Friday, May 27, 2005

Beribu umat Islam berdemostrasi kutuk Amerika

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) - Dengan slogan 'Amerika (AS) Syaitan', 'AS Biadap', 'Jahanam AS', dan 'Jangan Hina Agama Kami', negara yang mendabik dada sebagai kuasa besar dunia itu terus menerima kutukan daripada umat Islam negara ini.

Selepas beberapa siri perhimpunan termasuk di Masjid Kampung Baru, kali ini di hadapan bangunan kedutaan AS, Jalan Tun Razak, umat Islam melaungkan 'takbir' sekuat-kuatnya, sambil mengeluarkan kata-kata dengan sepanduk-sepanduk yang dibawa serta membakar bendera AS itu bersama negara sekutu mereka, Israel sebagai tanda bantahan.


Kemarahan umat Islam itu adalah rentetan daripada kebiadapan tentera mereka menghina al-Quran di Kem tahanan Guantanamo Bay, namun apa yang diluahkan pada hari ni bukan sekadar itu, malah turut meliputi pencerobohan AS di Afganistan,dan Iraq serta penderaan para tahanan Islam yang ditawan mereka tidak pernah dipersetujui oleh umat Islam.

Sambil dipimpin oleh Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Ali; Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mohd Isa; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat , Hj Mohammad Sabu, Dr Hatta Ramli, Dr Zulkifli Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang demonstrasi hari ini bermula daripada Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat dan menuju terus ke bangunan Kedutaan AS yang terletak lebih kurang 200 meter sahaja.

Dengan sokongan daripada beberapa badan Bukan Kerajaan (NGO), para peserta perhimpunan berjaya sampai di hadapan pintu bangunan kedutaan AS sebelum dihalang oleh pihak polis di situ.



Dalam jarak tidak sampai 20 meter dari pintu masuk bangunan kedutaan itu, para peserta perhimpunan telah diawasi oleh ratusan anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di samping tiga buah kenderaan 'water cannon' yang kelihatan dalam keadaan bersiap sedia.

Namun tiada sebarang insiden tidak diingin berlaku kecuali 'drama kecil' tolak menolak antara Hj Muhammad Sabu dengan seorang pegawai polis dan kemudiannya keadaan menjadi terkawal.

"AS pasti akan tumbang dalam satu tempoh yang tidak begitu lama daripada sekarang", laung Muhammad Sabu dengan suara garangnya sambil disambut dengan laungan 'Allahu Akbar' oleh orang ramai.

Beliau memulakan ucapan dalam perhimpunan itu dengan kata-kata kerasnya terhadap AS tanpa berselindung dan mengingatkan AS supaya tidak terlalu angkuh dengan kuasa yang ada pada mereka.

"Tiada agama yang boleh dihina di atas muka bumi ini, masing-masing berhak mengamalkan agama yang dianuti, kami dengan agama kami dan kamu dengan agama kamu," kata beliau.

Siri ucapan bantahan terhadap AS kemudiannya diteruskan oleh Ustaz Nasharuddin. Beliau membacakan memorandum rasmi PAS kepada Presiden Bush sementara di sudut lain pula kelihatan Dato' Dr Hasan Ali cuba menyerahkan memorandum tersebut kepada pihak kedutaan tetapi hanya mampu sampai ke pintu pagar sahaja.



Para peserta yang berdemonstrasi pada hari ini kelihatan seperti tiada tanda-tanda mahu bersurai.

Dalam suasana tersebut, Ustaz Ahmad Awang mengajak orang ramai membaca beberapa ayat al-Quran untuk menegaskan bahawa al-Quran adalah kitab yang perlu dipertahankan oleh umat Islam.

Selain itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayob juga turut mengambil bahagian dalam siri ucapan dengan melaungkan peringatan- peringatan paling keras kepada AS.



"Kami sangup mati demi al-Quran", katanya sambil diulangi beberapa kali oleh orang ramai.

Selepas itu, setelah Dr Hasan Ali selesai menghantar memorandum beliau telah kembali ke tengah orang ramai sambil menyampaikan ucapan dengan mengatakan bahawa perhimpunan pada hari ini hanyalah salah satu daripada siri-siri bantahan jalanan yang pastinya tidak akan berakhir sekiranya AS terus mengkotak-katikkan Islam dengan sikap sombong dan angkuhnya.

No comments: