Saturday, September 24, 2005

UMNO PE'KELDAI'KAN BUDAK UNIVERSITI..(2)

"Tidak faham saya mengapa pentadbir kanan universiti yang bertaraf profesor dan bergelar "dato'" ini sanggup diperalat dan diperkakas sebegitu rupa."

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Bahagian Kedua

Meskipun sekadar mendapat maklumat sepintas lalu dan berjumpa sekali dua dengan sumber yang mendedahkan komplot Kementerian Pengajian Tinggi dan pentadbiran Hal Ehwal Pelajar 17 IPTA, saya sudah berani membuat kesimpulan bahawa pilihan raya kampus yang dijadual 29 September ini cukup memalukan sekali!

Hanya untuk memenangkan Kumpulan Pelajar Aspirasi pro-Umno, KPT dengan peneraju utama Dr Adham Baba dan Dr Muhammad Hussin bersekongkol bersama timbalan-timbalan naib canselor dan dekan HEP (yang sepatutnya menjadi bapa dan pelindung kepada semua pelajar IPTA), dan menghanguskan begitu banyak wang rakyat.

Prof dan Dato' sanggup diperalatkan

Tidak faham saya mengapa pentadbir kanan universiti yang bertaraf profesor dan bergelar "dato'" ini sanggup diperalat dan diperkakas sebegitu rupa, sementalahan pula mereka seperti diperbudakkan oleh beberapa penggiat politik BN, seperti wakil dari biro-biro pendidikan Pemuda Umno, Pemuda MIC, Pemuda MCA dan Puteri Umno.



Bayangkan, setiap minggu, selalunya pada malam Rabu, mereka, sejauh dari Kuching, Kota Kinabalu, Skudai, Sintok, Pulau Pinang, Kuantan, turun ke Kuala Lumpur (dan kebanyakan mesyuarat diadakan di Ibu Pejabat Umno Malaysia), meninggalkan tugasan lebih utama dan perlu, hanya untuk memerah otak (sebenarnya menerima arahan) mencari jalan supaya dalam pilihan raya kampus itu pelajar-pelajar bukan Aspirasi kalah teruk.

Malah satu seminar khusus dibuat, selama tiga hari, membabitkan semua TNC dan Dekan HEP ini, bersama pengetua dan felo kolej kediaman, dengan tujuan yang sama juga, yakni untuk memberi kemenangan mudah kepada calon Aspirasi pro-Umno, menggunakan duit KPT dan wang universiti, iaitu wang rakyat!

Dalam seminar itu pelbagai cadangan dan pandangan dilontarkan, termasuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti, juga bagi mempastikan tiada kumpulan pelajar propembangkang yang dapat menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Segala kekuatan dikerah untuk menangkan Aspirasi

Justeru, syarat-syarat baru dikemukakan, semuanya untuk mengetatkan lagi peraturan yang kalau boleh menyebabkan pelajar yang dikira propembangkang ini kalah sebelum bertarung.

Contoh paling menjolok mata ialah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), bilamana selepas tujuh tahun MPP universiti itu dikuasai oleh kumpulan pelajar yang tidak rela tunduk sepenuhnya kepada Umno, pihak pentadbiran sentiasa mencari helah, tahun ke tahun, dengan merubah syarat-syarat dan peraturan untuk menyertai pilihan raya, secara sewenang-wenangnya.

Sebab itu saya amat kagum dengan kesediaan pelajar tahun akhir Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi semalam bagi mendapatkan perintah membatalkan pilihan raya kampus berkenaan. Rupanya kesabaran anak-anak muda kita pun ada hadnya.

Macam komunis

Dalam suasana menekan dan budaya takut menyelubungi alam kampus, sikap Mozahiri Shamsuddin, 22, itu sekurang-kurangnya dapat membuka mata pihak luar bahawa di universiti tempatan hari ini, termasuk di universiti Islam, keadaannya tidak jauh berbeza dengan pemerintahan Stalin dan Lenin!

Mahasiswa dilayan lebih buruk daripada budak-budak sekolah jahat, kehormatan mereka diinjak-injak, malah pentadbir kanan dan utama, seperti Naib Canselor dan Rektor, menjatuhkan maruah mereka sendiri dengan turut berkempen untuk calon Aspirasi di saat-saat akhir, mengekori tindakan TNC dan Dekan HEP!

Apalah sangat yang hendak direbut dan diraih sehingga segala kekuatan, khususnya KPT dan Hal Ehwal Pelajar mahu dikerah bagi mendokong pelajar Aspirasi untuk menang dalam satu pemilihan pemimpin pelajar, yang sepatutnya diselia secara bebas, telus (juga tulus) dan jujur oleh KPT dan HEP sendiri.

Biarlah anak-anak muda itu bertarung, berpencak silat, mengadu akal dan budi, melakukan eksperimen terbaik, belajar berorganisasi secara matang; dan kita orang-orang tua, apatah lagi yang diamanahkan untuk memudahkan segala urusan mereka itu, sekadar memerhati, sesekali menunjuk ajar jika perlu, dari tepi gelanggang.

Hatta Pak Lah dan Najib, selaku presiden dan timbalan presiden Umno, boleh jika mahu, untuk turut membantu calon-calon Aspirasi, mengadakan mesyuarat di hotel-hotel lima bintang, menyewa pesawat khas, tapi dengan syarat, jangan sesekali menggunakan kemudahan dan dana awam, atau cuba campur tangan dalam pengendalian pilihan raya kampus.

Pelik dan bengong saya memikirkan hal ini. Cukuplah dengan "ketamakan dan kerakusan" Dr Adham Baba bersama Dr Muhammad Hussin; biarlah dua orang muda ini sibuk mengipas dan menunjuk jasa kepada tuan-tuan politik mereka. Jangan pula anda, wahai segala profesor dan dato'-dato' merendahkan diri anda dalam kedudukan sehina itu.

Kepada Pak Lah, mengapa dibiarkan "suasana kalut dan karut" ini berleluasa sehingga IPTA menjadi medan tempur yang tidak membawa faedah kepada mana-mana kelompok jua pun. Sindrom "tak ambil kisah" Pak Lah kini mencapai tahap berbahaya.

Kampus berterabur

Timbalan-timbalan naib canselor sudah bercakaran, ditambah dengan pertembungan terbuka antara TNC dengan Naib Canselor, dimarakkan dengan perselisihan antara TNC-TNC dari unit berbeza (misalnya HEP bertembung dengan pentadbiran atau akademik) dan di KPT, Dr Adham Baba pun tidak serasi dengan Dr Shafie Salleh. Budak-budak Aspirasi pula naik kepala apabila mereka dapat bermesyuarat bersama TNC dan Dekan HEP, yang kemudiannya mendapat imbuhan RM10,000 setiap satu IPTA.

Pak Lah ... berilah sedikit perhatian dengan keadaan kelam-kabut ini. Secara peribadi saya menganggap Pak Lah sudah melakukan satu jenayah besar dan terkutuk apabila menjadikan pilihan raya umum 2004 sebagai rekod terburuk dan terkotor dalam sejarah, tapi suasana di kampus-kampus pada hari ini lebih busuk dan hanyir lagi!

Seperti yang saya sebut dalam Siasah, kepada Mat Husin, "janganlah serius sangat sehingga darah pun sangup ditumpahkan!" Kawan-kawan saya yang dulunya begitu kritikal dengan kerajaan, sanggup berdemonstrasi dan bertembung dengan Menteri Pendidikan, turun membantu pembangkang dalam pilihan raya 1986, tetapi selepas keluar kampus, mereka adalah aktivis utama Umno! Jadi, apa nak dibimbangkan sangat dengan fenomena anak-anak muda ini.

Dedahkan sisi hodoh, meloyakan

Akhirnya, saya mencadangkan kepada semua pelajar-pelajar bukan Aspirasi, yang berhasrat untuk menawarkan diri sebagai calon dalam pilihan raya kampus minggu depan, pulaukan saja pemilihan yang dijalankan secara tidak bermaruah itu. Tapi anggapkan pemulauan itu sebagai langkah awal untuk memulihkan kembali proses demokrasi di kampus-kampus IPTA kita.

Langkah pelajar bukan Aspirasi di UIA yang tidak turut serta dalam pilihan raya kali ini sekali imbas mungkin dilihat merugikan mereka, kerana mereka seperti melepaskan kubu kuat itu secara mudah. Tapi dari aspek lebih luas, ia langkah penentangan terbuka secara berdepan, yang diharap membuahkan hasil positif untuk jangka panjang.

Dunia luar mesti disedarkan dengan perlakuan hodoh pentadbir HEP bersama KPT, yang diselaraskan oleh dua tiga kerat budak hingusan Umno ini, dan harus didedahkan secara meluas sisi-sisi buruk lagi meloyakan, yang selama ini terselindung dari pandangan pihak luar.

Saya bersedia memberi justifikasi lanjut ke atas cadangan saya itu dalam bahagian ketiga nanti.

No comments: