Saturday, May 14, 2005

Mahathir + TV3

Saudara/Saudari Norizan Md Nor,

Assalammualaikum.

Bukankah Anwar Ibrahim telah menerangkan bahawa tuduhannya itu bukannya baru? Ia adalah ulangan kepada tuduhan yang dibuatnya dalam tahun 1999 melalui kenyataan bersumpahnya di dalam mahkamah. Pada ketika itu, Mahathir Mohamad tidak pula menafikan dan memanggil tuduhan itu fitnah. Kenapa baru sekarang?

Lagi satu, bukankah Mahathir Mohamad telah mengaku bahawa beliau memang memegang saham tersebut tetapi bukan untuk dirinya sendiri? Saham tersebut mengikutnya dipegang bagi pihak UMNO. Jadi soal tuduhan itu tidak benar atau fitnah tidak timbul kerana perkara itu telah pun diakui benar oleh Mahathir sendiri.

Berkaitan dengan hal ini dan berdasarkan pengalaman saya berkerja dengan seorang Ketua Menteri UMNO, UMNO walaupun sebagai sebuah parti politik ditegah oleh undang-undang dari terlibat di dalam sebarang perniagaan, sering kali mereka terlibat juga di dalam perniagaan dan pelaburan. Bagi mengelakkan penglibatan ini dari pengetahuan orang ramai dan penguatkuasa undang-undang berkenaan, UMNO melantik beberapa orang pemimpinnya sebagai pemegang amanah atau penama parti di dalam syarikat-syarikat perniagaan atau pelaburan mereka. Untuk mengdokumenkan perlantikan tersebut, suratan amanah atau trust deed di adakan di antara parti dan pemimpin parti berkenaan. Dalam pada itu, seringkali trust deed tersebut dibiarkan kosong sahaja dan tidak ditandatangani. Jelas ianya diadakan hanya untuk sebarang keperluan seperti BPR datang menyiasat sama ada perniagaan atau pelaburan berkenaan benar-benar kepunyaan UMNO dan pemimpin parti berkenaan hanyalah seorang penama atau pemegang amanah UMNO dan tidak melibatkan dirinya di dalam sebarang amalan korupsi/salahguna kuasa ATAU bank-bank datang menuntut hutang yang tidak dibayar ATAU ahli dan pemimpin parti lain mempersoalkan kesahihan pertalian tersebut. Apabila keperluan tersebut timbul, barulah trust deed berkenaan dimeterai untuk ditunjukkan sebagai bukti bahawa pertalian tersebut benar. Sesudah itu, trust deed tersebut sering dibatal dan digantikan dengan trust deed yang baru yang akan dibiarkan kosong dan tidak ditandatangani seterusnya sehinggalah keperluan lain yang serupa dengan di atas timbul pula.

Dengan adanya modus operandi perniagaan seperti yang diceritakan di atas, maka perniagaan dan pelaburan UMNO tersebut berbilangkali telah menjadi perniagaan dan pelaburan pemimpin parti yang dikatakan berperanan sebagai penama atau pemegang amanah itu juga. Bila menguntungkan, pemimpin parti berkenaan akan menganggap perniagaan atau pelaburan berkaitan kepunyaan beliau. Sebaliknya, bila merugikan, perniagaan atau pelaburan berkaitan dijadikan kepunyaan parti. Tidak ada ramai orang di dalam parti yang mengambil tahu akan kelalaian atau penipuan atau penyelewengan ini kerana ahli dan pemimpin lain kebanyakannya satu kepala, masing-masing dengan habuan mereka. Contoh yang jelas ialah perihal Allahyarham Dato' Harun Idris yang dikatakan rasuah kerana menyalahgunakan wang parti kerana wang parti dan wang sendiri sudah berkecamuk.

Dengan adanya pengakuan Mahathir Mohamad tersebut, persoalannya sekarang ialah sama ada benar atau tidak saham itu dipegang oleh Mahathir sebagai pemegang amanah atau penama UMNO pada masa tuduhan itu dibuat buat pertama kalinya oleh Anwar Ibrahim, yaitu dalam tahun 1999.Untuk memastikan hal ini, kita perlu melihat kepada apa-apa dokumen atau suratan amanah (trust deed) yang telah ditandatangani di antara Mahathir dan UMNO bagi melantik Mahathir sebagai pemegang amanah atau penama UMNO di dalam Real Mild Sdn Bhd, syarikat induk STMB atau TV3.

Jika trust deed itu tidak ada, maka Mahathir boleh diragui sebagai berbohong dan juga bersalah menyalahgunakan kuasa PM dan Presiden partinya untuk kepentingan diri.

Jika trust deed itu ada, kita perlu melihat pula kepada tarikh sebenar trust deed itu dimeteraikan sama ada sebelum, dalam tahun atau selepas 1999. Kalau trust deed itu telah dimeteraikan sebelum tahun 1999, maka Mahathir boleh dirumuskan bercakap benar. Jika tidak, sekali lagi beliau boleh diragui sebagai berbohong dan juga bersalah menyalahgunakan kuasa.

Walaubagaimana pun, memandang kepada trust deed sahaja tidak mencukupi untuk membuktikan sama ada Mahathir bercakap benar dan tidak bersalah atau sebaliknya dalam hal ini. Seperti yang telah diterangkan di atas, trust deed berkaitan boleh diubah-ubah dengan kerjasama beberapa konco di dalam parti bagi disesuaikan dengan keperluan semasa si bakal penyeleweng atau si bakal penipu. Begitu juga, sementara seseorang penyiasat menyelidiki hal ini, si bakal penyeleweng atau si bakal penipu boleh bertindak
melepaskan pegangan sahamnya kepada penama lain hingga merumitkan lagi penyelidikan. Fikirkan saja, di antara tahun 1999 dan tahun 2005, ada lebih kurang 6 tahun jarak masanya dan macam-macam boleh berlaku di dalam jangkamasa yang lama itu. Berkemungkinan besar, Mahathir telah memindahkan pegangan sahamnya di dalam Real Mild Sdn Bhd kepada penama atau pemegang amanah beliau ATAU penama atau pemegang amanah UMNO yang baru, sementelah pula beliau sudah pun pada gambaran luarnya bersara dari jawatan Presiden UMNO. Sesiapa yang mahu mencari kepastian terpaksa pula meneliti traksaksi dan pertalian di antara Mahathir dan pemegang saham berkenaan yang baru ATAU penama atau pemegang amanah UMNO yang baru, jika traksaksi tersebut benar-benar sudah berlaku.

Sebagai alternatif terakhir, jikalau kita masih mahu mencari kepastian dalam hal ini, kita hendaklah menganalisa akaun kewangan UMNO, Real Mild dan STMB/TV 3 bagi menjejak pengaliran hasil dividen atau sebarang penjualan saham TV3 tersebut dari TV3 ke Real Mild ke UMNO untuk dividen dan dari Real Mild ke UMNO untuk penjualan saham. Jika terdapat pengaliran hasil serupa itu ke kantung UMNO dengan secukupnya untuk keseluruhan masa berkenaan, maka bolehlah kita rumuskan Mahathir telah bercakap benar dan tidak bersalah. Jika sebaliknya tidak terdapat pengaliran hasil seperti itu sementara TV3 telah pun membayar dividen dan/atau Real Mild sudah pun menjual pegangan saham TV3nya, sama ada keseluruhan atau sebahagian darinya, maka sekali lagi kita boleh bertanya Mahathir Mohamad ke mana perginya hasil tersebut kalau tidak ke kantung UMNO dan tidak pula ke poket beliau.

Terpulanglah kepada ahli dan pemimpin UMNO yang perihatin akan hal ini untuk mendesak pimpinan tertinggi parti supaya mengadakan satu odit khas ke atas akaun TV3, akaun Real Mild dan akaun UMNO bagi mempastikan sama ada satu penyelewengan atau penipuan atau salahguna kuasa telah dilakukan oleh bekas Presiden parti mereka. SAYANGNYA, SEPANJANG PENGETAHUAN SAYA SUDAH SEKIAN LAMA PIMPINAN TERTINGGI UMNO TIDAK MEMBENTANGKAN AKAUN PARTI KEPADA AHLI-AHLI. APA SUDAH JADI KEPADA AKAUN UMNO? INI SAJA SUDAH MERAGUKAN!

Satu persoalan lain yang mahu saya bangkitkan berkaitan episod tuduhan Anwar ke atas Mahathir ini ialah sama ada UMNO walaupun sebagai sebuah parti politik dilarang melibatkan diri di dalam perniagaan oleh undang-undang negara, boleh pula membuat penglibatan tersebut melalui penama atau pemegang amanah sebagaimana yang telah disahkan oleh Mahathir bahawa TV3 itu kepunyaan UMNO. Setahu saya larangan tersebut adalah absolute dan sebarang parti politik tidak diberikan ruang untuk melakukan penglibatan tersebut dengan apa cara sekali pun. JIKA ANGGAPAN SAYA INI BENAR, MAKA MAHATHIR MOHAMAD BOLEH JUGA DITUDUH BERSALAH MENYALAHGUNAKAN KUASANYA SEBAGAI PM MERANGKAP MENTERI DALAM NEGERI DAN MENTERI KEWANGAN BAGI BUKAN HANYA MEMBENARKAN UMNO (DI MANA BELIAU ADALAH PRESIDENNYA LALU MENDAPAT FAEDAH SECARA LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG DARI PENGLIBATAN UMNO DI DALAM PERNIAGAAN) MELIBATKAN DIRI DI DALAM PERNIAGAAN TETAPI JUGA MEMBENARKAN DIRINYA DIJADIKAN KONDUIT BAGI PENGLIBATAN TERSEBUT LALU MEMBELAKANGKAN DAN MELANGGAR UNDANG-UNDANG NEGARA BERKENAAN. TIDAKKAH PENDAFTAR PERSATUAN ATAU POLIS ATAU BPR BOLEH BERTINDAK MEMBANTARAS PENYALAHGUNAAN KUASA SEPERTI INI???

AKHIRKATA, ANDAINYA MAHATHIR MOHAMAD BENAR-BENAR MAHU MEMBERSIHKAN DIRINYA DARI TUDUHAN ANWAR IBRAHIM TERSEBUT, BELIAU TIDAK MEMPUNYAI PILIHAN LAIN MELAINKAN MENYAMAN ANWAR DAN BBC UNTUK FITNAH YANG DIKATAKAN TELAH DILAKUKAN KE ATASNYA BAGI MENJATUHKAN KEWIBAWAAN, IMEJ, AIRMUKA DAN MARWAHNYA DIPERMUKAAN ANTARABANGSA. MENGIKUT KELAZIMAN UNDANG-UNDANG, INI HANYA DAPAT DILAKUKAN OLEH BELIAU DI MAHKAMAH UNITED KINGDOM KERANA FITNAH ITU DIKATAKAN TELAH DILAKUKAN OLEH ANWAR DI BBC LONDON. INI SESUATU YANG MENARIK. SANGGUPKAH ANDA, MAHATHIR???

No comments: