Thursday, September 15, 2005

MERDEKA 48: UMNO (baru) PARTI PERASAN DAN SYOK SENDIRI...?

Oleh: MGG Pillai

UMNO yang ada sekarang, lebih dikenali sebagai UMNO Baru, merupakan sebuah parti politik yang tidak bertanggungjawab memerdekakan negara ini. UMNO yang membawa kemerdekaan itu telah lama terkubur pada 1987, mengikut perintah mahkamah, dan di tempatnya telah diwujudkan UMNO Baru. Penubuhan UMNO Baru itu telah direncana oleh para pemimpin UMNO yang terkubur itu. Mereka ini masih berkuasa lagi dan merekalah yang mengarahkan Pendaftar Pertubuhan untuk menolak pendaftaran UMNO yang dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra.
Tunku telah membuat permohonan itu beberapa hari sebelum munculnya satu permohonan untuk mendaftarkan UMNO Baru yang dikemukakan oleh TKT Mahathir. Permohonan beliau telah diterima. Secara kebetulan, pengasas UMNO, Dato’ Onn bin Jaafar, dan anak lelakinya yang menjadi Perdana Menteri juga (Hussein Onn) dan Presiden parti itu yang ketiga dan keempat telah dikebumikan tanpa mereka menganggotai UMNO Baru. Bendera UMNO Baru adalah berukuran yang berbeza dengan dimensi bendera UMNO; tetapi sekali pandang, ia kelihatan serupa.


Satu ketika dahulu telah berlaku satu pilihan raya kecil di Johor Baru. Ketika itu panglima perang UMNO Baru Dato Shahrir Samad telah bertanding sebagai seorang calon bebas tetapi dengan sokongan padu orang kuat UMNO (lama). Semasa itu Perdana Menteri yang ada sekarang ini, Paklah, telah memberitahu saya betapa air matanya berlinangan di pipi melihatkan dua barisan manusia yang bertemu di persimpangan menuju markas pencalonan di Johor Bahru. Dato Shahrir telah menang. Dia masuk menganggotai UMNO (Baru) dan menjadi wakil Parlimen UMNO Baru bagi Johor Baru.

Ada satu persoalan yang kerap dikemukakan oleh para diplomat, malahan orang-orang besar UMNO dan anggotanya apakah Paklah akan dicabar. Saya fikir dia akan dicabar juga. Dato Shahrir Samad akan merupakan calon terakhir seandainya tidak ada sesiapa yang mencabar Paklah. Paklah ialah Presiden UMNO Baru yang kini dipengaruhi oleh ramai panglima perang UMNO. Itu sebabnya Paklah tidak pun memecat dua orang panglima perang semacam itu daripada membarisi kabinetnya. Mereka adalah Isa Samad yang didapati bersalah bermain politik wang dan Rafidah Aziz yang bersalah memberikan lesen pengimportan kereta (AP) kepada anak menantunya yang menjanjikan pulangan bulanan sebanyak RM1.5 juta. (Ada orang berseloroh bahawa Rafidah seharusnya dipanggil Rafidah A/P Aziz.

Oleh kerana dua menteri ini tidak mahu melepaskan jawatan, mereka tidak pula digugurkan. Mereka berdua mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan Parlimen masing-masing. Isa di Linggi dan mungkin juga di Melaka. Rafidah di Kuala Kangsar. Paklah takut memecat mereka kalau-kalau mereka akan melompat menyokong kumpulan yang menentang Paklah dalam UMNO.

UMNO Baru ataupun parti politik UMNO, terus teguh semasa TKT Mahthir menjadi perdana menteri dan presiden parti. Itupun dia berhati-hati tidak mahu bertelagah dengan kumpulan panglima perang. Dia pernah melakukannya sebanyak dua kali. Pertama, semasa berlakunya pilihanraya kecil di Johor Bahru yang memenangkan Shahrir Samad (dan Shahrir berkemungkinan mencsabar Paklah pada 2007 nanti). Yang kedua ialah ketika memfitnah Anwar Ibrahim sebagai seorang sodomis dan memecatnya. Tetapi pada waktu yang sama Mahthir enggan menghadiri mahkamah yang membicarakan kes Anwar Ibrahim. Dato Seri Anwar telah membuktikan betapa dia masih mampu menarik sokongan rakyat dan sudahpun membuat pengumuman tidak lagi mahu menganggotai UMNO. Paklah memang berminat kalau Anwr menganggotai UMNO semula dengan syarat beliau sanggup menjadi timbalan perdana menteri.

Saya belum lagi bercakap dengan Dato Seri Anwar Ibrahim akan hal ini. Akan tetapi kemasukannya menganggotai UMNO akan merupakan titik bahaya kepada timbalan Presiden parti itu merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak. Saya fikir Dato Seri Anwar hanya akan menganggotai UMNO semula kalau diampunkan dan dia tidak akan memohon pengampunan itu. Ini bererti dia akan mencabar Dato Seri Najib Tun Abdul Razak.

Dalam senario ini Paklah tidak pula memikirkan apakah Dato Seri Anwar akan merupakan insan yang lebih berbahaya dalam kabinetnya berbanding Dato Seri Najib.

Ada satu versi yang saya dengar betapa Anwar akan menganggotai PAS sebagai Presiden parti. Apa pun, ini merupakan satu berita buruk kepada bekas Presiden UMNO merangkap mantan Perdana Menteri. Sebaik mendengar desas-desus itu beliau telah bangkit untuk membuat fitnah lagi terhadap Anwar. Apa pun yang akan Anwar lakukan dari segi perundangan, TKT Mahathir sudah pun kalah. TKT Mahathir akan dikenang oleh lembaran sejarah sebagai orang yang memecat Dato Seri Anwar Ibrahim dan bukan kerana segala khidmatnya. Kini dia berusia 79 tahun dan ternyata sudah mula berperang daripada belakang untuk menahan tindakan terhadapnya. Cuma dia sudah tidak ada kuasa lagi, seperti dahulu. Akan tetapi Mahathir masih mempunyai satu pengaruh politik yang besar terhadap Paklah dan sesiapa sahaja yang tidak menyenangi Paklah mudah berpaling mengekori bontotnya.

Kini, TKT Mahathir sudah kehilangan pengaruh dan kuasa di Malaysia. Malahan, pegawai yang tinggi-tinggi pun tidak lagi menghormati beliau. Mereka tidak fikir kepentingan merujuk padanya sebagai penasihat Proton, semasa CEO Proton, Tengku Mahaleel dipecat. Kerana naik angin Mahathir telah memulangkan semua kereta Proton yang telah dihadiahkan kepada beliau. Memang Mahathir sudah kehilangan banyak pengaruh. Dia menanggung nasib yang sama yang pernah dialami oleh Puan Indira Ghandi. Satu ketika dahulu Puan Ghandi telah menukar haluan Parti Kongres yang pernah dipimpin oleh bapanya dahulu sebagai sebuah pergerakan nasionalis menjadi parti politik yang kemudiannya memerintah India. Gara-gara tindakan itu dia meringkuk dalam penjara dan bertanggungjawab menjadikan parti ciptaannya menjadi sebuah parti pembangkang. Parti Kongres yang berkuasa di India sekarang merupakan ketua satu gabungan beberapa parti politik. Perdana Menteri di Dewan Utama ialah daripada Assam walaupun dia daripada kaum Sikh.

Di Jepun, Mr. Junichiro Koizumi berada dalam dilema yang sama dengan panglima perang partinya LDP. Dia telah mengambil langkah berani dan mengadakan pilihan raya umm. Dia menang besar kali ini kerana dia adalah lebih popular daripada partinya. Koizumi telah memberitahu semua panglima perang partinya dengan ugutan mahu menyingkirkan mereka seandainya mereka tidak menyokongnya. Kejayaannya itu telah mengecutkan pengaruh dan kuasa panglima perang dalam parti.

Media Barat telah menjadikan isu hangat perihal penswastaan Pejabat Pos sebagai penyebab diadakan pilihan raya umum itu. Tetapi dia akan meletakkan jawatan sebagai ketua LDP pada 2006. Dia mahu lakukan reformasi terhadap partinya dan bukan menswastakan pejabat pos. Di Jepun, birokrasi jalan merangkak, dan penswastaan pejabat pos tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam masa satu tahun.

UMNO Baru bukanlah semacam LDP. Tetapi Paklah telah pun menyergah rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan janji mengekalkan sesiapa sahaja yang kalah dalam pemilihan kedudukan ataupun jawatan dalam parti masing-masing, untuk terus memegang jawatan lama mereka (dalam kabinetnya).

Ramai anggota UMNO Baru yang memperjuangkan kemerdekaan, tetapi parti itu, yang dilahirkan pada 1987 tidak pun berbuat begitu. Presiden UMNO yang pertama, kedua dan keempat tidak menganggotai UMNO Baru dan telah marhum sebagai seorang rakyat Malaysia tanpa status sebagai anggota UMNO (Baru) Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sekarang ini yang merupakan anak lelaki kepada Perdana Menteri yang keempat, pernah melalak dan menyetujui satu resolusi setahun yang lalu, di mana sesiapa yang keluar daripada UMNO adalah seorang pengkhianat. Apakah dia memberitahu rakyat Malaysia bahawasanya datuk beliau Dato Onn Jaafar yang mengasaskan UMNO pada 1946 dan keluar parti pada 1951, dan bapanya Dato Hussein Onn adalah pengkhianat kepada perjuangan Melayu?

Pergerakan Pemuda UMNO sesungguhnya tidak ada hak mengeluarkan resolusi semacam itu kerana mereka tidak pernah terlibat dengan perjuangan asal UMNO. Sekali difikirkan lagi, resolusi pemuda UMNO itu mempunyai kesan yang sama terhadap rakyat Malaysia ataupun sejarah UMNO Baru yang boleh dipertikaikan. Ia menunjukkan betapa Pemuda UMNO tidak berpijak di bumi nyata. Ini merupakan satu isyarat awal betapa angin ahmar akan melanda UMNO Bharu, yang satu masa terdekat akan menghuni kerusi pihak pembangkang dalam Parlimen. Majlis Tertinggi UMNO Baru ataupun Presiden parti itu sepatutnya sudah memveto resolusi Pergerakan Pemuda UMNO itu. Resolusi itu adalah sesuatu yang serius dan kerana itu ia menjadikan UMNO Baru sebagai satu parti yang dianggotai oleh orang yang dungu.

No comments: