Friday, September 30, 2005

NAJIB JADI RAKUS...?

Dato' Seri Najib Tun Razak dikatakan sudah mula bersiap sedia menyusun langkah mengambil alih kepimpinan negara berikutan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kini dilaporkan sedang menghadapi krisis kepimpinan dan masalah peribadi.

Menurut sumber, Timbalan Perdana Menteri itu kian diasak penyokongnya, termasuk beberapa menteri kabinet, bagi membuat persiapan menghadapi kemungkinan ketuanya kehilangan arah jika masalah peribadinya mengatasi kepentingan negara.

Perdana Menteri dikatakan semakin hilang fokus terutama ketika penyakit isterinya dilaporkan kian serius dan ini menyebabkan Abdullah banyak bergantung kepada timbalannya untuk menjalankan tugas harian negara.

Situasi ketika ini, menurut sumber itu, jelas menunjukkan Abdullah sedang menghadapi masalah besar dan ia dapat dilihat apabila banyak isu-isu negara tidak dapat diselesaikan dan diletakkannya di tahap 'KIV', manakala para pegawai kerajaan juga dilaporkan sudah mula merungut.

"Ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan pentadbiran negara apabila banyak keputusan penting tidak diputuskan atau diputuskan dalam keadaan 'ad-hoc' atau secara tergesa-gesa," katanya.

Manakala sumber lain pula berkata, para perancang dan penasihat politik Najib ketika ini sedang membuat persediaan bagi menggerak dan meletakkan pegawai-pegawai di beberapa jawatan penting untuk mewujudkan satu 'support team' sekiranya apa yang diduga berlaku.

Malahan, kata sumber itu, majoriti anggota kabinet ketika ini sudah bersedia untuk menerima Najib bagi menerajui negara. (Umum mengetahui Najib mendapat dokongan kuat daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala gosip Abdullah mungkin menjemput Dato' Seri Anwar Ibrahim kembali menyertai Umno juga bertiup kencang).

"Sebaliknya orang-orang Abdullah sedang sibuk mengejar projek dengan beranggapan inilah masanya untuk mendapatkan apa yang diidamkan selama ini," dakwa sumber itu lagi.

Sehubungan itu, sumber yang dipercayai memihak kepada Abdullah itu berkata, beliau berharap Perdana Menteri segera melihat masalah yang menimpa rakyat, ahli-ahli Umno dan masyarakat peniaga yang sedang mengalami zaman gelap di bawah pentadbirannya.

Katanya, Abdullah mesti cepat berada setaraf dengan "harapan awam" sebelum rakyat mula membuat perbandingan kepimpinan beliau dengan kepimpinan Dr Mahathir serta kepimpinan Najib. "Abdullah mesti mempamerkan imejnya yang sebenar dan berdiri di atas kekuatan keperibadian dan ketulusannya," kata sumber itu.

Najib pula diharap tidak terlalu bernafsu untuk mengambil kesempatan di atas situasi sulit yang sedang menimpa Abdullah. "Mungkin kali ini giliran Perdana Menteri, lain kali giliran TPM pula menghadapi kesukaran," kata sumber.

Cyberluncai: sabar........takut tak sempat ke..? melepas jadi 'first lady'.....

No comments: