Tan Sri Isa Samad sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Oktober lepas.

Perletakan jawatan itu masih mengekalkankan beliau sebagai Ahli Parlimen bagi parlimen Jempol.

"KeADILan mengambil pendirian bahawa Isa sepatutnya bukan sahaja meletak jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan tetapi juga sebagai Ahli Parlimen.

"Memandangkan Isa akan kekal sebagai seorang ahli parlimen, ini memberi gambaran seolah-olah parlimen tidak mengambil serius kesalahan korupsi dan politik wang," kata Tian Chua dalam kenyataannya.

Adalah tidak adil kepada rakyat Jempol apabila diwakili oleh ahli parlimen yang mempunyai masalah akhlak dan amanah, kata beliau.

No comments: