Thursday, September 22, 2005

ISU AP TIDAK SELESAI DENGAN SATU PELUKAN...

Bekas Perdana Menteri dan penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kontroversi yang menyelubungi permit import (AP) bagi mengimport kereta masih belum selesai kerana persoalan masih wujud mengenai bilangan besar permit yang dikeluarkan, tambahan pula hanya dua orang yang mendapat AP yang begitu banyak.


“(Dua) orang itu, setakat yang saya faham, memberikan AP itu kepada orang lain. Mereka tak buat apa-apa pun. Saya agak apabila mereka berikannya kepada orang lain, tentulah ada bayaran.

“Jika mereka terima bayaran, tentu banyak wang mereka dapat. Berapa banyakkah cukai (pendapatan) yang mereka bayar bagi keuntungan yang mereka raih?” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada seminar bertajuk “Success Mindset: Transforming Impossible To Reality” (Budaya Memikirkan Kejayaan: Mengubah yang Mustahil Menjadi Kenyataan”.

“Kalau nak bagi, bagi banyak oranglah. Ini bagi sampai 16,000 untuk satu orang atau semuanya lebih 30,000 untuk dua orang... sedangkan mereka yang ada bilik pameran dan menjalankan perniagaan kereta tidak mendapat satu pun,” katanya.

Beliau berkata, memberikan sejumlah besar AP kepada hanya dua orang, tidak membantu Bumiputera menjadi usahawan dalam sektor automotif.

Dr Mahathir berkata, senarai 337 orang Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen menerima AP seperti dikeluarkan semalam tak ada apa.

“Itu dasar. Ahli Parlimen layak dan orang lain juga layak kalau hendak mengimport kereta khas yang tak ada dijual di sini untuk kegunaan dirinya.

“Kalau ada orang hendak beli kereta untuk diri sendiri memang pun kita bagi AP dari dulu lagi, khususnya kalau kita punya diplomat nak balik sini dan bawa balik keretanya,” jelas beliau.

“Apa yang menjadi persoalan bukan isu AP, tetapi bilangan AP yang dikeluarkan.

“Kalau banyak kereta import dibawa masuk ke negara ini, kereta buatan tempatan tidak akan laris jualannya.

“Kita masih mempersoalkan jumlahnya, dan keduanya, kenapa begitu banyak AP diberikan kepada hanya dua orang,” tegasnya.

Dr Mahathir juga berkata beliau belum menemui Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berhubung isu AP, walaupun mereka bertemu pada sambutan Hari Kemerdekaan apabila Rafidah memeluknya dan menangis.

Kontroversi mengenai AP tercetus apabila Dr Mahathir, ketika membuat kenyataan mempertahankan Proton, mendakwa AP disalahgunakan hingga membolehkan kereta import diisytiharkan lebih rendah daripada nilai sebenar dan dengan demikian dibawa masuk dengan murah dan mewujudkan persaingan tidak adil bagi pembuat kereta nasional.

Rafidah menafikan dakwaan itu dengan berkata, Proton tidak memperlihatkan prestasi baik dalam pasaran seberang laut.

Dr Mahathir kemudian meminta senarai penerima AP diumumkan dan berikutan itu Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan senarai pertama penerima AP. (Petikan BERNAMA)

Cyberluncai: Inilah wajah sebenar umno.....mereka bergaduh sesama sendiri kerana 'harta'. Mereka yang mulanya bukak pekung sendiri.....Tapi yang pasti, rakyat jelata jugak yang tertindas....

No comments: